Wednesday 16 January 2013

Erti kemenangan itu sudah tak ada (Malaysia)

Mengapa diadu-domba kalau kamu telah tau
siapa yang akan menjadi pemenang. Tak perlu
pemilihan kalau alam sejagat akan jadi saksi.
Rahsia bukan rahsia lagi kalau semua orang
telah tau apa yang akan terjadi. Berpura-pura
kalah dan berpura-pura menang adalah tipu-
helah. Dari matamu aku menyaksikan tak ada
lagi yang mengejutkan.

Katamu, ini bukan perkara main-main.
Ini soal hidup dan mati. Kalau kita tak
turun ke padang, orang lain akan menuntut
dan kamu akan ketinggalan buat selamanya.
Ketika orang terlalu yakin tak akan ada
hujah-hujah yang dapat mendiamkannya.
Kebenaran itu hanya dipihaknya. Sekalipun
sebenarnya itu adalah suatu kebohongan.

Aku orang kecil, ada suara tapi tersekat-
sekat. Apalah ertinya kemenangan kalau semua
itu hanya  kebohongan, mengabui mata melihat.
Bagaimana menyalahkan orang kecil kerana
mereka suka pada keramaian dan kemenangan.
Sekalipun semua itu telah dibuat dan dirancang.
Lalu sesama mereka berkata, "Aduh selama ini
kami orang yang kalah tapi sekarang, kami
menang sama seperti menang loteri. Bukankah
semua orang mau kemenangan untuk dikhabarkan
pulang ke rumah. Sekalipun makna kemenangan itu
sudah tak ada, sorak-sorak itu hanya pelepas rasa
seketika seperti hadir sebagai penonton bola di stadium.

 Kota Kinabalu
16 Januari 2013
*AP BBSS

No comments:

Post a Comment