Tuesday 30 September 2014

Purnama Di Malam Kenanga* (AMNS)

Kekasih, kau telah
memotong langit malam
terpisah dua.

Ambillah bintang gemerlapan itu
purnama malam Kenanga.

Kata-kata telah hanggus
jerebu dalam mimpi gelisah.

Hanya inayat-Mu

Kekasihmu pulang
kerinduan itu, tetap ada
kebencian itu, tiada
sirna dalam gelora sukma.





Monday 29 September 2014

Menatap Masa Depan*(ITBM)

Menatap masa depan
tanah bumimu seperti bergerak
pada penglihatanmu
langitmu telah beredar ke negeri lain.

Tiadakah impian yang lebih manis
menguburkan dendam-kesumat
jauh ke dalam pusar bumi.

Kalau ia tak kembali
kau pun tak akan bertanya berita
tentangnya.

Mengapa kekejaman pula penyelesaian
gunung runtuh ketika persidangan damai
maut mengendap sedang pemukim tidur
kepenatan di anjung malam.

Aduhai Kekasih,
sedang kau menghampar permaidani
suara lunakmu memanggil pada kedamaian
di sempadan mereka meniup bara api.


*ITBM Jun 2015
*Dikirimkan kepada shamsudean66@gmail.com
sebarang pertanyaan hubungi no 013-3423166/urus setia, antologi wasatiyyah. 27 November 2014



Cinta Tawajuh*(ITBM)

Pada
negeri orang bercinta
mata sukmamu
menafsir erti
kerinduan dan
kesepian.

Kau menyulam kata-kata
cinta itu menenangkan
gelora lautan
dan menawan pulau-pulau sepi
lalu memerdekakannya
menjadi butir-butir mutiara
kenangan dan abadi.

Tubuhmu adalah
bumi yang subur
benih terbaik
tumbuh berbuah manis.

Cinta kudus
tak binasa oleh waktu.

Pada suatu siang
kau
terbawa arus
lautan
ke pulau tawajuh
tanpa menoleh.

*ITBM Jun 2015

Kesatuan Ummah*(Merdeka)

Aku mendengar deru taufan angin
seperti gema gelombang lautan
jeritnya terasa di pelosok pedalaman
sampai ke pulau-pulau yang jauh.

Ada menghias langit dengan lampu neon
menconteng rembulan di kanvas malam
aku tak akan dapat membayangkan
Kedamaian sukmamu akan terubat.

Ribut telah melanda tanah ini
seribu kemungkinan kau sendiri tak
dapat menjawab apalagi menguasai
hutan hanggus dan kabus jerebu.

Keadilan adalah amanat perjuangan
tak akan membenarkan kezaliman
Kerana kebenaran ini akan dilindungi
Tangan samawi dan inayat-Nya.

Seperti serangga menyerbu mangsa
kau tak akan dapat menghalang
meruntuhkan langit kedamaian ini
yang tak mungkin, memungkinkan.

Aku yakin kemerdekaan ini
hadiah samawi kesatuan ummah
kepatuhan dan pengorbanan Ismail
jawaban dari mimpi yang benar.





Friday 26 September 2014

Puisi Sederhana* (Puisi)(Metamorposis)

Di suatu siang
tiga anak kucing
di halaman
aku menunggu
surat dari jauh.

Jalan sepi
dan kosong
mana perginya
suara itu.

pulau itu pun
terpisah setelah puluhan tahun
bertahan di dalam sukma.



Memandang laut*(Cinta)


Kerana sayang
aku melepaskanmu terbang
kembali ke pulau asalmu.

Pada laut, di situ
ada sebuah pulau
kau selalu menunggu
di pengkalan.


Honiara
2011

Wednesday 24 September 2014

Firasat Merdeka*(Merdeka)

Gerhana telah muncul
menyempurnakan isyarat
seribu tahun penantian
langit tak mudah menyerah
dari masa silam suaramu
tetap kasih-sayang.

Kau tak akan berubah
menukar warna kulit
memang alam ini pun
ada keindahan menawan.

Musim gempa
di pergunungan
maut berjatuhan
tapi, kau terus mendaki.
di garis penamat
hanya dirimu
hanya dirimu.

Kau memilih kedamaian
ini bukan tanda kelemahan
dan bukan pula kekalahan.

Kau tak pernah
memilih kekerasan
apa lagi kezaliman
dalam kedamaian
ada muafakat.

Tiap perjuangan itu
adalah pengorbanan
dan kerana perjuangan
kau pun merdeka.

*Dikirim kepada KST 12 Augsut 2015







Puisi Di Pinggir Mata* (Puisi)(Metamorposis)

Malam ini
mata bulan,
anak bintang
bersembunyi
dalam mimpi
hujan bukit.

Dawat hitam
kering
kata-kata tawajuh
bergayutan
di pohon sukma.

Kau adalah
kekasih
ditabalkan
dari letusan
komet dan
luluhnya
kejora
di malam gerhana.

Kau telah
kehilangan
masa silam.
Di tanganmu
tanah menjadi pasir
sebidang tanah
dendam
turun-temurun.



Wednesday 17 September 2014

Kau tak akan berhenti*(Ketuhanan)

Kau mengucap
kalimat Syahada
lidahmu tenang
keyakinanmu bertahan
seperti gunung
sebutir keraguan pun
tak akan menumpang
tumbuh di tanah gemburmu.

Mengapa harus bimbang
angin memang tak berhenti
membawa ombak ke tepian.

Ribut angin makin mengila
air pantai masuk
jauh ke daratan
lahar gunung
letusan belerang
kini ia datang tanpa musim.

Harus kau gementar
panggillah sekutunya
kudrat kedua tak akan berubah.

Kau
tak akan berhenti
sampai pada garis penamat
bukanlah pengorbanan
jika ada sedikit riak.

*












Tuesday 16 September 2014

Daun Limau Muda dan Mimpi* (Puisi)(Metamorposis)

Langit mendung
hujan belum menitis
jendela terbuka
musim begini
daun limau muda
masih tumbuh.

Belum ada petanda
pada malam
masih mengundang
bahasanya sendiri.

Pulau ini telah
bertarung
terlalu lama
dan tiap badai
taufan telah
datang dan pergi.

Sukmamu masih bertahan
walaupun gema suaramu
mungkin tak kesampaian.

















Monday 15 September 2014

Ia Telah Bertukar Warna*(Cinta)

Aku tak ingin
menawanmu
apa lagi
memiliki
gunung itu.

Menawan adalah
memiliki dan menguasai.

Aku harus mengalah
seperti siang akan berlalu
pasti malam
sabar
menunggu.

Seperti terkurung
di dalam
gaung yang dalam
mengambilnya terasa
jauh dan tak tergapai.

Merelakan adalah
mengosongkan dan
melepaskanmu.

Kalau ini sebuah
rintangan jeraji besi
sekarang pintunya
telah terbuka

Bulan merah
di celah-celah ombak
sebentar bertukar warna
berubah mengundur..

Honiara
Oktober 2012

Thursday 11 September 2014

Derhaka dan Pengkhianat* (Ketuhanan)

Terlalu banyak kenangan dan catatan
membakarkannya perlu kesabaran
tragiknya tak mungkin semuanya akan
bertebaran menjadi debu.

Serpihannya berpusing-pusing
digolong angin musim kering
di depan matamu yang redup.
Kau lupa dan melepaskan
dari genggaman memori
tapi akarnya tetap kuat
bertahan tak ingin melepaskan.

Sebuah memori indah cukup
mengumpul puluhan memori
ingin melepaskan diri
hilang terbakar seperti komet.
Kau tak rasa dikhianati
sekuntum bunga ros pun
mengalami musim luruh.

Dalam rimbunan malam
kau terus berkata-kata
melafazkan dalam sepi malam
kesepian itu bukan musuh
adalah sahabat baik tak
dapat dipisahkan.

Sampai kiamat mendatang
kebenaran bukan suatu
yang abstrak dan keliru.
Kata-kata benar
bertahan dari dimamah waktu
atau dipanggil derhaka
atau pengkhianat.


Lamunan Penyair* (Cinta)


Alam diam seakan tak bergerak
keheningan ini membawa alamat
gerak bumi di lautan telah
mengirim gelombang ke pulau jauh.

Gazelku, bersabarlah,
pemburumu masih di sekitar
cuba mencium baumu di udara.

Tanpa bintang dan rembulan
apalah ertinya sebuah malam
tanpa mimpi dan impian.

Pantaimu terasa menjauh
kuda-kudamu kendur
ototmu telah kejang.


Honiara
2012

Suara hatimu*(ITBM)

Suatu siang mendung
masih bergumpal di langit
degung sekor lebah
berputar-putar di depan pintu
Lalu jatuh
bergerak sedikit
kemudian kejang kaku.

Alam tetap bergerak
tanpa menoleh
sepi terkejut
lalu beredar dalam mimpi.

Kau telah lama mendaki gunung
sekarang iklim mulai terasa panas
inspirasimu ikut tergoda
mengalir dari gunung ke lautan.

Ketika kau tak menyebelahi pihak
Hukum kedamaian adalah
pelaksanaan keadilan
tanpa dendam dan retorika.

Ketika kata-kata telah
payah untuk diucapkan
meja perundingan
kehilangan kebenaran
suara hatimu telah kau katakan
tapi hidup itu harus dilanjutkan.

*ITBM Jun 2015

Panah Langit*(ITBM)

Aku tau satu hari
panah itu turun dari langit
menjunam ke dalam sukma
seperti duri bunga ros

Kekadang ada rasa ingin mengutip
hamparan bintang di langit
tapi itu tak mungkin
akhirnya menatap dari jauh.

Perlukah aku
meratap seperti anak kecil
Soalnya kau telah jauh berjalan
matari tak merubah langkah kaki.

Aduh, memang siksa
kebenaran dinding yang terconteng
akhir dalam terpaksa kau akan
menutup pintu dan jalan ke halaman
akan terbiar,
lalang tumbuh menutup jalan.

Kau tak menghitung
malam telah meluncur
degup nadimu berpesan
bangunlah hari telah siang
tamumu akan datang
Lalu mengapa menyorok
mukamu di sebalik tirai.

Jawabku, ubi telah
menjadi kayu
kau pun tak selalu
menjenguk di kebunmu.

Salam, balasmu
di pelabuhan
memandang
benua selatan.

*ITBM Jun 2015




Tuesday 9 September 2014

Puisi Buat Waail Gazwan Al-Jabuly* (Syria)(Boat People)

Ketika kuterima berita kepulanganmu dari Syria
seakan alam bertukar menjadi foto silam tanpa warna
kau telah mencuba berkali-kali memasuki sempadan larangan
tiap kali kau menyeberangi tanah asing kau merempat
dalam kamar gelap hinggalah suatu hari kau dibebaskan.

Sukmamu bagai air yang mengalir dari menara gunung
Ketika periuk api meletup di bawah telapak kakimu
Kau tau perjalananmu ini telah berakhir dengan maut
Selamat Tinggal, ayah tua, sekarang tiada lagi kau tunggu
Berita itu hanya disampaikan dalam mimpi benar.

Kepada saudara rohaniku, kau telah mencuba dan mencuba
Tapi di sini telah berakhir segalanya dan kau dipanggil pulang
Sebagai syahid dalam perjalanan maut di sempadan Turki
Kau hancur berkecai dan tak sempat berkata apa-apa
Gema ledakan bom periuk api menipis dalam udara panas

Kali ini kau telah menjadi mangsa tanpa ada amaran
Kau nekad kerana hanya tinggal selangkah
Kau ingin berada di tanah merdeka yang gemilang
Memburu impian pendatang malam dalam mimpi benar
Demikian harapan dan keinginan di dalam sukma.

Akhirnya kau mati syahid jauh dari halaman kampung
Dalam diam-diam kau cuba dan cuba meninggalkan
Daerah perang kerana kedamaian telah hancur luluh
Yang dibunuh dan terbunuh jumlah makin besar
Dua musuh bermati-matian membunuh satu sama lain.


Kau Kehilangan Bumi Dan Langit* (Kemerdekaan)

Lupakah masa silammu
ketika kau tak bermaya
mencari tiang bersandar
menunggu tangan menghulur.

Kezaliman itu
telah jauh
dari ingatan
sejarah tragik
menghendap dalam mimpi
penderaan bangsa
datang silih-berganti
kurun berkurun kau
diburu
seperti binatang buruan.

Ketika di puncak bukit
memandang ke bawah
api dendammu membakar
hutan nuraini.
Igau Nimrod
membawa celaka.

Malam panjang
turun
ia kehilangan
bumi dan langit.









Monday 8 September 2014

Melangkahi Petala Langit dan Tanah Peribumi* (Kemerdekaan)

Sekarang kau berani melangkahi
sempadan Tanah Peribumi.
dan menabur fitnah angin gelora.

Suaramu kental dengan dahak
tapi maknanya masih kesampaian
di pelipis telinga.

Usah kau hebohkan kelahiranku
apa lagi bermain serapang tiga
dalam percakapanmu.

Tiada dosa tumbuh di Bumi Peribumi
kau pula jangan menunjuk jari telunjukmu
umpah sarana dan memperolok
pada keturunan anak bangsa.
Ia adalah pencinta kedamaian
tapi kau telah
membina tembok-tembok
bayangan di lembah gunung.



Friday 5 September 2014

Aku dan Saudaraku*(Jurnal Puisi Melayu)


Aku memandangmu kasih-sayang
Kau memandangku penuh curiga.

Dalam matamu ada dengki dendam
Aku masih berdoa kerana kau saudaraku.

Aku berkata sepatah kau berayat tak putus
Aku menyapa salam kau tak menjawab.

Ketika aku melangkah ke pelosok bumi
Kau masih di tempat tidur bermimpi

Ketika aku menabur benih di ladang
Kau datang merosak tanaman.

Meskipun kau selalu berlaku zalim
Masih saudaraku mengucap Kalima Toyyiba.

Dikirim ke Jurnal Pusi Melayu, 14 Julai 2015


Thursday 4 September 2014

Peti Pandora*(Puisi)(Terbit) (HE)


Kau sendiri tak tahu
dalam peti Pandora
sejak terakhir kata-katamu
mulai bercelaru
gema suaramu terdengar
mendayu-dayu
di lembah kata dan bual.

Ketika api
membakar rimbamu
langit jerebu
memenuhi ruang angkasa
Kau tak tau
ke arah mana gerak mata angin.

Melindungi kedamaian
harus di langit tenang
kebencian tak akan bercambah
di tanah gersang
kasih Sayang
menawan lembah sukmamu.

*Tersiar Di Daily Express 7 Jun 2015

Wednesday 3 September 2014

Bangsa Palestine, Doa Kami Bersamamu

Aku tak akan berhenti menegurmu
tak akan menggunakan kekerasan
dan kezaliman.
Kau telah menghiaskan kata-katamu
sekalipun isi retorika tetap sama
kau tak akan menukar haluan gelombang.

Apakah kau tak melihat  masa silammu
tanpa mempelajari sejarah dan membelakangkannya.
Tiap hari kau menimbun bangkai di langit terbuka
tiap malam gundah tidurmu makin tak terkawal.

Apakah selamanya dunia berada di pihakmu?
Satu hari mereka akan bertukar pendirian
kala itu kau sendirian mencari sekutu
pada selembar daun atau lubang anak ketam
di pantai.

Israel ingin dihormati kerana sejarak tragik
masa silammu
tapi kejahatanmu hari ini menutup pintu-pintu
jiranmu.
Kau sudah diperingatkan pada satu masa
tak ada jalan pulang atau pengampunan tulus.

Berhentilah, biarkan langit  tenang
bumimu tidur sejenak dari kelangsungan Perang
Isreal seluruh tubuhmu mengering dengan darah Palestine
kelihatannya kau makin suka menyiksa dan membunuh.

Aku tau ada di antaramu
menyesali tindakan Benjamin Netanyahu
Mengapa diam dan tak bertindak
membiarkan burung-burung Kondor
melingkari langit Palestine mencium bau mayat.
Kegilaan Netanyahu harus stop
Israel berhenti
merampas Tanah Palestine.

Bangsa Palestine, kau tak sendiri
doa kami bersamamu.

Pendatang Malam buat Aziz Zitan (Boat People)

Aku mengikuti jejak perjalananmu di petala bumi ini
kakimu melangkah tak berhenti hanya ketika kau
merasa kantukmu berkali-kali memberi peringatan
tidurlah, supaya esok kakimu dapat melangkah
dan menyeberangi sempadan ke negeri asing
tak pernah kau mimpikan di sini kau akan tiba
tanpa ada orang berkumpul mengucap selamat datang.

Tiap perhentian, berhenti sebentar, mencari ketenangan
meredahkan denyut jantung supaya kau dapat tersenyum
tanpa dicurigai. Kau adalah musafir di alaf 21,
pengembara yang dirinya tak pasti esok mau ke mana.
apakah ia mengejar bayang-bayangnya atau
ia segaja membiarkan dirinya hanggus ditelan waktu
sebagai pendatang malam.

Kau tak pernah berundur, langkahmu ke depan
ingatanmu tentang tanah leluhur makin gelap
lupa pada keindahan dan kehebatan bangsamu
sebenarnya kau adalah musafir rohani yang
menyerahkan dirimu kepada Tuhan Semesta Alam
membawamu ke pohon rendang  tempatmu
beristirehat memandang bintang malam
menceduk mimpi dan harapan.

Ketika mereka menyuruhmu pulang
melangkah balik ke sempedan sebelumnya
kau adalah musafir tak punya apa-apa
Passport mati dan tak ada jalan pulang.
kau seperti berdiri di sejengkal tanah
yang terapong di tengah samudera lautan.

Kau tak akan berhenti mencuba terus
mereka tak akan dapat mematahkan
semangat dan pengorbanan ini.
Kebenaran yang kau pegang
suatu hari akan membawamu pulang
kemenanganmu adalah kesabaran
dan keberanianmu adalah lautan tak bertepi
doa-doamu adalah cahaya yang tak akan padam.
Bertahanlah seperti gunung
pasti ada siang yang membawa khabar dan harapan.

Tuesday 2 September 2014

Perubahan*(ITBM)


Apa lagi yang disembunyi
namanya musuh
punya kepentingan sendiri
besok atau lusa
kau memutuskan siratul-rahim
kerana kau memilih
jalan pulang ke selatan.

Bagaimana aku dapat
menyakinkanmu
isyarat samawi membawa
musim perubahan
Kau tak melihat siang
ketika malam berlalu
berdusta.

Namanya pun
adalah saksi kebenaran
langit dan bumi
adalah bukti.
Kau tak akan dapat
meniadakan sinar
telah masuk
ke dalam kamarmu.


*ITBM Jun 2015


Percakapan Sendiri di Tanah Palestin (Palestine)

Kau telah pandai membedakan
yang asli dengan kaca.
Kebenaran dan Penipuan yang mutlak
suara protesmu sampai ke pintu Gaza
dan tabir Samawi.
Kemarahanmu bagai gelombang tak dapat
dikongkong oleh waktu.
Keadilan telah hancur tanah pasir
di bawah puing-puing bangunan yang
hancur.

Inilah hadiah kemerdekaan,
kau dapat menyatakan kepada dunia
pendirian dan sikap
dan kejahatan suatu bangsa
yang zalim.

Soalnya, hari ini
kau melihat kejahatan itu di pihaknya
bagaimana pula kalau itu berputar esok
lalu kau pula jadi fanatik bangsa
dan penyiksa yang zalim di Tanah Peribumi.

Ya Rabbi, mohon dijauhkan
Kau Maha Perkasa dan Maha Pelindung.



Monday 1 September 2014

Erti Sebuah Kemerdekaan* (Kemerdekaan)

Terus-terang ketika aku mendengarmu
kau ingin membelah purnama di langit
tanpa berkata apapun aku mendoakanmu
sekalipun kau menconteng kebenaran.

Di langitmu tanda-tanda hujan akan turun
menanggalkan jeritan sukmamu selama ini
kau mendera desamu sendiri kerana
ingin memberi laluan sebuah harapan.

Kalau kau ingin mencipta kedamaian
mengapa kau memakai bahasa dendam
sampai jauh ke pusar mimpi benar
meniup bara api di pojok sukmamu.

Kemerdekaan ini adalah ikat jaminan
ketenteraman di langit kedamaian di bumi
kebenaran ini wajah anak segala bangsa
kau sendiri dilindungi sepanjang musim.

Sekali kau membuka pintu amarah
kau tak akan berhenti menyiksa
bumi peribumi melaung keperihan
lalu kau cipta mitos dan legenda palsu.

Fitratmu kebaikan dan kasih-sayang
budaya adalah kemakmuran bangsamu
bukan gema suara berpuak yang hinggap
pada suatu siang di pohon merdeka.

*10 Puisi dikirimkan pada 27 April 2015



Serigala Kerap Turun Mengikuti Jejak Anak Manusia.*(Jurnal Puisi Melayu)

Kau menyisip
dalam malam gelap
memburu mangsa tanpa
tau sendiri telah diekori
kedatanganmu merubah
antara hidup dan mati.
Ketika kau terpanggil
menerima perintah
matamu tak berkelip
sekalipun kau harus
melangkah sempadan
ke tanah asing.

Ombak berkecamuk
membanting dirinya ke tepian.
Tiap tanjung ada isyarat
kau keluar dari lubang
sedikitpun tak terconteng.
Kalau kau ingin kelipan bintang
hanya pada malam perkasa.

Malam ini, kau pemenang
esok, tiada yang tahu
rumah kaudirikan
berbumbung tak berdinding.
Serigala dari pergunungan
kerap turun mengikuti jejak
dan bau tubuh sihatmu.

*Dikirimkan  ke Jurnal Puisi Melayu, 14 Julai 2015