Sunday 2 September 2018

Merdeka*

Merdeka, merdeka
Negaraku merdeka
Gema merdeka
Dari jiwa merdeka.

Merdeka, merdeka
Salam merdeka
Kotaku merdeka
Kami pun merdeka.

Merdeka, merdeka
Bicara merdeka
Bangsa merdeka
Kemenangan kita bersama.

Merdeka, merdeka
Merdeka dari khianat
Merdeka dari dendam kesumat
Harmoni, hidup harmoni.

Merdeka, merdeka
Ke mana kau menoleh
Merdeka pada kata
Merdeka pada tindakan.

Merdeka, merdeka
Damai pada jiwa
Kasih merata
Merdeka bangsaku, Malaysia.

Kota Kinabalu
Ogos 2018

Salam Merdeka*


Gema kemerdekaan di ambang pintu
Benderaku Malaysia Raya berkibar
Gemilang negara bangsa merdeka
Hidup, hidup bumi merdeka.

Inilah hari kemenangan sejarah
Dapatkah kau rasa saudaraku
Doa-doa dan perjuangan lebih sekurun
Ini kejayaan Negara bangsa.

Di bawah langit terbuka dan dataran hijau
Pacu, pacu  kuda semberani
Jaya, jaya, Negara berdaulat
Toleransi pemacu Negara bangsa.

Jiwaku berkumandang tujuh petala langit
Suaraku menggembara empat penjuru bumi
Demi waktu, ketika  kau ucapkan takbir
Sayang Malaysia, negaraku tercinta.

Kota Marudu
Ogos 2018

Pidato Kemerdekaan*


Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki itu
Membebaskanmu dari panah-panah derhaka
dari segala penjuru tujuan membunuh.

Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki itu
Kedamaian dan kesejasteraan bangsa
bertunjang pada bumi Tuhan Rahman.

Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki itu
Jaya Negara bangsa warisan turun-temurun
Tahan diuji zaman padu seperti gunung.

Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki
Kasih-sayang adalah senjata ummah
Dendam kesumat adalah api durjana.

Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki
Ketika lapar dan kemalaratan bangsa
Kau berada di situ tangan pelindung.

Kau bertanya tenang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki
Seperti alam raya dengan hawa khatulistewa
Tak disentuh oleh tangan-tangan serakah.

Kau bertanya tentang makna kemerdekaan
Aku menjawab kemerdekaan hakiki
Amanat yang kau diamanahkan
Saksi dan kebenaran sejarah bangsa.

Ya Rabbi, biarlah kemerdekaan ini
Perjuangan bangsa sepanjang zaman
Khazanah warisan bangsa terlindung 
Tiap tindakanm adalah kurnia-Nya.

Kota Marudu
30 Ogos 2018

Merdeka Kotaku*

Kotaku aman dan damai
Tidakkah kau rasakan gema merdeka
Wajah-wajahmu matahari pagi
Kicaumu burung pagi.

Merdeka kotaku, cinta dan kasih
Lambaian pulau dan sungai perkasa
Mengalir dari sungai hayatmu
Tamu-tamu yang singgah berteduh.

Di sini langit biru gemilang
Hutan hujan Khatulistiwa
Menyegarkan mimpi musafir
Airmu pelepas dahaga.

Merdeka kotaku, merdeka
Salam yang terucap
Tanganmu disambut
Aku khadim yang siap.

Merdeka, kotaku merdeka
Merdeka sepanjang zaman
Merdeka, kotaku merdeka
Merdeka, Malaysia merdeka.

Kota Kinabalu
30 Ogos 2018

Firasat Kemerdekaan*

Langkahmu biar berani
kata-katamu amanat
Citrasamu langit terbuka
azammu bahasa indah dan hidup.

Lidahku yang berkata-kata
Biar bersih dari noda-noda
Dirimu adalah sungai mengalir
Di tanah kasih dari jiwa merdeka.

Ya Rabbi, ini bukan tangan yang derhaka
Ia telah merdeka dari belenggu kezaliman
Di sini, cahaya damai di menara tinggi
Makmur, makmur negara bangsa.

Di dinding kalbu bumi leluhur
Kemerdekaan ini adalah amanat bangsa
Firasatmu bagai air terjun di bumi merdeka.
Seribu tahun tak akan hilang jiwa terbilang.

Kota Marudu
30 Ogos 2018

Saturday 1 September 2018

Gema Merdeka*

Gema merdeka hidup sepanjang zaman
Inilah hari kemenangan bangsa gemilang
Tindakan dan kata bersatu menjadi harapan
Dan bulan purnama mimpi sempurna.

Melajulah bathera di lautan kasih
salam persaudaraan bangsa merdeka
Inilah hari kemenangan bangsa gemilang
Doa-doa terhimpun kurnia turun.

Damailah bumiku tercinta
Harummu kembang bunga di tanam
khazanah turun-temurun
jati rimbamu, jati bangsamu merdeka.

Kemerdekaan ini nadi yang berdenyut
Mega gunungmu yang bertahan
Inilah hari kemenangan bangsa gemilang
Sayang bumi, lindung-lindungi.

Ya Rabbi, berikan kami kekuatan samawi
Inilah hari kemenagnan bangsa gemilang
Memandang siang derap kuda semberani
Memandang malam tanpa curiga dan durjana.

Kota Kinabalu
Ogos 2018

*Puisi ini dibacakan oleh YB Azhar Matusin, Malam Puisi Di Ambang Kemerdekaan,
Hotel Shangrilla, 30 Ogos 2018, dianjurkan oleh Pekesan, Ahmadiyya Muslim, Persatuan
Tallesaemia Sabah, Persatuan Penderma Darah Sabah.