Sunday 13 January 2013

Manuskrip Bangsamu*(LBDSM)

Lidah dan ekor gelombang melambung kapal sarat muatan
Selat Melaka bergelora, malam ini, tak akan ada dibiarkan
lalu sekalipun burung laut. Seperti alam sejagat telah
sepakat. Nahkoda tercabar, tofan angin masih mengganas
Tak ada belas kesian, tanah tebing sirna dan tak terjangkau
kegelapan seperti membutakan dan kelihatanya tak ada
jalan pulang ke pelabuhan. Masa silam adalah satu pelajaran
dan ingatan. Ada tangisan panjang mengingatkan khazanah
bangsa. Ingin diraih sekalipun dalam impian, ia datang dalam
mimpi-mimpi tersekat-sekat, tidur yang tak nyenyak. Di
selat ini pernah datang pergi penjajah bangsa. Ibn Batuta
pernah berlabuh di tebing sejarahmu.

Manuskrip bangsamu, tenggelam ke dasar laut. Kapal
Inggeris hajat tak sampai, selat Melaka telah menelan
muatan dan jadi penyesalan abadi. Armada Belanda
yang belayar ke tanah jajahannya pulang ke tanah
lelohor dengan manuskrip bangsamu. Dapatkah
aku merindukanmu, kerana kau telah terlepas dan
beralih tangan. Aku tau bagaimana kau tersiksa, tersorok
di tanah asing. Sedang kekasihmu jauh. Tenang, tenang,
kekasih, sampai hari ini dan yang akan datang, aku tak akan
melupakanmu. Bangsamu telah merdeka, aku akan
mencarimu, sekalipun jauh di cakerawala. Kembara
sukma ini tak akan berhenti mencarimu dan aku berjanji
membawamu pulang ke tanah merdeka, ke tanah bangsamu.
Kalau aku memikirkanmu, akan kubawamu ke mana saja,
sekalipun dalam kenangan, kau akan kukenang selamanya
kau tak hilang dalam arus sejarah bangsa.

Kota Kinabalu
14 Januari 2013

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*ITBM


No comments:

Post a Comment