Tuesday 22 January 2013

Mimpi Dan Impian Anak Bangsa Merdeka (Kemerdekaan)

Ada saja pembuat api tak kira dalam keluarga
atau dalam sebuah negara. Barangkali dalam
keluarga tuan mengesan siapa biang keladinya.
Tetapi tuan dalam sebuah negara merdeka
Tuan tak tau bagaimana pengkhianat bangsa
bekerja. Kekadang menyusup sebagai kawan
dan jadi musuh dalam selimut.

Soalnya, Tuan, menentang musuh yang nyata
kita dapat mengarahkan satu pasukan untuk
menghapus pengkhianat bangsa yang jadi
pemberontak. Tuan menyintai negara ini, bukan?
dan sanggup turun dan berkorban diri
melawan panah-panah durjana atau komet-
komet yang diarah ke angkasa negaramu.

Aduhai, anak segala bangsa di negara merdeka.
ketika mereka berkumpul dan berucap dengan
retorik, sebenarnya mereka telah menyusun
perpecahan dan pemberontak atas nama
keadilan dan atas nama demokrasi. Dalam
diam bertahun-tahun mereka mencipta api
hingga api tak dapat dipadamkan. Lalu
negara yang kita cintai dalam porak-poranda.

Tuan, sebenarnya mereka ingin mencipta
kekacauan dan perpecahan bangsa lalu
mengaut untung dan membawa lari
kekayaan negara. Ketika perang telah meletus
mereka yang pertama lari dan berlagak
sebagai patriok dan pencinta bangsa.

Kalau ada yang datang kepadamu Tuan
bercerita yang muluk-muluk kemudian
menyuntikmu dengan cerita-cerita tipu-
muslihat dan kebohongan yang dianyam
dengan halus dan tak terasa. Berhati-hati,
kerana mereka ingin melihat negara ini
tumpang dan hancur. Apapun usah biarkan
negara berdaulat ini jatuh ke dalam kanca
peperangan. Kerana peperangan itu hanya
membawa bencana.

Ingatlah negaramu merdeka di meja
perundingan. Berkat hikmah pemimpin
dan doa-doa perjuang yang memberikan
jiwa raga demi kemederkaan anak bangsa.
Menjelang 50 tahun merdeka, kita merayakan
negara berdaulat ini dengan impian sejuta
tahun mendatang. Ini adalah anugerah
Allah ke atas bangsamu. Tuan, keindahan
bahasamu yang bermartabat jadikan bangsa
ini hidup, progresif dan dinamis. Kami mengharapkan
yang terbaik baik bangsa dan negara.

Kota Kinabalu
22 Januari 2013
*ITBM
*Antologi Kemerdekaan

No comments:

Post a Comment