Monday 7 January 2013

Secawan Kopi Hitam Dan Nasi Lemak*(ACK)

Secawan kopi dan nasi lemak warung di pinggir jalan
usah kau tanyakan mengapa di situ tidak di Casa Ciuccio
di Melbourne. Duduk di sini, debu jalanan, bau longkang
walau nasi dan kopinya sedap.

Ini bukan mendera diri. Kau pernah bilang, mimpi kamu
selalu dihinggapi oleh mimpi-mimpi kemiskinan.
Lalu hidupmu pun digalas dengan kemiskinan.Ya,
kalau memang miskin, ya, miskin bukan satu kesalahan.
Ada rahsia disebalik itu. Pada lautan dan langit penuh
dengan rahsia. Apa lagi bumi pun penuh dengan
rahsia yang akhirnya tertanam dan jadi tanah.

Aku menulis puisi. Benar. Kalau kau panggil,
aku seorang penyair. Itu suatu pujian dan penghormatan.
Aku tak berprasangka atau menghukum.
Apa lagi mencoteng-conteng atau membuang
bekas sapuan warna ke dinding-dinding kebenaran.
Tiada persoalan kepada kebenaran kerana
ia adalah warisan yang perlu kita perjuangkan
dan melindungi.  Kita tak akan membiarkan
kebenaran itu tercemar oleh akal bolos anak jahat.

Kalau kau membaca puisi lalu sukmamu tergetar
dan getaran itu jadi ombak lalu menyentuh mindamu
supaya berfikir. Diam-diam kau mulai menyukai
puisi dan terus membaca puisi kerana itu adalah
pilihanmu. Itu sudah satu kebaikan. Pernahkah
aku membohongimu, puisi itu bukan diciptakan
di istana kaca. Dan jelas bukan cermin ketika
kau melihat menukar wajahmu jadi hodoh,
panjang, lebar  dari wajah sebenar. Ia adalah
refleksi langit, bumi, rembulan dan mentari.
Alam itu adalah inspirasi penyair  dan tak
pernah redah dalam sukmanya.

Aku melihat kemiskinan bangsaku, ya akan
jadi sumber, tapi tidak pula dipaksa-paksakan
tumpah dalam puisi. Ketika anak bangsaku
melarat dan kepayahan dalam hidup, atau terporok
dalam kejahatan dan melupakan rohani aku mulai
mempersoalkan dalam ciptaanku, sukmaku jadi
gelisah dan gundah. Mengapa boleh terjadi demikian.
Ketika kami merayakan kemerdekaan bangsa
atau Hari Raya, lalu kita melupai atau menyingkirkan
orang yang kalah dalam hidup. Aku akan berdiri
tanpa segan dan menunjukkan kepadamu, wahai
kawan, kau telah lupa mereka.

Memang penyair ada impian. Impian itu dari seorang manusia.
tak lebih dan ada kekurangan. Bermimpi dan ada
impian itu adalah suatu yang sihat. Keindahan tidur itu
adalah mimpinya. Ketika berbual masa depan maka
kita tak habis membualkan impian yang akan datang.
Ruh suatu bangsa adalah semangat hidup dan impian.

Di pinggir kotaraya ini aku makan nasi lemak, sambal
sedikit pedas dan minum kopi adalah menu bangsaku.
Ikan bilis dari pesisir pantai, beras kampung, sambal
dan telur, semuanya dari pasar borong. Aku makan
dengan orang kecil dan mereka berkemeja dan tali
leher, baju kurung dan berminyak wangi, Ah Kau dan
Sami. Ketika kami menghirup kopi kami menghirup
debu jalan dan bau longkang, sambil melihat traffik
seperti melihat semut berjalan yang satu pergi yang
lain datang dalam satu barisan panjang.

Kota Kinabalu
8 Januari 2013

**Telah terbit dalam Antologi "Secangkir Kopi" 2013, Kurator Fikar W. Eda dan Salman Yoga S., penerbit The Gayo Institute.


No comments:

Post a Comment