Sunday 27 January 2013

Makhluk Asing* (Puisi)(Metamorposis)

Khabarnya makhluk asing akan turun dari angkasaraya
mereka boleh saja datang dalam satu masa dan tak ditentukan
pula jam berapa, hari apa? Yang pasti, kita harus bersiap-sedia
makhluk ini tak berwajah, suka bercakap dan pandai pula
dengan bahasa gerak.

Makhluk asing ini suka main sembunyi-sembunyi. Kau tak
seram atau takut, kerana ia seperti badut dan pandai berbual
dan menyanyi. Ia mau kau pun boleh menyanyi dan jadi korus.
Lagi bertepik lagi bagus dan indah menurutnya.

Sepanjang jalan orang telah mulai memasang bambu dan
mengibar kain. Ada yang berkata di sini adalah sempadan
selamat buat makhluk asing turun. Tiap-tiap malam mereka
mulai menunggu. Telinga mereka jadi  teliti membedakan
jatuh bergolek seperti durian dan mendaratnya makhluk asing.

Tidak semua percaya pada kedatangan makhluk asing.
Jadi, mereka tak menunggu. Yang lain menyibuk ke sana
ke mari kerana mereka ada empat kepala, di depan dan di
belakang. di kaki kiri dan kaki kanan. Mereka mencium
tanah seperti anjing tapi mereka bukan anjing. Untung,
mereka belum terjumpa tulung rusuk atau tulang ayam.

Sekarang orang menunggu dan setiap dahan jatuh atau
air berkocak di laut, jantung mereka berdebar. Angin membawa
khabar ke mana-mana. Gemuruh di langit. Belum ada tanda-tanda
makhluk asing akan datang. Tapi setiap malam tiba, sebelum
melelapkan mata, telinga mereka masih menunggu kalau ada
bunyi yang luar biasa di depan pintu. Jadi, selalunya mereka
tak lena tidur kerana menunggu pintu mereka diketuk.

Kota Kinabalu
28 Januari 2013

No comments:

Post a Comment