Friday 4 January 2013

Kedai Kopi*(ACK)

Siang. Di kedai kopi, duduk minum
mengangkat tangan, senyum, salam
dan berlalu. Sekarang, perbualan kedai
ambil masa panjang, sambil minum
bertukar berita. Semua topik dibuka.
Di sini bertemu kawan baru dan lama,
kedai kopi. Gosip, jual kereta, tanah,
tentang PRU. Mata berkaca melihat
ke jalan depan. Kedai di kotaraya.
Konon, pernah lahir pemimpin dan
jadi menteri dan sekarang pencen.
Bukankah di sini cepat naik mimbar.
Kerana orang pribumi minum di sini,
ada kad pengenalan biru.

Di kedai kopi tahun 2013, ada seorang
lelaki belum menjangkau 50 tahun,
duduk sendiri, minum kopi, melihat
ke utara, Sampang Mengayau dan
Pulau Banggi. Pacu kudamu pacu,
ke dalam kabut dan ribut malam.
Dulu kata-katanya adalah rembulan,
kunang-kunang di waktu malam,
Impian dalam ribuan tahun. Tapi
sekarang, ia hampir pada keputusan
mungkin tak ada jalan untuk kembali.
Kata-katanya akan jadi orang-orangan
di sepanjang jalan menghalau burung
sepanjang hari. Ia bingung sendiri sambil
minum sisa kopi hitam dalam cawan.

Kota Kinabalu
4 Januari 2013

*PRU, Pilihan Raya Umum (Malaysia), Kad pengenalan biru, menunjukkan penduduk pribumi, penduduk Malaysia, boleh mengundi. Sampang Mengayau, Utara Negeri Sabah, Malaysia.
**Telah terbit dalam Antologi "Secangkir Kopi" 2013, Kurator Fikar W. Eda dan Salman Yoga S., penerbit The Gayo Institute.

No comments:

Post a Comment