Wednesday 16 January 2013

Hanya Itulah Yang Tinggal, Semangat (Ketuhanan)

Aku makin lelah berterus terang
barangkali baik diam, senyap dan menyepi
siapa yang ambil peduli
kalau bukan diri sendiri.

Aku tak menyalahkanmu
maju terus kalian di bumi merdeka
kalau aku ketinggalan bukan kerana
aku tak ingin bersaing.
Ayuh, maju terus saudaraku,
minumlah sepuasnya
tidak ada sesiapa yang akan
menegurmu.

Jangan kau minta lagi
yang ada padaku
hanya tanah kecil dan kosong
tapi kalau kau mau saudaraku,
aku tak dapat melarangmu
asal jangan kau pula menyetop
aku dari berfikir dan menulis.

Selagi aku dapat befikir
aku akan menulis. Paling tidak
kau membacanya percuma tiap
hari.
Kau tidak dipaksakan, aku
meredahkan. Kerana yang aku
tulis supaya dibaca.

Kalau tidak ada peninggalan
padamu, aduhai Gazel,  maafkan aku
kerana aku tak ingin dunia di pundakku.
Yang ada, pada peninggalan itu
khazanah yang pada setengah orang
tak berharga.

Aku terluka ya, Tuhan
tapi aku tak melihat darah mengalir
yang menitis adalah huruf-huruf
dan kata-kata meluncur dari
sukma.

Sampai bila pun aku tak akan terkalahkan
kerana itulah semangat hidup yang tinggal
dan yang ini akan tetap bersama
dan tersimpan dalam sukma.

Kota Kinabalu
16 Januari 2013
*ITBM
*Antologi Kemerdekaan







No comments:

Post a Comment