Tuesday 15 January 2013

Gagak dan Banggau (Burung)

Hari ini aku turun ke kota
kerana hari yang ditunggu itu makin dekat
aku tak termasuk orang yang penting
bagai semut hitam aku meneruskan
pekerjaan tanpa memperdulikan apa
yang berlaku di lapangan. Anihnya,
dari mana burung-burung gagak ini.
mereka mulai berdatangan. Di mana
mata memadang sampai ke hulu sungai
dan desa pedalaman dekat sempadan,
kau melihat gagak di langit, gagak ada
di mana-mana.

Lalu di pinggiran  bakau, sawah padi,
di tepi laut, burung banggau terbang
berkawan. Ini satu fenomena, jarang-
jarang berlaku. Tak lama lagi di lembah
gunung, kepulauan jauh, kotaraya akan
berkumpul. Mereka akan hinggap dan
bersarang di atas bangunan, rumah
teres dan pekan hujung minggu. Tak ada
yang boleh menahan. Ini tak pernah
terjadi. Kita hanya mengharapkan
yang terbaik.

Makin dekat hari yang ditunggu,
makin yang kau lihat hanya burung
gagak dan burung banggau. Mereka
memenuhi langit biru. Kau hanya
melihat hitam dan putih. Warna lain
tenggelam atau hilang. Akhirnya
seluruh alam raya jadi hitam dan
putih, seperti melihat foto lama,
hitam putih. Dewan Bandar Raya
tak dapat berbuat apa-apa, tahi
burung gagak dan tahi burung
banggau, sudah lebih batas. Terlalu
banyak. Mereka pun tak ambil
peduli, bagi mereka ini bukan
isu penting. Burung-burung banggau,
dengan kaki panjangnya mulai
menari dalam perarakan, menunjukkan
kebolehan dan bakat mereka.
Lalu burung-burung gagak tak
ingin martabat diri mereka di
jatuhkan mulai menyatu korus
menyanyi, gak, gak ,gak. Suara
gagak memenuhi angkasaraya.

Dalam pertembungan burung
gagak dan burung banggau, aku
hanya penonton orang biasa. Melihat
permainan kedua burung ini, musim
menjaring gol telah mulai. Aku seperti
kalian hanya mengharap yang terbaik.
Asal burung gagak dan burung banggau
tak menggotorkan langit dengan najis-
najis dari puluh-puluhan ke ratus-ratusan
ribu burung gagak dan burung banggau
di kotaraya ini.

Kota Kinabalu
15 Januari, 2013
*ITBM (Bahagian II)

No comments:

Post a Comment