Sunday 6 January 2013

Fenomena Air Merah (Cemar)

Aku mencium bau udara ada sesuatu akan terjadi
sambil berdiri ia melihat langit jika ada perubahan
pada gunungnya mungkin menghantar isyarat
pada burung terbang dan rimba jati seakan sepi.
Sebelum Tsunami, gerak-gerak alam jadi luar
biasa dan anih. Sepi seketika menyurut ke lautan
dalam kemudian gelombang Tsunami bergulung
tanpa ampun. Sejak itu tiap perubahan langit,
mata angin, gerhana dan bumi adalah peringatan
kepada penghuni bumi.

Aku berdiri menghadang laut, ke utara Pulau Matanani,
Pulau Balambangan, ke selatan, Pulau Tiga dan Pulau
Labuan. Aku membaca gerak-gerak di pantai lautmu
Fenomena air merah, toksit yang berhanyut. Apakah
kami telah lama membiarkan laut tercemar dengan
kotoran manusia dan pembuangan kotoran. Biarkan
kemerdekaan kita mendidik anak bangsa melindungi
lautnya supaya fenomena air merah jangan datang
sepanjang tahun. Biarkan laut seindah langit. Ayuh!
kalau kita tidak melakukan sekarang, bila? Jangan
sampai fenomena air merah itu datang dalam mimpi
gerun. Ketika kita sedar, sudah terlambat, ia telah
jadi laut toksit, di Lautan China Selatan. Itu bukan
impian kami 52 tahun merdeka.

Sekarang kita masih boleh menyantap nasi lemak.
Tapi ketika ia turun jadi bala dan malapertaka, pesisir
pantaimu tak selamat. Ayuh! datangkan saintis bangsamu
sebelum terlambat. Wahai! yang duduk selalu bersidang,
isu laut adalah hal serius kerana ia menyangkut
orang kecil yang menangkap bilis dan pengumpul
kerang. Ketika toksit lautmu tinggi, mimpi orang kecil
jadi gerun dan menakutkan datangnya musim fenomena
air merah yang panjang. Laut pesisir pantai, aku akan
selalu bersamamu, biar nadimu berdenyut, getarannya
sampai cakerawala.

Kota Kinabalu
6 Januari 2013




No comments:

Post a Comment