Wednesday 2 January 2013

Melangkahi Sempadan*(ALBDSM)



*Melangkahi sempadan

Dari kecil aku selalu bertanya
apa ada di sebalik bukit atau
memandang ke laut lepas
melihat horizon teka-teki.

Ketika kau berucap di mimbar
aku merenung kata-katamu
kau bercerita sepanjang malam
tanpa memotong perbualan ini
hingga kau berhenti sedar sendiri.

Aku melihat orang senang
menghukum dan berkeluh,
menebas hutan memacak
tiang dan bermukim di situ
lalu berkampung memanggil
orang mengangkat diri jadi
wakil.

Esok, ia melantik dirinya
ketua kampung dan mulai
mengambil bayaran air,
lestrik dan tapak rumah.

Sekarang datang musim
menabur kasih bermuka manis
dan mengalir air mata buaya
berunding sesama mencari
melantik seorang ketua.

Benarkah seorang calon PRU
tak perlu ke sekolah tinggi atau ke
universiti, cukup duduk di kedai-
kedai kopi dan menjadi pembual
yang rajin? Biodatanya, bekas
kontrakter, brooker tanah dan
pembual dan bergadang.

Aku telah melihat di sebalik bukit
dan melangkahi sempadan. Ketika
aku melihat ada orang di kaki bukit
menuju arah sini, aku memanggilnya
lalu ia pun melangkahi sempadan.

Kota Kinabalu
3 Januari 2013

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013


No comments:

Post a Comment