Thursday 17 January 2013

Kisah Sekilas* (Cinta)

Katamu, mari, kita bersaudara dan sebangsa
ketika aku jauh kau memanggil-manggil
dengan kalimat-kalimat rindu dan kasih sayang.
Tapi bila kita berdekatan, mulalah kau berkata
kasar, tanpa sebab.

Bagaimana kita bersaudara sebangsa
ketika aku bertanam buah dan sayur
kau datang dalam diam menyebur
pokok buahan dan tanaman sayur
dengan racun rumput.

Kau tak dapat menghalau dan menukar milik
kerana aku seorang pribumi dan
kau adalah jiran.

Aku bukan orang asing
seperti dirimu, aku berjuang
membina hidup,  membina masa depan.

Ketika aku berbual padamu
suatu hari di halaman rumah
Tampaknya kita satu rasa dan impian.

Dari dulu sampai sekarang
kamu menaruh prasangka
cemburu melihat mentari
bercelak-celak di permukaan air.

Saudara bangsaku
kalau kau ingin makan buah
makanlah sepuas-puasnya
jangan inginkan buah menebang pokoknya.

Kalau aku tak pulang
bukan aku melupakan rumah kayu
di pinggir bukit, dan rumpun bambu
di halaman. Tapi aku hanya menghindar
pembuat api dan pengerat kulit kayu
lalu berpura-pura jalan besiul.

Kota Kinabalu
18 Januari 2013

No comments:

Post a Comment