Sunday 30 September 2012

Mencari Jalan Pulang (Pasifik)

Kau terbangun beberapa kali dalam satu malam
mimpi pun datang sepotong sepotong, akhirnya
duduk tertidur hingga kokok ayam jantan.
Tiap siang matahari turun tenggelam, terhitung
dalam diam, perjalanan pulang memanggilmu.
Kau akan pulang, bukan pulang kampung cuti
atau kucing yang dicampak dan kehilangan
jalan pulang. Suatu hari di pelabuhan, aku
melihatmu, pertemuan di tanah asing. Uban
di rambutmu meliar ke kumis dan janggutmu.
Di perantauan, persaudaraan segar kerana
kita tak terlampau banyak bertanya. "Tidak
pulang?" Pertanyaan itu sekalipun datang
biasa-biasa dari salah seorang. Tapi yang
bertanya, ia sendiri sebenarnya boleh menjawab.
"Aku kehilangan passport dan nombor telefon."
Sudah dua puluh tahun, keluargaku entah di mana?"
Ya, Jakarta, kota raya dan ramai penduduknya."
Keduanya diam. Panas laut dibawa angin,
Kami pun berselindung, mencari ketenangan
sendiri. Dan menyembunyikan sukma di celah-
-celah langit. Di tanah asing, mencari jalan
pulang, seperti terpanggil dalam mimpi kesiangan.

Honiara
1 Oktober 2012












Friday 28 September 2012

Mesapol, Khazanah Ditemukan (Mama)

Mesapol, telah lama tak terdengar
dekurmu. Sekalipun sungaimu belum
bertukar arah. Kerinduan rimbamu
bergenang dalam diam.Irama hujan
turun di atap zink. Pokok Bambangan
masih di situ. Kau tak akan dilupakan.
Khazanah ditemukan. Musim panas
semalam, kau hilang. Lalu terasa kau tak
akan kembali, bermukim di samudera
lautan dan kau tak dapat diraih hilang
terbawa angin benua. Tadi, kau datang
setelah lenyap, bau nafas dari perjalanan
jauh dan mendarat ke telapak tangan.
Mesapol, kucium bau tanah
udaramu dalam sukma.

Honiara
28 September 2012

Thursday 27 September 2012

Pulau Banggi* (Puisi) (Lanskap) (Metamorposis)

Aku tak terpaksa menulis puisi buatmu
di dalam impian dicari namamu dan
cuba mengenal rupamu, sia-sia, kau
terlalu halus dan perasa pada kelip
cahaya yang datang menyentuhmu.
Meskipun aku belum menawanmu
Bukit Sibumbung, namun telah di
lepaskan puluhan kata-kata bersayap
memantau langit dan pulaumu.Pada
bait-bait puisi ini dicatat namamu,
Pulau Banggi, dalam sukma penyair.
Kau tak mengenal, tapi salam yang
terucap telah mendarat di pantaimu.
Salam sejagat, salam kasih, memang
kita bersaudara sekalipun saling tak
mengenal. Tapi, kata-kata sederhana
yang terhimpun menjadi puisi, akan
selalu menjadi jembatan di teluk sukma.
Bagaikan aku Pulau Sebogoh disampingmu.
Demi langitmu, seakan aku melihat
malaikat turun, dalam kelip cahaya,
lalu gerimis turun menyentuh bumimu,
kau tak merasa bimbang atau curiga.
Anggaplah kata-kata yang terhimpun
menjadi bait-bait puisi ini adalah sebuah
doa dan harapan padamu, Pulau Banggi.

Honiara
28 September 2012

Wednesday 26 September 2012

Musim Ikan Romahan dan Sutung (Boat People)

Pengawal telah diberi
peringatan keras:
jangan lupa menutup rapat
pintu lautan tak akan
dibiarkan
lalu
walaupun seekor lalat
ke sasar.

Dapur Pusat Penahanan
pun memasang api dan berasap.
Sekarang bulannya.
Musim tengkujuh
masih terlalu jauh.
Lampu
isyarat telah dipasang
dan semuanya menyala.
Merah.
Kerana pendatang malam masih
berusaha menjaring gol.

Khabarnya ada ratusan
pendatang malam akan
datang, dalam puluhan
kapal-kapal penuh sarat menuju
ke pantai pasir putih
benua selatan.

Anihnya,
sekarang musim
ikan romahan dan sutung
di perairan pantai,
kekadang pula pasangan dolpin
bermain-main mendahului kapal.

Honiara
26 September, 2012








Suara-Suara Masa Silam* (Puisi)(Metamorposis)

Pernah sendiri di Freemantle
memandang ke lautan Hindi
Ombak masa silam datang
bergulung-gulung ke tebing.
London, jauh ke barat Utara.
Angin lautan bertiup terasa
membawa suara-suara
terhukum ratusan tahun
pembuangan ke tanah kolonial
Southern Cross. Sejak itu
mereka tak melihat tanah leluhur.

Seperti tidur dalam rumahmu
di siang hari, ketika tersedar,
kau terlentang di bumi atau
langit khutub Utara dengan
landskap tak pernah kau
mimpikan. Sejak itu tiap kali
kau merebahkan dirimu ke
ranjang, bimbangmu mungkin
menjadi realiti dan kau tak dapat
menjelaskan.

Honiara
26 September 2012



Aku Menulis, Puisi Teman Penglipur Lara (Puisi)(ITBM)

Terasa semakin jauh di pulau
terpisah di kaki langit dan nadi lautan
lalu yang terlintas di depan mata
pun menjauh, ternyata kau memang sendiri.

Justru itu, ketika berada di rimba jati
atau di pergunungan tinggi,
di lautan teduh, ada kedamaian.

Aku menulis
dan puisi ini, teman penglipur lara.

Dalam bait-bait puisi kau meresap dalam
setiap kata-kata.
Bagaimanapun aku tak akan berpaling!

Aku akan datang sampai ke halaman
dalam diam-diam 
saat kau sudah tak mengenalku.

Honiara
26 September 2012
*ITBM





Tuesday 25 September 2012

Tanah Kecil Dan Orang Kecil* (Indah)


Aku dilahirkan orang kecil. Lalu dewasa, aku masih orang kecil.
Masa belajar di sekolah biasa dipanggil orang kecil. Ketika di
universiti tetap orang kecil. Menikah pun adat orang kecil. Mati
pun nanti sebagai orang kecil. Orang kecil boleh menjadi besar
tapi orang besar jarang menjadi orang kecil. Tanah orang kecil
tetap tanah kecil. Cuma tanah orang kecil ada title NT. Tak boleh
dijual, sekalipun harganya murah. Masa penjajah Inggeris, orang
kecil dipanggil orang Native, dulu bumiputra, sekarang pribumi
Orang kecil itu orang awam, golongan kebanyakan, golongan
majoriti. Suaranya mahal. Orang kecil suka sambal belacan dan
yang pedas-pedas dan tak peduli kentut di depan kawan. Kerana
aku orang kecil, aku tak memilih makan, bisa makan di warung
tepi jalan, duduk minum kopi o, tapi kalau dijemput suka pada Mc
Donald dan KFC. Selera orang kecil, selera rakyat. Orang kecil suka
bola dan ramai kaki bola. Kerana orang kecil golongan bawahan,
jadi penyokong kuat pada kepentingan negara. Orang kecil suka
berdondang sayang, joget, berbalas pantun, berseloka dan suka cerita-
cerita rakyat dan cerita Kancil, cerita Pak Pandir, cerita filem lama,
filem baru, filem Hindustan dan drama bersiri Indonesia, Korea, Filipina,
Ada semangat serantau, berjiran, berkongsi Lautan China Selatan.
Di tanah kecil, orang kecil menjual sanggar pisang dan nasi campur.
Orang kecil suka Tapau. Orang kecil, matanya cepat bengkak kerana
menangis menonton filem-filem sedih. Filem hantu, nombor satu.
Ketika orang kecil masih orang kecil, tidurnya nyenyak dan berkeruh.
Kerana ia orang kecil ia tak merasa rugi kalau tak duduk di barisan
VIP. Orang kecil biasa duduk di belakang atau berdiri, melihat pun
dari jauh. Orang kecil pandai bertindak seperti orang kecil. Kalau
terdorong boleh juga besar rasa egonya. Orang kecil pandai berbual,
berbual ketika terdesak pandai berbohong, Orang kecil selalu dibodoh-
bodohi walaupun orang kecil bukan orang bodoh. Kerana orang kecil
orang sederhana. Orang kecil jarang berkhianat. Kerana orang kecil
ingat pesan agama. Orang kecil masih ada martabat dan tau tradisi.
Kalau orang kecil belajar boleh besar tapi hatinya tetap orang kecil.
Ramai sahabat Rasulullah orang kecil yang menjadi besar, dihormati
dan disayangi. Sekalipun kita orang kecil, tapi orang kecil nadi pada
kehidupan dan semangat berkerja. Orang kecil di tanah kecil pandai
berseloroh dan ketawa. Orang kecil selalu ada dalam sejarah manusia.
Apa yang menarik pada orang kecil di tanah kecil, kerana orang kecil
ada semangat. Dalam sukmanya ada keyakinan, sebuah bangsa yang
merdeka. Kemenangan selalu pada orang kecil. Kemenangan mutlak.

Honiara
26 September 2012




Monday 24 September 2012

Firasat Dan Seorang Sahabat (Ketuhanan)

Ada sesuatu yang hilang, aku masih berfikir
belum terdapat jawaban terhadap soalan ini
seperti berjalan asyik menoleh ke belakang
dalam firasat ada orang yang mengintip atau
ada niat jahat tersembunyi di dalam belukar.
Dalam setengah tidur seperti ada orang yang
memanggil namamu, tapi jelas tak ada orang.
Siang ini, aku tak sedap rasa, fikiran ini tak
fokus. Kekadang duduk, berdiri dan mundar-
mandir dalam kamar studi, sampai ketiduran.
Rupanya, dalam hidup tak semuanya akan
terjawab satu persatu, Kekadang yang diharap
tak menjadi. Tak ada lojik. Absurd. Anih.
Bagaimana sampai jadi begitu. Kita menjadi
penerima baik tanpa perlawanan, menerima
dan berkata,'aku tak ada masaalah.' Kerana
kalau aku memprotes, tak akan membawa
kebaikan kepada semuanya. lebih baik diam."
Hidup, bukan 1+2=3. Bukan. Ada liku-liku
atau benang kusut yang harus dileraikan.
Hidup akan menjadi membosankan, tanpa
ujian, tanpa pengorbanan, tanpa hasil dari
satu perjuangan. Dulu, jantungmu berdegup
ketika telegram sampai. Tapi, musim itu
telah berlalu. Semua orang ada hp dan email.
Jadi, kebimbangan itu, paling tidak membuat
semua orang gundah. Firasat. Keseluruhannya
benar. Berita yang dititipkan lalu ditafsirkan.
Khabar baik atau khabar tak baik boleh datang
dari gerakan pada alam atau jiwa yang merasa,
dari nuluri tergetar, memberikan peringatan.
Hari ini, aku terfikir tentangmu. Lama aku tak
mendengarmu. Baru kusedar setelah waktu telah
jauh berjalan. Ketika tak mengharapkan, datang
kiriman, poskad atau email. Tapi ketika aku
mengharapkan yang ditunggu tak pernah datang.
Hening. Legang. Aku mulai terbiasa menerima
hakikat ini. Siang ini, baru sekejap tadi, aku
temui teksmu dalam senarai teks yang panjang.
Rupanya, aku tak melihatmu. Atau kelalaian
dan rasa tak peduli. Kau, seorang kawan baik.
Aku mengenalmu, seperti aku mengenal pada
rembulan dan mentari, dari jauh, tapi seakan
dekat dan akrab. Aku merasakanmu seperti
angin dan lautan, hutan dan lembah gunung.
'Salam, sudah seminggu tak sehat. Keluar
masuk hospital. Khamis mendatang, buat
endoscopy, ha!' Aku mengulang lagi membaca
teks itu, kali ini perlahan dan cuba meresapkan
tiap kata-kata dan kalimatnya. Tiap gerak dan
pertukaran warna membawa makna tersirat.
Anak mata seperti satellite membaca perubahan
pada bumi, pada lautan, iklim, lembah dan hutan.
Kubaca lagi,'Macam tak laratlah badan
menanggung derita.' Sahabat, ayuh terus
melangkah, tak jauh lagi, senja tiba musafir
berteduh. Jangan berhenti, apa lagi berpatah
langkah. Aku akan persiapkan huruf-huruf
yang terbaik menjadi kata-kata yang menjagaimu,
pelipur lara, dan temanmu ketika kau ingin sayap
dan berkelekar. Mereka adalah yang terbaik
akan kukirimkan. Bangkitkan semangatmu,
Tuhan mengirim bunga ros buatmu. Lihatlah,
merah dan segar. Lalu kubaca kalimat terakhir,
'Terima kasih pada semua puisi, Mohon doa
dan salam damai.' Sahabat, tunggu, jangan pergi,
aku menjawabmu. Sekarang!

Honiara
25 September 2012



Sunday 23 September 2012

Puncak Bukit*(Wadah DBP CS Okt 2013)

Teringatkan mentari masih ramah
kudaki terus bukit sampai ke puncak
lalu menyedut udara mentari sampai
ke akar-akarnya. Tadi, sebelum sampai
ke puncak aku melihat seekor kodok
dikerumuni puluhan kerangga merah.
Aku menghitung langkah menoleh pada
lautan, tenang sejak semalam sekalipun
ia cepat berubah dan bergelora.

Honiara
24  September 2012

*Tersiar Di Majalah Wadah DBP CS, Oktober 2013

Tanah Kata* (Indah)

Di tanah kata ini tumbuh kata-kata
tanah gembur, semain telah dipindahkan
ke ladang. Usah berpaling, turunkan
bait-bait semaian itu, tak usah berhenti.
kerana belum masanya untuk berhenti.

Mentarimu terus besahabat, demikian
pada rembulan, samudera, pohon cemara
dan burung serindit di dahan langit.

Hujan yang menitis lalu kata-kata
tumbuh di jari-jari dan tapak tangan
menjadi bait-bait puisi yang hidup
dan melayang ke langit turun
kembali sebagai hujan, membuat
anak sungai dan menyambung
ke sungai yang besar sedikit mengalir
ke muara dan menyatu di lautan.

Aku tak bimbang guntur dan kilat.
Katakan semaumu. Di sini, tanah kata
ini, huruf-huruf tumbuh. Kata-kata
mencipta bait dan bercerita. Tapi,
mereka membuat peratoran dan perbatasan.

Aku menulis di Tanah kata, kerana
di sini tiada yang menghukum atau
terhukum.

Honiara
24 September 2012
*ITBM








Friday 21 September 2012

Jika Sang Kancil Jadi Pemimpin (Hewan)

Penglipurlara ini bermula, "Atas persetujuan semua,
telah dimuafakat hari ini diputuskan Sang Kancil.
Mulai hari ini akan menjadi pemimpin Hutan Jati
rimbunan hijau. Semua setuju, sebulat suara. Ok.
Sekarang, hutan kecil ini mempunyai pemimpin.
Sang Kancil, gundah dan mau mengundur diri dari
perlantikan itu. Tapi hadirin membantah. Tetap!
Mereka ingin Sang Kancil, pilihan nombor satu.
Walaupun hanya satu penggal. Hadirin, bersorak,
mengalu-alukan perlantikan ini. Sebulat suara.
Tak ada bantahan. Harimau, mengapa kamu diam.
Burung Rajawali, di dahan sana, ada pandangan?
Badak Sabah, ada,,,,tiada,,,Hutan jati berdegup-
degup. Semua. menikus. Harimau mau membantah.
Tapi, suara Hutan Jati terlalu riuh. Mereka binggung.
berpandangan sesama sendiri. Tak ada suara protes.
Langit kacau, musim tengkujuh telah pindah ke
utara, Sampang Mengayau. Laut Pulau Matanani
bergelora. Kinabalu ditelan mendung. Sang Kancil
segan, maju sedikit, ke depan, hati-hati memanggil
semua perwakilan. Hadirin tak membantah. Seladang
berdiri, membosongkan dada, mengerahkan semua
duduk beratur, tenang dan bahu membahu, pada Sang
Kancil. Lalu Sang Kancil berkata. "Letakkan tangan
kamu semua ke atas tanganku."  Semua serentak.
Senyap. Menunggu perintah. Seladang siap-siaga.
Sang Kancil menarik nafas lalu dengan nada perlahan
Al-Fatiha, saya, Sang Kancil, berpegang pada amanat.
Tawkeh-tawkeh dari Kalabakan senyap. Angin mati.
"diberikan kepada saya, memenuhi amanat itu dengan
sekemampuan saya dan melaksanakannya seadil-adil.
Kalian turut saya pada kebaikan." Memandang burung-
burung bangau dari Kampung Buang Sayang. Saya 
berjanji, Kamu, Orang Utan dari Sepilok, tolong duduk.
.."akan melaksanakan kewajiban selagi saya berbuat
kebaikan." Suara korus Hutan Jati membalas jawab
ucapan Sang Kancil. "Kami ikut tuan dalam kebaikan."
Setelah itu suasana Hutan Jati riuh. Seladang Nabawan
mendiamkan hadirin. "Sekarang, kita berdoa senyap."
Hutan Jati hening. Sayap matahari menutup Hutan Jati.
Suasana jadi gegap gempita di Hutan Jati. Terdengar
ngauman Sang Belang, Harimau. Semuanya berpelukan.
Dua tiga kali matahari mengembangkan sayapnya.Hutan
terang kambali, desir angin dari Kinabalu singgah sekejap.
Acara berjalan, ikut jadual. Sang Kancil diminta berucap.
Semuanya duduk bersila termasuk serombongan Keluang
dari Gua Guamantong. "Semua perkara diputuskan dengan
musyawarah. Keputusan, persetujuan bersama. Muafakat.
Tidak puas hati dan pertelingkahan, dibawa mesyuarat.
Setelah keputusan ini dibuat, inilah keputusan semua."
(Pause) Hutan Jati senyap."Derhaka adalah kezaliman..
Harimau melirik pada Sang Kancil. "Membawa kepada
perpecahan kesatuan bangsa." "Hidup, hidup, hidup,
Sang Kancil, pemimpin kami." Hadirin rasa puas.
Hadirin, rasa puas. Ada tanda hujan akan turun. Hadirin
berubah gelisah. "Demi keutuhan bangsa,,,Sang Kancil
berhenti berucap, memandang tajam Monyet Hidung Merah
dari Kinabatangan duduk di baris paling depan. "Tolong
tabiat kamu diubah. Kita sedang Meeting, Kalian Mating."
"Maaf boss, tak boleh tahan." Hampir kesemua perwakilan
Monyet Hidung Merah menjawab serentak. "Perselisihan
dan pergaduhan harus dipadamkan. Semua duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi. Suara majoriti tidak akan
merugikan minoriti. Kebajikan warga ini adalah amanat."
Sang Kancil melambatkan pidatonya."Kalian tau, Warga
Emas, agenda pertama, Kerajaan Sang Kancil. Hak mereka
diutamakan. Mereka diberi pencen tetap. Penyu-penyu dari
Pulau Sepadan, menggangguk kepala. Tak perlu lagi mereka
mati lemas atau disambar ikan Yu di lautan. Mereka boleh
rehat berpencen setelah bertahun-tahun bertelur. Pokok
buah Limpahung dan Pokok Bambangan memberi sokongan.
.."dan kemudahan perubatan dan rumah murah untuk mereka."
Hop Hop Hooray  Hadirin bertempik gembira."Hidup Sang
Kancil. Hidup, Hutan Jati." Lintah dari Lembah Danum puas.
Hadirin semakin terpesona. Harimau, nampak tak senang.
Sang Kancil semakin berani dan uncang tangannya di udara.
Terbatuk sedikit. "Bagi Jenerasi Muda, hampir setengah dari
penduduk Hutan Jati. Harimau mencela. Hadirin riuh. Hutan
Jati riuh, Langit pun riuh. "Kalian adalah tulang belakang."
Hidup Hutan Jati, Hidup Sang Kancil, kata perwakilan lebah
dari Lembah Melinau dan Nabawan. Burung Tukang dari
Pensiangan melihat dari jauh atas dahan pohon mati. Hadirin,
mengiyakan dalam korus teratur. "Ada belia dari Long Pa Sia?"
"Ya, boss, duduk di belakang sana." "Masa depan, kamu
tak akan dipinggirkan." Harimau pura-pura tidur berkeroh,
diikuti oleh monyet-monyet dari Sukau. Hujan menitis di
hujung daun. Perut awan hitam kembong air. Turun naik
suara Sang Kancil, tinggi adakalanya rendah. Ternganga
mulut hadirin. Nyamuk-nyamuk dari Ulu Sugut dan Beluran
baru pulang umrah masih dengan pakaian jubahnya. "Kita
semua, mahkluk Allah." Suara Sang Kancil meninggi.
"Jenerasi muda dilatih cinta pada bahasa ibunda dan
bahasa Melayu. Harimau, puisng ke kiri, pusing ke kanan,
monyet-monyet  Sukau meniru-niru. "Kamu tukang kerja
meniru, duduk diam. Harimau, Sang Belang tidak kamu tau
semalam Gajah Siam telah menyumbatkan 2-0. Kamu kalah..
"Tradisi dan adat yang mengangkat martabat bangsa pribumi.
Kerana dari jenerasi ini akan lahir, ramai Mat Jenin Tun Sri
Lanang dan Mushi-mushi dan Si Luncai berani berterus terang
tak melangkah dengan bahasa biadap dan kurang ajar." "Kita
kurangkan Pak Mai Ulat Bulu." Sang Kancil berdehem
kecil. "Berjiwa kritis, besar. Mampu berdebat. Berbudaya
dan memartabatkan  bahasanya." Sang Kancil, berhenti
sesaat. "Wahai Pak Dogol, (matanya mencari Pak Dalang)
saya berhenti sekejap minum segelas air putih. Hari mulai
dingin. Yang menyerikan pertemuan ini bunga kenanga, melati,
melur. Sang Kancil sedar, ia mudah disalahkan, dan orang mudah
tersingung, menyinggung. Sang Kancil, menarik nafasnya
dalam-dalam. "Ya, puisi." "Apa maksud boss? Sang Kancil
seperti kebigungan. Berkali-kali ia mengosok matanya.
Siang bertukar menjadi malam. Langit terconteng arang.
Mentari terbang bersayap lari ke Pulau Banggi, main
sembunyi di Pulau Jambongan dan Pulau Layang. Terakhir
membawa diri ke Pulau Sebatik. Berapa kali Sang Kancil
menggosok matanya. Gelap, seperti gerhana penuh, bulan
dan matahari berdakapan. Sang Kancil tak melihat seorang
hadirin pun. Sang Kancil menoleh kiri dan kanan. Tak
ada. Hilang lenyap sekelip mata. "Apa dah Jadi." Tak
mungkin mereka protes keluar Dewan Undangan Negeri.
Sang Kancil tak faham. Absurd. Apa permulaannya dan
apakah akhirnya. Fikirannya buntuh dan ia tak dapat berfikir.
Sebelum ini, sebelum ini, ya sebelum ini. Fokus.(Pause)
Eureka! Sang Kancil sendiri dan melarikan diri dari lingkaran
maut. Harimau, Sang Belang mengejarnya dari episod ke
episod, ke satu episod yang lain. Kemurkahan Harimau,
pada Sang Kancil berkali-kali Harimau tertipu dan terhina.
Kali ini tak ada ampun. Tak ada jalan keluar. Tak ada rasa
kesian. Tak ada "diplomatic arrangement". Kemurkahan
Harimau membengkak. Ngaumnya terdengar jauh ke dalam
sukma Hutan Jati. Sang Buaya memulas-mulas badannya
air liurnya kepingin untuk mengunyah tulang dan rusuk
Sang Kancil. Harimau, Sang Belang, Buaya dan Ular Sawa
semua telah sepakat untuk menghabiskan riwayat Sang
Kancil. Mereka mengatur strategi dan 'tipu muslihat.'
Sang Kancil memikirkan tamatlah  riwayatnya. Penyair
pun memikirkan nasib Sang Kancil. Membiarkan antagonis
menamatkan cerita ini? Trajik atau Komedia? Kompromi!
Membiarkan Sang Kancil dibunuh oleh antagonis, Harimau
dan kuncu-kuncu dan tammatlah penglipurlara. Selamat
Tinggal Sang Kancil. Penyair menarik nafas. Sang Kancil
memprotes dan datang berpangku  atas riba penyair
"Boss, ada satu idea?" "Apa dia, Sang Kancil?"
Sang Kancil berbisik. Kami berpandangan dan
tersenyum. Tidak, biarkan cerita Penglipurlara hidup tanpa tamat.

Honiara
22 September 2012

*ITBM (Bahagian II)



Thursday 20 September 2012

Bergulung (Malaysia)


Mendengar sambil berfikir
mengelamun sekilas.

Suatu siang,
ketemu kawan lama, dulu seorang Da'i
sekarang jurujual di sebuah syarikat baru.

'Ok, bang, boleh tahan.'

Ia telah banyak berubah dan
bergulung
dalam gelombang waktu.

Honiara
21 September 2012

Mimpi Anak Bangsa Setengah Abad*(AKS)

Bagaimana aku bisa mengucapkan satu kata-kata
mewakili sukma tanpa dicampur-adukan dari
fikiran yang dimakan anai-anai, atau telah berlumut,
tak maju ke depan, malah mundur dan tak bermaya,
kelelahan. Sekalipun diberikan kata kerja, ia tetap
tak berkembang, apa lagi menjadi satu kalimat yang
aktif. Mimpiku adalah mimpi anak bangsa. Teruji
dalam peralihan waktu. Di lahan ini, sejak masa
silam telah disemaikan sebuah taman, huruf-huruf
dan kata-kata tumbuh segar. Dari huruf-huruf ini
tumbuh kata-kata yang memancing minda, harum
berwarna-warni. Kepada anak bangsa, mimpimu,
sejak kelahiran di situ, selalu tersimpan kemahuan
dan harapan orang tua. Suatu hari nanti kau menjadi
mulia, orang besar dan berpangkat, yang membawa
rahmat kepada orang tua. Tapi di sini, sejak dulu, telah
berangan-angan  menjadi orang yang pintar bahasa.
Yang mencintai huruf-huruf dan kata-kata. Itu, mimpi
anak bangsa yang membangun. Huruf dan kalimat
hidup dalam mimpi anak bangsa. Mengangkat martabat
bahasa. Inilah impian menjadi kenyataan. Menjelang
50 puluh tahun negeriku, Sabah dalam Malaysia. Impian
anak bangsa lahir dari jiwa dan fikiran yang terang,
berangkat dari jenerasi yang sedar, hidup dan dinamis.
Kami berdoa dan istighafar dalam kata-kata merendah.
Kami memakai kata-kata dan kalimat menyatakan terima
kasih pada Yang Empunya langit dan bumi. Tuhan Yang
Maha Esa. Ketika anak bangsa bermimpi, mengilap indah
huruf-huruf dan kata-kata dalam karya-karyanya, yang
tercipta dan firasat turun dari langit, bahasa yang halus.
Lalu jadi perbualan di meja makan, sekolah, kampus
dan jenerasi penerus. Bahasa mampu,mekar, puitis,
menambah kesusasteraan dunia, mengangkat derajat
kemanusiaan dalam perlambangan dan pengucapannya.
Dan mimpi anak bangsa, mencipta kekayaan kata dan
kesuburan bahasa. Mimpi anak bangsa, bukan tinggal
mimpi, mimpi terjangkau. Mimpi penuh perlambangan
dan tanda. Bila melihat langit, penuh perlambangan dan
isyarat hidup. Kekayaan malam, rembulan dan gemerlipan
bintang. Melihat rimbunan, lembah hijau, keramaian dan
 hutan jati yang hidup. Melihat samudera lautan penuh
tantangan. Melihat bumi sabar dan misteri, inspirasi dari
masa silam ke hari ini. Kekayaan ini adalah waris anak
bangsa dalam kekayaan kata dan makna. Mimpi anak bangsa
ada kejujuran pada huruf dan kata-kata dan kalimatnya.
Mimpi anak bangsa, lahir dari fikiran sedar dan dewasa.

Honiara
21 September 2012

*telah diterbitkan dalam antologi Puisi Kepada Sahabat, penyelenggara Rusdi Awang, Siti Hadiah Haji Abdul Mutalib, Masmah Mohd Ali, DBP Cawangan Sabah 2013.


Wednesday 19 September 2012

Pak Dogol, Datang Pada Saatnya (Malaysia)

Ia pergi dan menutup pintu keras
burung-burung di halaman terbang sepintas
bergemuruh bunyi kepak dan menjauh.

Jangan panik kalau di tengah jalan
ada orang menegurmu, dan berkata,
'Kamulah, orangnya.' Seperti dikatakan
menang loteri satu dalam seribu.

Begitu ia datang pada suatu siang
lalu ia sesukanya memakai bahasa
rindu dan kasih pada titis-titis air liurnya.

Sedang aku mendengarnya. Pak Dogol
masuk ke dalam bual. Sambil tersenyum
aku memanggilnya duduk.

Honiara
20 September 2012





Tuesday 18 September 2012

Wang Saku, Bajet Tambahan (Boat People)

Telah diumumkan, beritanya sampai jauh di hujung langit
yang di bumi, akan berdebat dan membuat rang undang-undang.

Semua pintu lautan telah ditutup,
apa lagi mencium bau lautan
sekarang telah dilarang keras.

Tiap persoalan ada penyelesaian
di sini penyelesaiannya, tunggu dan ikut peraturan.
Tak boleh meloncat ke depan
dalam beratur. Tunggu giliran,
semua penderitaanmu harus dicatat
dan dilihat objektif.

Parlimen akan bersidang
pendatang malam berangan-angan.
Ada biaya untuk  penempatan dan Pusat Penahanan
bajet baru, sisanya dibuat jalan baru
dan sekolah baru.

Semuanya sama-sama mengaut untung
tambahan wang saku
projek baru pertengahan tahun.

Lantai lautan telah mendengar
pendatang baru dari Pulau Serindip
telah tiba.

Honiara
19 September 2012


Orang mengomel (Malaysia)

Katamu, kau terlalu perasa sejak dinihari
segala yang dilihat seakan tak mempedulikan
tentang mendung yang berlabuh di sukmamu.

Di tepi sungai kau berdiri melihat air mengalir
lalu kau terasa dan berkata, 'Mengapa air sungai
yang mengalir itu tak mengalir ke dalam nadinya.'

Kau mengomel sendiri, menuruni lembah gunung
memandang keindahan rimbunan hijau. Kau diam,
berbisik, 'Yang kulihat selalu tak sama, kau rasakan.'

Dalam kamar di atas ranjang tidur, sekalipun
rembulan penuh  telah duluan menyapanya
ia merasakan dirinya terpenjara dalam kegelapan.

Honiara
19 September, 2012
*dikirimkan kepada majalah Wadah terbitan DBP Cawangan Sabah, 24 October, 2012.

Kerajaan Kata*(AKS)

Bermulanya dari huruf-huruf turun dalam firasat,
turun sebagai isyarat, turun ke dalam sukma
tak terlalu panjang, sederhana saja, tapi belum
menjadi sebuah kata dan kalimat. Memang
yang terakhir sebuah pengucapan yang lahir
menjadi bahasa. Bahasa sederhana. Bahasa
yang dapat berkomunikatif langit dan bumi.
Keindahannya sampai tersedut ke dalam
sukma. Bukan bahasa yang mengada-gada,
bukan bahasa orang munafik, bahasamu,
bahasa yang hidup, bahasa firasat, bahasa
yang menjawab persoalan. Kata-katanya
tak membosankan apa lagi membigungkan.
Kata-kata dan kalimatnya bisa melangkah
selangkah, sedepa, sejangkau, sehasta, turun
ke lembah gunung, ke sungai mengalir, terbang
ke pelosok penjuru bumi sampai ke langit
ke tujuh.  Dalam tiap kata menjelaskan makna
yang tersirat. Kata-katanya penuh cahaya,
yang berendam dalam cahaya, dan para
malaikat melafazkan kata-kata dan kalimat
dalam bahasamu. Sekalipun kau adalah turunan
dari bahasa Arab, bahasa wahyu. Tapi kelunakan
dan keindahan bahasamu sampai ke pintu
langit, sampai mengetuk-ngetuk pintu langit.
Salammu pun bersambut. Ya Rabbi, aku panjat
kesyukuran kepada-Mu, kerana  aku dapat
mengucapkan huruf-huruf, kata-kata dan kalimat
dalam jiwa yang terang, tanpa kata-kata dan
kalimat yang dibuat-buat. Di sini akan berdiri
kerajaan kata, yang penuh tradisi dan adat
suatu bangsa. Kerajaan kata adalah kerajaan
yang merdeka kerana segala yang tercipta
adalah dari amanat yang jelas dan keadilan
sesama. Kerajaan kata tak akan membedakan
satu sama lain, suara majoriti atau minoriti,
semuanya diperlihara dan dilindungi. Tak ada
kezaliman dan penindasan, di dalam kerajaan
kata, rakyat yang terdiri dari huruf-huruf
boleh bergerak dan menyuarakan resah hati
atau fikirannya tanpa tersigung atau dianak
tirikan. Tiap upacara semuanya dimulai dengan
kata dan kalimat. Majlis rasmi dan tak rasmi
semuanya diserikan dengan keindahan dan
kelunakan kata-kata dan kalimat dalam
pengucapan yang beradat dan berpegang pada
tradisi. Yang memimpin dan dipimpin,
masing-masing mempunyai mandat dan
amanat yang harus dipegang. Tiap kata-kata
dan kalimat  dalam pengucapan yang santun,
dan diisi dengan jiwa berkasih-sayang. Dari
kata-kata dan kalimat lahirlah doa-doa yang
datang dari kesedaran yang terhimpun dari
pengucapan bahasa ibunda. Kau tak perlu
merasa gusar apa lagi terhina, kerajaan kata
memelihara dan melindungi martabat bahasa
kerana martabat bahasa akan menguatkan
bangsa. Syukurlah, aku mempelajarimu.
Aku tak melupakan sedikitpun. Sekalipun
aku jauh, bukan bermakna aku melupakanmu.
Samasekali tidak, kerana selain aku berdoa
dalam bahasa kekasih-Mu, Rasulullah, aku
bersujud dan memanjat langit dengan doa-doa
dalam bahasa ibunda. Aku telah mendirikan
kerajaan kata, kata-kata dan kalimat yang bertakhta,
bukan rejim apa lagi diktator. Mereka adalah
pemusnah bangsa.  Memadamkan bangsa,
memusnahkan bahasa, kalimat dan kata-kata
dan huruf-huruf. Aku berdoa, kerajaan kata
ini akan hidup sampai qiyamat dan terus hidup
dan berdaulat. Ya Rabbi, Ya Hafiz, Ya Aziz,
jangan kerajaan kata ini menjadi lumpuh dan
korup lalu menjadi kerajaan kata yang kejam
dan zalim perlahan-lahan hancur dan musnah
dan pupus. Kerajaan kata ini, tak akan memakai
kata-kata dan kalimat rasis, yang memecah-
belahkan kesatuan huruf, kata dan kalimat.
Kerajaan kata bukan dari golongan kata-kata
dan kalimat para pelampau dan para penjenayah
dan perosak negara. Kerajaan kata turun dari
kekayaan firasat dan khasaf dan anugerah abadi.
Kerajaan kata duduk sama tinggi sama rendah,
yang terbaik itu adalah datangnya dari sukma
yang terpilih, selebihnya adalah dirimu buat besok.

Honiara
19 September 2012

**telah diterbitkan dalam antologi Puisi Kepada Sahabat, penyelenggara Rusdi Awang, Siti Hadiah Haji Abdul Mutalib, Masmah Mohd Ali, DBP Cawangan Sabah 2013.







Monday 17 September 2012

Percakapan Sendiri* (Indah)

Malam itu aku duduk di perambian sendiri
bintang-bintang bertaburan tanpa hujung
laut tenang dan kucuba undur ke belakang
mengingati masa lalu, seperti orang lain,
seperti hewan, semuanya ada kenangan
masa silam. Menoleh ke belakang, mudah.
Tapi, menoleh ke masa silam, bukan seperti
membuka catatan dalam diari di atas rak
bertahun-tahun tanpa disentuh. Ini sekilas
pandang, duduk seperti mengelamun sendiri,
ketawa kecil atau senyum-senyum kambing.
Kekadang, bercakap-cakap atau melontarkan
komen dan boleh saja terbatuk-batuk kecil.
Membawa fikiran ke masa lalu bukan seperti
sebuah cerpin, ada plot dan watak-watak
yang terlibat dan penamat. Ini barang yang
lepas, mau tidak mau harus diterima barang
yang lepas. Keputusan telah dibuat. Tiap
kejadian telah ditutup fail-failnya. Hanya
keberuntungannya, di sini, masih boleh
kembali membalik-balik fail-fail lama
sekedarnya. Aduh, langit selalu sayang,
kerana kalau selalu sayang dalam setiap
pengucapannya maka yang lahirpun akan
nampak sayang. Ya Tuhan Rahim, aku
mengenang masa lalu, tersimpul kukuh
dalam tempurung kepala ini. Masa lalu
telah tersimpul rapi. Aku memang terhukum.
Sekalipun sakit, hanya sebentar. Tak terlalu
lama. Bukankah semua orang mengalaminya.
Semua orang pernah. Hewan juga pernah,
alam juga begitu. Menoleh ke belakang,
seperti pada malam ini, kunang-kunang
memanggil malam, malam pun tunduk.
Menyerah tanpa perlawanan. Bertitih ke
masa silam, sambil menghirup udara.
Ke depan, maju ke depan, tinggalkanlah
masa silam, anggap semuanya telah
menjadi barang purba, baik buat muzium.
Biar masa lalu dan masa depan bergandingan
mengalir ke laut yang sama. Merasa? erm,
bersalah? Masa lalu, memang ada pengalaman
pahit. Pengalaman pahit yang getir dan
manis itu semua ujian di bumi, ujian
yang terus berlangsung sampai akhir.
Sebenarnya kembali ke masa silam itu
kembali ke dalam diri, kembali menggenangmu.
Dunia telah berubah, masa silam masih
utuh, seutuh langit, seutuh kenangan.
Tapi kenangan itu akan menjadi tohor
suatu masa. Sebelum itu, aku akan memeggangmu
erat. Kita jalan bersama. Aku hanya mengambil
kemanisanmu. Yang keruh telah ditinggalkan.
Di Perambian sendiri, aku melihat bintang-
bintang berjatuhan di tapak tanganku
mengores garis-garis, kedamaian sebuah hati.

Honiara
18 September 2012










Sunday 16 September 2012

Barisan Kata* (Indah)


Hujan telah turun sejak semalam, berguruh, petir
dan guntur, aku telah mendengarmu dan telah di
kerahkan barisan kata-kata yang siap maju ke depan
siap untuk dikorbankan, seperti Ismail tanpa
berdua hati, kerana mereka merasa terpanggil.
Dari sukmaku mengalir dalam darah, dari darah
merah, menjadi huruf-huruf yang segar-bugar,
lalu terkumpul menjadi kata-kata. Dalam sesaat,
telah menjadi kalimat. Mereka gagah, tak ada sekelumit
ketakutan hinggap dalam sukmanya. Kata-kata
dan kalimat ini bergerak-gerak setelah berkeliling
di dalam urat-urat nadi ke bawah dan ke atas
sampai ke dalam urat sarat otakku. Kini mereka telah
siap meloncat dan melayang keluar dari segala inderaku
tapi, bukan sebagai musuh. Kata-kata dan kalimat
adalah pembela di barisan depan. Mereka adalah
anugerah Tuhan Yang Esa. Tuhan kebenaran. Aku
tak akan merasa sangsi dan curiga pada mereka.
Kata-kata dan kalimat turun dalam letusan fikir
dan jiwa raga yang ikhlas. Aku tak akan membiarkanmu
menjadi peluru-peluru membunuh dan membawa maut.
Apa lagi sebagai kuman penyakit menular membawa
bencana kepada manusia sejagat. Aku tak akan
membiarkanmu, kata-kata dan kalimat menjadi derhaka.
Kau adalah dari huruf-huruf lahir dari jiwa yang tenang
dan harapan pada  kemanusiaan dan alam sejagat.
Kau pun bukan robot pemusnah yang dikutuk orang.
Kata-kata dan kalimat ini selalu berdiri pada kebenaran.
Kebenaran sejagat. Kebenaran yang tak akan dapat
diputar-belit. Kebenaran yang murni. Kebenaran
yang teruji. Kebenaran yang tak dapat didiamkan.
Itulah barisan kata-kata dan kalimat, niatnya selalu
mendapat restu dari langit. Ya Rabbi, biar kata-kata
dan kalimat tetap menjadi penyelamat dan obat
penyembuh pada tipu muslihat dan siasat musuh.
Mereka telah mati-matian dalam diam-diam
membuat kejahatan dan memesongkan kebenaran.
Dan berusaha menunggang-balikan dunia supaya
akur dalam tipu-muslihat. Mereka memakai barisan
kata-kata dan kalimat tapi dengan niat untuk membuat
ribut dan porak-poranda di bawah petala langit ini.
Mereka tak pernah puas menconteng-conteng atau
pun menumpahkan dawat pada kebenaran. Mereka
angkuh, kata-kata dan kalimat mereka angkuh.
Tapi, Tuhan masih ada. Tuhan yang hidup. Tuhan yang
terus berkata-kata sampai qiyamat. Tuhan kebenaran.
Tuhan yang tak akan membiarkan penghinaan bertakhta
atas kebenaran. Tuhan yang tak akan membiarkan kelicikan
mereka membawahkan kebenaran. Benar, aku mencintaimu,
barisan kata-kata dan kalimat ini hidup dan lahir dari sukma.
Kaulah, kekasih Allah, kerana itu, aku telah persiapkan
pelana dan kuda semberani, dan telah kukerahkan barisan
huruf-huruf menjadi kata  dan menjadi kalimat berderap
ke depan. Telah mereka dipersiapkan kepak-kepak
yang siap menjadi panah-panah yang terus menusuk-nusuk
ke sukma musuh. Aku tak merelakan kezaliman, apa lagi
kebohongan menetas dari musuh-musuh durjana.
Kebohongan mereka samasekali tak menyamai keindahan
kata-kata dan kalimat kekasih-Mu, Muhammad Rasulullah.
Oh Tuhan, yang menurunkan kebijaksanaan, berilah aku
sedikit, supaya setiap gerak huruf-huruf, kata dan kalimat
tak akan longlai dalam permainan tipu-muslihat musuh.
Tiap kata-kata dan kalimat dalam semaian telah siap-siaga.
Mereka seluas langit terbentang dari timur ke barat, utara
selatan, sederas air terjun mengalir, seluas samudera lautan.
Kata-kata dan kalimat itu seluas alam maya, sebebas burung-burung
yang terbang melintasi benua, sumurnya tak pernah kering.
Bukan kata-kata dan kalimat kebencian. Bukan, bukan,
bom yang membunuh. Kata-kata dan kalimat yang turun dari
sari pati Seribu Satu Malam. Dari perjuangan yang kental,
dari hidup yang murni, dari hidup yang menawan. Inilah
barisan kata-kata dan kalimat yang tak pernah menjadikan
kau bosan mendengarkannya. Kerana Allah, melindungi
alam semesta, dan aku di dalamnya. Aku berkata-kata
kepada Tuhan Rabiul Alamen, Ia berkata-kata balik kepada
aku dan dirimu. Ya Tuhan, lindungilah kata-kata dan kalimat ini
dari kebodohan dan kosong tanpa makna dan tujuan.
Kata-kata dan kalimat yang turun ke dalam sukma, biarlah,
turun dari kerendahan diri, turun dari daya artistik yang sedar.
Turun dari langit samawi. Turun membawa khabar suka.
Turun dari ketenangan di malam-malam tafakur. Turun
dari bait-bait puisi yang rindu pada kehadiran-Mu, turun
dari harapan. Dari dulu, kata-kata dan kalimat-kalimat
kekasih-Mu adalah anugerah-Mu. Tiada siapa yang dapat
merampas kedudukan kekasih-Mu yang mulia. Ya Rabbi,
tuangkanlah ke dalam huruf-huruf, kata-kata dan kalimat
ini, cahaya yang melenyapkan kegelapan dan membawa
perubahan langit dan bumi. Barisan kata-kata ini pelengkap
yang terjalin di dalam sukma, mereka terhimpun dalam
kata-kata dan kalimat bukan sebagai racun tetapi sebagai
penawar padamu.

Honiara
17 September 2012
*ITBM



Friday 14 September 2012

Bisik-Bisik (Ketuhanan)

Ya Rabbi, aku bisikan kepada-Mu
kata-kata lembut dalam kalimat
tak terlalu keras sederhana saja.

Biarkan Kau saja mendengarkannya
yang lain aku tak bisa percaya
kerana nanti disalah mengertikan.

Kata-kata ini mengalir dari sukma
tak ada kata-kata yang mengugat
atau memaksamu atau dipaksakan.

Ini adalah salam kerinduan buatmu
kubisikkan pada langit biar nanti
turun bagai hujan gerimis di sukmamu.

Aku datang lagi dengan bait-bait kata
tiap kata ulangan berdiri santun,
mendekati-Mu, bagai anak kecil.

Aduh, aku gugup kerana memang
ini yang dirasakan, yang dibisikan
memang itu yang kau juga rasakan.

Ya, Rabbi, aku malu pada-Mu
Aku ingin ia pendamai hati
kekurangan ini telah mengujiku.

Kalau aku majnun, kaulah,
Laila, gazelku di malam kenanga
yang datang ke dalam mimpi.

Ya Rabbi, biar diulang genta rasa
dan bisikku turun menjadi doa
salam buatmu dari kejauhan.

Honiara
15 September 2012




16 September 2012*(UB) (Merdeka)

Aku mengenangkanmu, sehari sebelum hari itu,
hari perayaan yang gemilang. Beberapa hari ini
kau telah mendengar tentang hari gemilang itu.
Hari lahirnya sebuah pakatan dan masa depan.
Aku masih terlalu kecil untuk membayangkan
tugas dan tanggung jawab yang diletakkan ke
atas pundak. Sekarang, kau harus berdiri dan
menjadi sebuah bangsa, sebuah negara, yang
merdeka. Kemerdekaan rembulan penuh dan
di langit telah pun akur, ini adalah kemenangan
bangsa, bangsa Melayu, bangsa Malaysia raya,
bangsa bermartabat, yang berakar tunjang
pada tradisi yang kukuh di pusar bumi. Aku
tak akan berkata kalau itu bukan kebenaran.
Kebenaran yang tumbuh dari suara-suara
pribumi, suara-suara yang datang dari pedalaman
menuruni lembah ke banjaran Crocker lalu
menjadi air terjun dan sungai-sungai yang
mengalir jauh ke teluk dan muara, bergenang
sampai ke pulau-pulaumu. Aku mengenangimu,
sekalipun aku tak bersamamu, sukmaku telah
menyerap ke dalam sukmamu. Kita menjadi
satu, satu bumi dan satu langit. Sabah, kusebut
namamu, kerana aku telah lahir di situ. Bagaimana,
aku bisa melupakanmu. Kau, seperti Gazelku,
selalu datang dalam lamun dan mimpi di
segala musim. Kau hadir dalam bual, impian
dan mimpi. Setelah aku pergi, impian dan mimpi
itu akan hidup pada seorang aku yang kemudian,
setelah itu hidup pula pada mereka yang kemudian,
yang kemudian lagi dalam ratusan tahun dan ribu-
ribuan tahun dan sampai qiyamat. Namamu, Sabah,
hidup dalam doa-doa mutaki dari sukma yang bersujud.
Aku turunkan segala impian ini dari sukma yang
merdeka. Di sini aku terpanggil menurunkan bait-bait
kekasih yang merindukanmu. Aku hanya berdaya
mengumpul kata dan kalimat ini, sederhana, dan
tulus dari jiwa yang sedar dan bersaksi. Kuhadiahkan
kepadamu berupa salam dan perutusan doa. Setelah itu,
gelisahku akan redah, lautan ini akan tenang dan langit
akan cerah. Ungkapan kemerdekaan tak akan memberi
pengertian dan makna tanpa-Mu. Kerana kemerdekaanmu
dan kemerdekaanku, hadiah dari langit. Yang empunya
kuasa ke atas hidupku dan hidupmu. Tanpa-Mu,
kemerdekaan ini tak akan bertahan, hancur, luluh
di depan mata dalam sesaat. Seperti Tsunami, menyergapmu
dalam kau lena dan alpa. Perlukah kau diingatkan,
telah berapa kota tenggelam lenyap. Kupanggilmu,
tanah airku, yang gemilang, kerana kau memang gemilang.
Meskipun kita selalu mengharapkan yang terbaik dan
sempurna tapi ada saja kekurangan itu, namun kita
harus terus melangkah tanpa berundur. Tak semua
persoalan ada jawabnya, tapi setiap kemampuan pasti
menjanakan impian. Aku dan kau tumbuh sebaya, tapi
tak salah kalau aku katakan aku adalah abang kepadamu.
Kalau aku terkasar bukan ingin melukaimu, sekedar
mengingatkan. Kerana ketika aku telah tiada, kau
masih ada. Itu kenyataan. Aku tak akan kecewa,
Dan langit juga, tak akan kecewa, kerana kemerdekaanmu
terisi harapan sebuah bangsa, harapan sebuah negara,
Malaysia, dalam alaf 21. Bila kata dan kalimat menjadi
hambar dan kosong tak bermakna, gerhana menunggu
di horizon. Ya Rabbi, bukan itu yang kuinginkan,
samasekali bukan. Kemerdekaan ini, adalah kemerdekaan
kata dan kalimat dan berfikir, kemerdekaan anak bangsa,
kemerdekaan yang hidup bukan mati. Kekasih, menjelang
hari gemilang ini, berdandanlah seelok rupa, berkata santun
sambil berdoa, lenggang-lenggokmu yang sederhana,
kemeriahan cahaya dari rumahmu, gelak-gelak anak
di halaman, nenek tua bisa tersenyum, pejuang bangsa
duduk merendah, aku pun meletakkan tangan ke dada,
inilah bingkisan sederhana buatmu, perutusan 'merdeka.'

Honiara
15 September 2012

Nota: Tersiar Di Utusan Borneo 17 September 2012
*Antologi Kemerdekaan

Thursday 13 September 2012

Aku Dan Puisi (Puisi) (Metamorposis)(ITBM)

Tiap hari kalau tidak diam aku akan mengumpul
huruf-huruf  lalu terkumpul menjadi sari kata
dan bait-bait puisi yang sederhana. Kata-kata
biasa dari pengucapan biasa setiap hari. Aku
suka pada kesederhanaan kerana di situ ada
rahsia keindahan yang mengalir dan tak pernah
kering. Aku tak memaksa atau terpaksa menulis
tapi terasa tolakkan dari sukmaku seperti Gazel
merontah-rontah, menerjang ke udara ingin
berlari bebas di dataran rumput hijau. Kata-kata
itu terkumpul menjadi bait-bait yang bersayap
dan mengetuk langit samawi. Kekadang seperti
burung-burung kecil di tepi danau mengibar-gibar
bulu kepaknya. Ada kedamaian setelah aku
menurunkan bait-bait itu untuk dibaca. Walaupun
ia masih bait-bait puisi yang terkumpul ingin
melangkah ke dalam kumpulan doa yang hidup
dan bernafas. Turun bait-bait puisiku di malam
tafakur. Aku terus memanggil-manggil nama-Mu,
dalam kesederhanaan, memandang dunia sebagai
gelombang-gelombang udara  yang mengepul dan
hilang sekelip mata. Bait-bait puisi ini bukan untuk
menyiksamu, apa lagi menjadi panah-panah api
yang melayang ke pusar langit turun sebagai raksasa
dan belerang. Bait-bait puisi ini, bukan, samasekali,
bukan cairan racun dipaksakan supaya kau harus
meminumnya. Bait-bait puisi ini bukan juga kumpulan
kata-kata lalu menjadi tali kalimat yang menjerat di
lehermu. Sungguh! Mereka hanya sekedar bait-bait
sederhana, dari khazana masa silam mengalir sampai
ke sini. Dalam tiap huruf-huruf itu hidup sendiri-sendiri,
dalam konsonan dan vowel. Aku menyintai semuanya.
Kalau puisi-puisi itu adalah  sebuah resepi, aku ingin
rempahnya kental dan meresap sampai ke tulang sum-sum.
Aku ingin tiap kata turunannya, kekayaan yang melimpah
dari tradisi turun-temurun. Mereka adalah barisan kata
dan kalimat yang siap siaga berkorban demi kemerdekaan
sebuah bahasa. Bahasa yang hidup dan bernyawa,
bahasa puisiku, aroma puisiku, kesederhanaan puisi dalam
bahasa ibunda. Di dalam bait-bait puisi ini, ada suaramu,
Tun Sri lanang, ada keberanianmu, kebijaksanaanmu,
Puteri Gunung Ledang. Bila kulantangkan suaraku dalam
bait-bait puisi ini, aku masih seorang yang sederhana,
aku tak akan mencari musuh. Kerana, tiap bait-bait
puisi yang terucap adalah kasih sayang bukannya dendam
kesumat. Adalah bait-bait puisi yang mendekatkan diriku
kepada-Mu. Bait-bait puisi ini adalah suara-suaramu,
tanpa sempadan, merdeka seluas alam jagat, seluas langit.
Dalam jalur-jalur genta rasaku, aku mengingatimu, dan
kau tetap terpandang seorang Mushi, Mushi Abdullah.
Bait-bait puisi ini adalah sari yang menitis, keindahanmu,
dalam ungkapan manismu. Kalau aku dapat mengambil
sedikit darimu, Usman Awang, masuk ke dalam bait-bait
puisiku, dan biarkan bait-bait puisiku tenang senang lautan
Zaihasra. Turunlah, bait-bait puisiku, meskipun kau masih
kata kalimat seorang musafir, yang pulang ke dalam
tradisi. Bait-bait puisiku ini adalah kekasih dan harapan.
Yang terkumpul dalam rembulan penuh menjadi bait-bait
puisi. Mari, kupinjam sukmamu A. Latif Mohidin, Muhammad
Hj Salleh, Agi dan Kemala ke dalam bait-bait puisiku. Siti Zainon Ismail
dan Zurinah Hasan pelengkap hiasan sebuah puisi. Sungguh,
aku dan puisi berdiri di dataran rumput musim semi. Dan,
kau, Gazelku, mari kita, berlari semaunya sampai ke langit samawi.

Honaira
14 September 2012
*ITBM

Wednesday 12 September 2012

Pulau Bidung (Boat people)

Pernah Pulau Bidung ini sarat dengan penumpang malam
udaranya semakin tipis kerana terlalu ramai yang tiba
dan yang pergi pula terlalu kecil. Lautnya bergelora
mengirim gelombang-gelombang dan guntur dan petir. Dan
penumpang malam datang juga. Pulau Bidung merasa langit
dan lautnya tercemar. Yang tiba tetap tiba, ke pintu masuk
dunia bebas. Jumlahnya makin besar, mereka bergayutan, sesak,
dan memanjat ke tulang belakang Pulau Bidung. Orang-
orang panik dan mulai mengirim isyarat. Guruh dan petir
sambung-menyambung, kedamaian Pulau Bidung dirasakan
telah musnah buat selamanya. Jika tidak diambil tindakan
Pulau Bidung ini akan tenggelam ke dasar Lautan China Selatan
Dan namamu hanya tinggal nama. Dan hanya tinggal nama.
Jenerasi akan datang tak akan mengampunimu. Mereka
akan memperolokmu dan menyumpah. Gendang
pun dipalu, supaya rasa ketakutan meresap ke dalam
sukmamu. Siang malam kau diperingatkan. Tiada masa
kau tidak diperingatkan. Rasa kemanusiaanmu pun
dipertikaikan. Percakapanmu menjadi perbualan di mana-
mana. Tiap orang mempunyai pandangannya sendiri.
Tiap orang menghukum sendiri. Tiap orang terlalu sensitif,
tiap bual menjadi debat berjela-jela, tanpa arah dan keputusan.
Pulau Bidung, di lautan China Selatan, kini menjadi tumpuan
pelancung. Dulu, bekas-bekas penumpang malam pernah duduk,
berasak-asak dan tiap mata kuyuh dan sayu. Mereka mencari
matamu untuk sekilas belas dan harapan. Kalau diperhitungan
masa itu telah jauh ke masa silam, orang pun telah melupakan.
Penumpang malam yang menemukan wajahnya di negara-negara
Utara dan Selatan, sesekali igaunya hinggap dalam mimpinya
membawa sukmanya ke Pulau Bidung dan Lautan China Selatan.
Pulau Bidung, kau tak akan dapat dipisahkan dari pendatang,
penumpang malam, dan gemuruh samudera masa silam. Dan mereka
juga tak akan dapat melupakanmu. Pulau Bidung, kini, langitmu
cerah, bumimu, hijau, airmu manis. Kemurahan dan ramah-tamahmu
menjadi hiasan di langitmu. Pulau Bidung, selangkah lagi
mendekatimu jalan ke syurga.

Honiara
13 September 2012




Mengenangmu (Boat People)

Sendiri, berdiri di pinggir pagar melihat
tenang teluk Sandakan. Pernah di situ,
di pelabuhan Barter Trade ini sibuk,
ratusan dan berlipat sampai ke ribuan
penumpang malam berdatangan. Kapal-
kapal penuh muatan, orang-orang
dari kepulauan selatan terpaksa pergi
dan memburu cahaya di pesisir pantaimu.
Sabah, terpanggil membuka pintunya.
Perang, tembak-menembak, lari dan sembunyi,
Regim Marcos mengepong desa-desa dan
memaksamu menjadi penumpang malam.
Di lautmu, terlentang kepulauan selatan,
pulau Mindanao, Tawi-Tawi, Pahlawan dan
Pulau Jolo, di laut Sulu, benteng yang
kukuh dan tak pernah dikalahkan.
Armada Sepanyol terpukul mundur, datang
Kolonial Amerika, menerima nasib sama.
Bangsa Moro terus diburu, pembantaian
bangsamu masih hidup dalam ingatan.
Dan peristiwa hitam itu, jadi tugu dalam sukmamu.
Kini, setengah abad Sabahmu, merdeka, laut,
kepulauan dan sempadanmu, tenang. Langit
malammu menelur mimpi, kapal-kapal belayar,
datang dan pergi. Kesabaranmu sebagai rembulan
tetap ramah, berteduh dan mencari makan.
Di sini, mereka berbual, minum kopi. 
Lalu membuat pesta dan membesarkan
rumah tapi lupa menyiapkan lantainya rapi.

Honiara
13 September 2012

Tuesday 11 September 2012

Selamat Tinggal Bumi (Boat People)

Ketika aku melangkahi halaman rumah,
turun dari anak tangga, rumah ini bukan
rumahku lagi. Tapak-tapak di atas tanah
memang tapak kakiku, setelah diulit masa
ia pun hapus tak berbayang lalu debu-debu
terseret terpukul angin ke sana ke mari.
Tiada lain dalam tas ini, ada foto keluarga
anak kunci rumah peninggalan masa silam.
Sebelum berpergian, di tanah asing atau di
pelabuhan jauh sepi, aku akan mengelus
-ngelus anak kunci ini di tangan kanan.
Aku, lelaki tanpa negara. Terpukul gelombang,
diherdik dengan bahasa kesat dan tak berkawan,
melambung ke atas, ke bawah, mencari dahan
hanyut di pulau pasir. Kini, telah kuhanyutkan
masa silam dan mengangkat sauhu, membiarkan
tofanmu memukul sepuasnya, sakitnya tak terasa.
Pernah kurasakan jasadku terangkat ke langit,
melayang-layang tanpa pelabuhan dan perhentian.
Aku melihat bumi seperti sebiji kerongsang.
Selamat tinggal, bumi. Kau tak pernah kalah
sekalipun dalam kejutan, apa lagi gegaran dan
bumi masih di situ, dan masih bernafas.
Di sini kali terakhir aku melayang-layang jauh
dari bumi dan anak kunci dan foto itu masih
kugenggammu baik. Selamat tinggal bumi.

Honiara
11 September 2012





Monday 10 September 2012

Resepi dan Kata* (Cinta)

Aku mencium baunya
sebelum mengenalmu
Kau telah menciumnya
sebelum mengenalku.

Katakan ia longgokan
kata-kata dan kalimat
digauli dalam rempah,
dimasak dari tangan kasih.

Sederhana pengucapan
dalam kembara diri
resepinya tetap mudah,
dan mengundang selera.

Dari hujung lidah
sampai menelannya.
Jarang jemu, apa lagi
memaling wajah.

Honira
10 Ogos 2012

*ITBM









Bulan Tenggelam* (Cinta)

Semalam melayang
tanpa bersayap
bulan tenggelam
seperti sebiji aspirin
ke dalam laut.

Sandakan
9 Oktober 2012


Friday 7 September 2012

Kata-Kata* (Majnun) (Indah)

Haruskah aku menyatakan isi hati pada dunia
tanpa berahsia atau berpura-pura berselindung
dalam bayang-bayang kata dan makna sebuah
kalimat. Aku majnun dengan kata-kata. Lalu
aku mencintaimu. Lembahku, lembah kata dan
langitku, langit penuh dengan kata. Seribu kata
tak mencukupi bagiku. Tambah lagi seluas benua,
seluas samudera lautan dan pulau-pulau menjadi
timbunan kata-kata. Aku majnun padamu. Aku
rindu padamu. Kata dan kalimat bergandingan,
kita melangkah dan mendaki gunung bersama.
Menuruni lembah dan mengharung gurun. Kau,
adalah kekasihku, juga adalah sahabatku dan aku
tak akan pernah memusuhimu. Aku baring sendiri,
di sini, terlentang di dataran ini, di sekelilingku adalah
lautan kata dan kalimat sedang langit menurunkan
hujan gerimis dan aku tak pernah merasa terdera.
sentuhan kata dan kalimat jatuh berhamburan
menyapu wajahku. Kalau ini dipanggil majnun,
katakanlah sesuka hatimu. Aku tak akan marah.
Apa lagi berbalas dendam kepadamu, jauh dari
sudut hatiku. Kata dan kalimat, adalah wangi taman
di musim semi merangsang aroma dan indera.
Kata-kataku kasih sayang bukan dendam kesumat.
Bahasaku adalah kata dan kalimat yang hidup.
Cintaku padamu bukan dipaksa-paksa, tapi lahir
dari impian dan harapan. Tiap waktu, dalam suka dan duka
aku ingin selalu bersamamu. Aku tak ingin, di
pisahkan walau hanya sesaat, sehari, apalagi
seminggu. Setahun. Tak sanggup. Sekalipun berada di
tanah asing dan langit asing, aku tak akan
sanggup berpisah denganmu. Apa lagi berjauhan.
Mati hidupku akan selalu bersamamu. Kau,
mententeramkan jiwaku yang gelisah, Kau, selalu
berada di barisan depan, siap siaga. Kata dan kalimat
adalah dari sumber mata airku, tak pernah kering
kerana, langit-Mu senantiasa menurunkan takaran
hujan yang tepat dan sesuai. Bagaimana aku bisa
menyatakan sangat kasih padamu, kerana itu bisa
jadi takabur. Ampun, ya, ampun, Ya Tuhan Rahman.
Aku mencintai kata dan kalimat kerana Kau ajarkan.
Kata dan kalimat adalah darah merah mengalir
dalam tubuhku, mengalir dalam gelombang udara
dan senantiasa menjadi tonic dalam sukmaku.
Bagaimana aku menjadi bangsa yang besar?
Tanpa kata dan kalimat, aku tak merdeka. Tak merdeka.
Biar, bahasaku majnun kerana mencintaimu.

Honiara
8 September 2012
*ITBM



Wednesday 5 September 2012

Puisi* (Puisi)(Metamorposis)

Sekarang aku telah siap menjawabmu
pertanyaan awal yang tak terjawab di
malam gerhana atau purnama penuh
Ketika aku menurunkan huruf kata
lalu tercantum menjadi sebuah puisi
sambil mencicip limau kesturi melihat
Serindip terbang melintas jendela langit.
Aku sedar setiap anak kata lincah,
segar dan tampan bermain di halaman
sukma. Mereka, kata-kata yang hidup
bagai bintang-bintang gemerlapan
di malam purnama. Mereka adalah
soldadu siap dikerahkan di barisan
depan. Atau menjadi tembuk besar
merintangi benua ke benua, langit ke
langit, samudera ke samudera. Mereka
bukan kata-kata yang terhukum atau
hamba yang terbelenggu, tanpa suara
tanpa jiwa. Mereka merdeka. Merdeka
dalam pengucapan, merdeka di lembah
dan dataran, sebingkas kuda semberani,
bila tercantum menjadi melodi terindah
melunakan seorang kekasih dan memberi
nafas kepada doa-doa, segar dan hidup.

Honiara
6 September 2012





Monday 3 September 2012

Adagio*(Wadah DBP CS Disember 2012) (Terbit)

Tiap huruf kubisikan ke telingamu
seperti anak kecil, kekadang bertanya
berulang-kali, dan tak pernah puas
dan aku menjawabmu sabar sampai
kepuasan terasa pada kerdip matamu.
Adagio. Dalam keterasingan, selalu
didambakan, datanglah walaupun
hanya sebentar seperti burung Serindip
terbang sekawan, hinggap di ranting.
Ada suatu saat dalam keramaian atau
duduk menyepi suaramu muncul dalam
pakatan rindu. Adagio. Kau memang
beda satu dalam ratusan. Tinggi rendah
suaramu, menipis dalam gelombang udara.
Tiap kata menyerap ke pembuluh darah,
berdegup dalam gegendang telinga, lalu
menjadi musik piano, sukmaku tersentuh.
Adagio, jejarimu terus menari di lembah rasa
genta bait-bait puisi indah dalam gelisah tercipta.
Keindahanmu. Aku tak akan berhenti di sini.

Honiara
4 September, 2012
*Terbitkan, Disember, 2012,  Majalah Wadah terbitan DBP Cawangan Sabah, (24 october, 2012)
*Puisi ini telah disiarkan 5 September, 2012 dalam segmen Sastera Muzikal Senusantara melalui DjMyFm Online lewat jam 10:00 semalam oleh Deejay bertugas Ramz-Nikoda (Sdr. Ramlee Wahab)..

Sunday 2 September 2012

Salam di Tanah Terasing (Pasifik)

Aku duduk menghadap ke pintu
langit kabut, hujan turun sedikit
merendam debu-debu di jalanan
wajah seseorang masa lalu datang
berpijak sebentar, masuk ke dalam
seperti gemersik daun kering dari
masa silam, dan memberi salam.
Kuterima salam, terkenang wajah
itu, datang mendekat dan menjabat
tangan kemudian ia berlalu pergi.
Matanya lemah, janggut kumisnya
tak terpelihara baik. Ia berpatah balik
keluar pintu. Aku mencari wajah itu
dalam ingatan di masa-masa terasing
jauh ke dalam masa silam, di tanah
terasing. Ia jalan terhuyung-hayang
mencari tempat pegangan. Kupelajari
raut wajahnya, pintu ingatan terbuka
sedikit.  Aku mengingati wajah itu
pernah mengetuk pintu suatu senja
memberi salam, 'Assalamualaikum.'
Ia, satu daripada awal perjuangan.
Di tanah terasing ini, aku menemukan
kembali wajah dan sukma yang 
gelisah, datang sebentar bagai igau
di siang terasing. Mereka adalah benih
disemaian tumbuh, separuh, atau tak
bertunas. Sisa dari perjuangan yang
belum selesai. Selebihnya kembali
pada-Mu. Di tanah terasing,sekalipun
dalam kenangan, aku mengenangmu.

Honiara
3 September 2012

*ITBM (Bahagian II)



Salam Merdeka (Merdeka)


Aku telah dilahirkan sebelum negaraku 
merdeka. Sebelum kami menjadi bangsa. 
Sebelum lidah kami lurus berbahasa sendiri. 

Sebelum merdeka kami tak bertanah
menumpang ke sana, ke mari, berpindah-
pindah, tak bercita-cita besar, selain 
menjaga hati tuan supaya senang.
Sekarang suaramu emas, berlambang
boleh memangkah, pandai berhisab.

Orang bersorak merdeka, merdeka!
Sedang aku melihat jam kalendar.
Berdentum-dentum kembang bunga api
aku memandang keluar, melihat laut,
hujan lebat arah ke barat. Merdeka, aku sendiri.

Canberra
31 Ogos, 2012

*Antologi Kemerdekaan