Sunday 28 October 2012

Kolam Di Pinggir Kota*(ASP)

Ada bunga teratai di dalam kolam di
pinggir kota. Masa silamnya rembulan
penuh cahaya jatuh berkilau pada
tiap halaman. Penghuninya ramah.
Di langitnya aku pernah menulis
syair-syair indah. Kau masih membaca
sekalipun lama sudah kau tak melihat
purnama. Kini bunga teratai di dalam
kolam telah lama mengucup sejak
mentari terselindung pada bangunan
kota. Air laut masuk ke dalam kolam
dan terperangkap, baunya busuk.
Tak ada lagi, kolam bunga teratai.
Tak ada lagi senyum penghuninya.
Tapi aku akan terus merakamkan
bait-bait syair mengenangkanmu,
kolam bunga teratai, halaman dan
jembatanmu. Kali terakhir, aku
melihat dadamu sebak, wajah pucat
kurus tak bermaya, rambutmu
kusut dan suara manjamu tertahan
dalam lehermu. Kau semakin lemah
dan mengecil menjadi noktah. Aku
menjangka kehilanganmu tanpa di
sedari. Malam gelap telah turun di
perutmu yang mugil, degup jantungmu
melemah. Kota perkasa itu bagai
pohon ara melilitmu dari hujung kaki
sampai ke kepala. Kutulis  syair ini
mengenangkanmu, sebuah desa, di
tengah kota, seorang gadis manis
hilang dalam pembangunan kota.
Sembulan, kupanggil namamu kali
terakhir bukan kerana aku meninggalkanmu.
Apa lagi melupakanmu. Kalau esok,
halaman dan kolam bunga teratai
diratakan memberi laluan kepada
pembangunan, dan namamu lesap
digantikan dengan panggilan lain
sekalipun indah tetap tak akan sama.
Sembulan, kupanggil namamu
pada kali terakhir, dan membiarkan
kata-kata mengalir ke dadamu,
membawa air dingin ke tengkukmu
paling tidak melepaskan dahaga
walalupun sedikit. Kau adalah
desa warisan yang hilang tanpa
aku dapat menggenggammu sampai
kali terakhir.

Kota Kinabalu
29 Oktober 2012

*Puisi ini termasuk dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir,  dalam antologi "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F.

Friday 26 October 2012

Tahi Lalat Dan Snowman (Malaysia)



Bagaikan sekilas gerhana
akan berlalu
pada sebuah malam.

Lama sudah
aku tak melihatmu
hanya tahi lalat
memulangkan
ingatan itu.

Aku berkata
ada tanda kelahiran
pada buah pinggang.

Tapi, aku masih suka
tahi lalatmu.
di wajahmu.

Ingatan itu
bukan selalu
datang.
Aku melihat
ada halaman rumah.


Pagi itu,
salji turun
bukan pada
musimnya.

Kau melihat salji turun
dari kaca jendela

‘Tolong, Aba, 
bikin snowman.’

Kami berlari
ke sana kemari
menggenggam salji
dan menumpuknya.

Salji tak seberapa
masih kabus
tebal di kota Mittagong.

Di tengah halaman
dalam baju jaket
musim dingin.
Kau meloncat-loncat
kegirangan.

Salji masih turun
kepala snowman
dan perutnya gendut
lalu dipakaikan
topi dan scarf.

Snowman
punya kita.

Mittagong
berendam dalam

kabus salji.
Seorang anak
ketawa senang.

Kota Kinabalu
27 Oktober 2012

**Antologi Puisi 'Zikir Cenderawasih' oleh Hj Bung Johar, Sabahuddin Senin dan Haji Domeng, Borneo Top Publishing House, 2014.













Thursday 25 October 2012

Nasihat Ayah Kepada Anak Lelaki*(ASP)(Ayah)

Kau tumbuh dalam doa, sekarang pun
kulitmu bertambah matang. Biar
pun begitu selalu dititipkan nasihat
dan doa terus mengalir, mengambil
benih terbaik lalu ditanam, tumbuh
menjadi pepohonan rendang. Tiada dapat
menahan tanganmu ingin meraih dunia
asal kau tidak terkurung dan terjerat
usiamu terlucut. Didalam perjuangan
hidup memang ada kalah dan menang
tapi ketika menghadapi tantangan itu
kau tak pernah menyerah dan mudah
mengaku kalah. Dan kau meletakkan
kata-kata pada tempatnya. Berkatalah
terus terang, berlaku adil dan menjaga
amanah. Kau tak akan berhenti dan rasa
bosan menolong sekalipun mengambil
waktu senangmu. Biar kau mendengar
lebih dari berkata-kata  terlebih batas.
Pelajarilah pantun dan syair, peliharalah
tradisi budayamu sampai ke puncaknya.
Jangan biasakan tidurmu lebih, kurangkan
makanmu, jangan perutmu jatuh ke bawah.
Kebahagiaan itu hanya dekat kepada-Nya.
Lengkapi dirimu dengan ilmu dan kuasai
bumi jati dan langitmu. Bertolak-ansur
dalam perkara yang baik dan menghormati
orang tua dan muda. Resapkanlah nasihat
Lukman kepada anaknya.Cintai Kitab
Allah, sabda Rasul dan menghormatilah
orang saleh. Lindungi wanitamu kerana
mereka suatu hari menjadi ibu kepada anak-
anakmu yang akan menyejukkan matamu
dan mencium jannat. Kegemilangan suatu
bangsa berakar umbi pula pada kehidupan
rohani, kerendahan hati, semangat takwa itu,
dan jiwa perjuangannya. Lancarkan expedisi-
expedisi, bukan satu, dua, tiga, demi impian
dunia baru. Jangan hidup dalam masa silam,
tahyul dan ketololan kerana membawamu
mundur ke belakang, dan mematahkan tulang
punggungmu. Kalau kau terlalu cerewet kerana
kau ingin kesempurnaan, maka itu tak mengapa.
Aku ingin kau selalu bijaksana dalam berkata-
kata dan menguasai bahasa. Sejarahmu akan
ditulis dalam bahasamu yang paling mudah
dan lancar. Ingatlah, kau berjalan di tanah
kata-kata dan di tanah penyair. Di sini, kata-
kata diberi mahkota, berkepak manusiawi,
nafasnya alam sejagat dan sukmanya hidup
dalam budaya dan tradisi.

Kota Kinabalu
26 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012

Kaum Belia, Salam Eidil Adha 2012*(ASP)

Siang ini kita adalah saksi dan bakal menjadi teladan esok
tiap langkah-langkahmu biar berbekal ilmu dan pengetahuan
selagi pintu itu terbuka pergilah kembangkan kepakmu
jelajahi ke seluruh rantau dan mencari dunia baru
jangan berhenti di tengah jalan dan berpatah balik
azammu, rembulan purnama penuh di langit alaf 21
ketika kau mengharung samudera datang gelombang
pelajari mata angin dan gerak gelombang dan menjadi
nahkoda yang baik. Kuasai lautan dan langitmu
kerana itu anugerah berkurun Tuhan Rabbi-ul-Alamen.
Kedamaian rimba jatimu adalah kedamaian sukmamu
Kinabalu, gunungmu tumbuh dari jiwamu menjulang
ke langit dan ketahananmu lambang anak bangsa.
Kau adalah generasi yang lahir selepas merdeka
kau adalah benih yang disemai di tanah 50 tahun merdeka
berakar tunjang sampai ke pusat bumi dan jangkaunya
merangkum ke jelapang bintang, planet dan orbit baru.
Kau, aku dan massa adalah talian yang kukuh tiada ruang
pemisah. Ketika kau kami dorong ke depan, yang lain
siap bahu membahu bergerak dalam satu karavan.
Kau adalah impian anak bangsa, suaramu biar tulus
kau adalah Ismail, Ismail, dalam diri dan sukmamu
dianyam dalam tradisi dan adat susila bangsa Malaysia.
Sampai bila-bila tidak akan ada pemisah antara
sesama. Pribumi, warna, kulit, ras dan agama saling
mengukuhkan satu sama lain. Kalian bernafas dari
sumber yang sama. Kelainan itu bukan suatu kelemahan
tapi adalah sumber kekuatan sebagai bangsa beradab.
Maju, berkembang dan terpimpin adalah nadimu
kebebasan itu jangan sampai menyilaukan matamu
dan menyingkirmu dari jalan lurus ke impian dunia baru.
Minumlah sepuas-puasnya dari telaga kemerdekaan ini,
tiada akan melarangmu berbuat demikian. Ini adalah
rahmat berkurun. Jahanam kepada pengkhianat bangsa,
dalam dirinya selalu ada kegelapan dan berniat buruk.
Aduhai, sayang, tiada yang ditinggalkan lebih bermakna
kepadamu, mari Gazelku, anak segala bangsa, semerakkan
impianmu, pada langit biru, dan bumimu, lonjakkan kakimu
dan persiapkan otot-ototmu, perlumbaan akan mula
kau telah memakai nombor dan siap menjelajahi dunia
dan angkasa raya tanpa sempadan. Berlarilah sampai
ke  garis penamat. Penyairmu akan mempersiapkan
bait kata-kata terbang bersayap ke mana saja kau pergi
merangsangkanmu, menyanyikan syair-syair dan nazam,
'perjuangan dan pengorbanan'. Sesekali hinggap di hujung
lidah dan sukmamu dan menjadi pengasuhmu yang kasih.

Kota Kinabalu
26 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012

Wednesday 24 October 2012

Menjelang Aidil Adha 2012 (Ramadan)

Telah beberapa perayaan aku jauh
tiba Aidul Adha kalau tidak sendiri
di desa jauh pedalaman, aku diam
mendengar bual dalam bahasa ethnik
tempatan. Hujan gerimis telah turun,
pada bukit seperti ada lapisan kabus.
Aku selalu memandang kaki langit
atau lebih jauh lagi ke belahan dunia,
ke barat. Aku biasa sendiri seperti
seekor burung yang ke sasar melihat
rimbunan hijau di daerah baru. Sekarang
tidur pun tak gundah, tenang. Dalam
kepekatan malam, berangan-angan
memandang bintang-bintang malam.
Aku memandang sepasang kasut,
di sudut pintu. Tiap pintu dimasuki,
esok membawa era baru. Ya, aku
memandangmu, masih memandangmu.
Sepasang kasut, yang bersama ke sana
ke mari, tanpa membantah, patuh
dan sabar. Tadi aku di dalam tenda,
sekarang aku keluar memandang
laut lepas dan langit malam. Mari,
duduk di atas tanah, telah kupasang
unggun api, menyala. Wahai, sahabat,
kau, kata-kata dan kalimat yang tertib
dan indah. Aku memanggilmu kerana
aku mengenangmu, sebuah kata
Pengorbanan. Pengorbanan yang
pernah diajarkan pada manusia
sejagat, kau dan aku. Pengorbanan
bukan datang dari mentari dan
rembulan dari orbit yang lain. Bukan
dipaksakan ke atas suatu bangsa.
Pengorbanan tulus datang dari sukma
sederhana dan jujur. Ya Rabbi, aku
menyahut panggilanmu dalam
gelap gulita. Aku tak punya apa-apa,
yang ada, adalah langit, di situ,
kekuatan tersimpan, tanpa senjata.
Dalam kegelapan ribuan raksasa
terus menelur kekuatannya dan
memeram di pelosok-pelosok bumi.
Wahai, kata-kata, kau dan aku, tak
akan berganjak, Ismail, kami
memelukmu. Masuklah ke dalam
sukma, abadilah di sana. Diri ini
siap dikorban, demi menggenapkan
mimpi. Menyempurnakan harapan.
Ketika langit menuntutmu,
raihlah pengorbanan sambil
kau tersenyum melangkah tanpa
gusar. Dia mendengarmu,
tangis dan doamu. Pengorbanan
selalu ada kekuatan menolong.
Mengapa berdua hati, mengapa
takut? Aku melihatmu, Ibrahim.
Kau tenang dan sedikitpun tak ada
perubahan di langit sukmamu.
Yang itu, berikan kepadaku, biar
setitis di dalam sukma. Ibrahim
berlalu tanpa menoleh ke belakang
meninggalkan Hajar dan Ismail
kerana khabar langit telah menjawab
doamu, Ibrahim. Bertapa kecilnya
aku memaknakan pengorbanan.

Kota Kinabalu
25 Oktober 2012

Tuesday 23 October 2012

Korban Dan Domba (Hewan)

Ketika ditanya mengapa diam
maunya apa?
Menjawab persoalan terlalu
dekat di sanubari tak semudah.
Memangnya, semua orang mau
segalanya, dunia juga kalau
boleh dilipat-lipat dan disimpan
di dalam saku. Ada yang dalam
diam berkata, kalau saja aku menjadi
rembulan sekali dalam hidup.
Yang lain, datang  berbisik,
'kalau aku, biar menjadi desir
angin dari lembah gunung. Nyaman."
"Menjadi samudera", kata seorang lain.
"Tidak, bagi aku, biar menjadi hawa
membawa empat musim." Ia memotong
perbualan. Soalnya kita tak pernah
puas. Kekadang
bertukar selera dan tanggapan.
Mulut seakan terkunci, lidah
payah berkata-kata, mensyukuri
hujan turun. Atau berkongsi
terhadap saudaranya, miskin.
Bagaimana terlancak jauh dinihari
lalu kita pun diajak 'berkorban.'
Sedangkan generasi baru,
ada menghitung-hitung tiap
yang dinamannya 'kasih'.
Kalau salah berkata, bermuka
masam sepanjang hari.
Pengorbanan itu mulai dari
benih di semaian. Sudah terlalu
jauh ketika menjadi bambu.
Mengalirlah dari sukma
Ismail  ke dalam tiap hati.
Menyerah sebagai domba
yang siap dikorbankan.

Kota Kinabalu
24 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, 2013

Monday 22 October 2012

Tanah Penyair*(ASP)(Metamorposis)

Ke arah mana memandang
di tanah ini, bagai air mengalir
dalam sukma penyair.
Dari dataran tanah, banjaran
gunung, menurun ke lembah
hutan jati hingga jauh ke pelosok
kepulauan jauh dan atol sepi,
lalu ke dalam nafasmu, nyanyi
hujan siang. Ya Rabbi, jadikan
tanah ini tanah penyair dan tanah
kata-kata yang hidup dan segar.
Menulislah, kata-katamu biar
bebas, inilah rahsia jenerasi muda,
seni puisi melekat di lidahmu,
tiap kata-kata yang lepas dari
nafasmu bagai air terjun Kinabalu
tak pernah berhenti. Suara-suaramu
bersayap, jiwamu rembulan penuh,
inspirasimu  bagai mentari pagi
mengirimkan cahaya tak pernah
padam. Ia pula tak membakarmu
apa lagi membawa bencana.
Ketika malam tiba, lihatlah
angkasa raya. Kembangkan sayap
dan jangkauanmu, bergayutanlah
dari bintang ke bintang, dari
planet ke planet, dari orbit ke
orbit. Sukmamu tanpa sempadan.
Inspirasimu sampai ke langit
ke tujuh. Kaulah Kaptain,
dalam mimpi kejora. Kepada
mereka yang ingin merobek
malammu dan menghalau
mimpimu dan merendam
rampaian kata-katamu di
dalam danau berbau lumpur,
ciptaan mereka. Jangan,
jangan sesekali membiarkan
mereka sebagai pandit atau
algojoh. Imajinasi mereka
angin kering, laut tohor yang
ditinggalkan, malam mereka
penuh dengan raksasa hitam
dan bau kencing di sepanjang
jalan, mimpinya mimpi masa
lalu yang penuh dengan debu.
dan membosankan. Tanah penyair
adalah tanah tulus, hijau dan
hidup. Kau akan selalu tak
pernah berhenti minum dari
manis airnya. Tanah penyair
adalah tabaruk sepanjang zaman.

Kota Kinabalu
22 Oktober 2012

*Puisi ini dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F, 2012




Saturday 20 October 2012

Penyair*(ASP)(Metamorposis)

Sebuah puisi
hanya sebuah puisi buatmu.
Ia tak pernah menuntut
lebih dari sebuah karya.
bait-baitnya, barisan
kata-kata yang berdiri
di dataran, lahir dari
lembah sukma, tulus
dan sederhana. Bicaramu
dari alam sejagat sampai
duduk minum kopi di
anjung selera. Bukan
apa-apa sekedar melihat
ke dalam matamu dan
terus menyentuh sukma.
Tiada pilihan kata-kata
menjadi umpan dendam
kesumat, yang berselindung
dalam keindahan bahasa.
Kau bertanya selewa sambil
mata menoleh ke tempat lain.
"Aku hanya seorang penyair.
Jangan anggap aku sebagai
musuh." Dari menulis suka-
suka tentang gajah dan orang
hutan, melangkah dan memetik
inspirasi yang turun dari
langit. Aku menyerap warna,
gerak dan tiga demensi
yang hidup. Menulis sekedar,
akhirnya menyingkap langit
samawi. Bukan puji-pujian
atau taburan bunga, yang
mendewasakan sebuah
karya. Tapi penghayatan
hidup itu, sendiri. Melangkah
dan menyerap dan memaknakan.
Di tanah penyair ini, kata-kata
dan kalimat tumbuh menjadi
pohon rendang dan berakar
tunjang untuk ribuan tahun.
Kegelisahanmu adalah juga
kegelisahanku. Kemalaratan
malammu sampai ke siang
pertarungan, adalah batu ujian
yang mengundang kesabaran.
Ketika kemanusiaan terporok,
aku akan bersuara tak berhenti.
Sekalipun kau menderaku,
aku akan mendatangkan
balatentaraku, kata-kata
yang bersayap menebus
jati diri dan hak-hak
kemanusiaan. Usah kau
menjadi buas, kerana aku dan
kau, dari setitis nuftah.
Tanpamu, huruf dan kata-kata
duniaku pun terpinggir.
Gazelku, siang telah tersingkap,
siapkan kepakmu, kata-kata,
mari, kita jelajahi nusantara,
jelapang bumi dan angkasa raya.
Di situ, selalu ada
yang ingin disyairkan.

Kota Kinabalu
21 Oktober 2012

*Puisi ini termasuk dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir,  dalam antologi "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F.

Kau Masih Mendengar Salam Ini (Ketuhanan)

Meskipun aku tak melihatmu
tapi aku merasakan getaran dan
gelombang dari sukmamu.
Kau telah merenangi samudera
dan sampai ke pulau teduh,
dan tak pernah mengomel
sekalipun gelombang itu
datang bagai gunung membawamu
hanyut. Tak pernah kau berduka
sakitnya tak terasa. Kepedihan itu
bukan kosa kata dirimu. Sejak
itu kau melihat alam, alam
anugerah-Mu yang terindah,
kau masih menikmati desir
angin petang. Kau telah
berhenti meraung dan mengaduh.
Kau telah siap. Siap jalan sendiri,
ke jalan pulang. Berkemas,
mengucap salam kepulangan.
Di pelabuhan ini, kapal mulai
merenggang, sauhu telah ditarik,
matamu pun membiarkan
perpisahan ini. Tenang dan
damai, sedamai lembah gunung
hutan jati. Katamu, "Gazelku
sayang, kau sangat baik. Dan
penghibur yang baik, teman
lembut dan sabar." Biarku
usap pipimu, dan kekadang
aku mencubitmu geram tapi
kau tak pernah memprotes.
Oh mata yang melihat, aku
masih melihatmu. Aku masih,
kenal, kiriman kata-katamu,
mereka hidup dan gagah,
datang mengucap salam
berdiri sopan di pembaringan.
Kehadiran mereka, adalah
kehadiranmu. Aku masih
menangkap makna kata-katamu.
Mari, datanglah kepadamu
biar kulihat satu persatu dan
menjabat tangan kalian seperti
menjabat tangan malaikat.
Aku masih bisa tersenyum
dan membalas salammu.
Kembalilah kepadanya,
sampaikan salamku.
Ya Rabbi, permintaan ini
tidak melampau, dan bukan
tawar-menawar, dua purnama
penuh ingin kupelukmu
setelah itu, telah dipersiapkan
semuanya, dan aku tak pernah
takut atau berdalih dari
kepulangan ini. Sekarang
tenang, tenanglah, sukma.

Kota Kinabalu
20 Oktober 2012
*AP Volume I, 2013

Friday 19 October 2012

Panggilan* (Puisi)(Metamorposis)

Aku menulis puisi kepadamu
tidak terlalu panjang, sederhana
bait-baitnya setenang lautan
ketika purnama mendaki ke
puncak. Kukenangkanmu
kerana rindu ini melahirkan
ghairah, merapati pelabuhan
melabuh sauh. Aku berdiri dan
melangkah. Memang langit
yang dilihat. Dan ini bukan
imaginasi, realiti itu sendiri.
Kau telah memanggil berulang.
Segaja aku tak menoleh. Tapi
panggilan itu menggempur
suara hati. Semakin berat,
pun aku tetap tak menoleh.
Tiap panggilan itu, aku
mendengar bumi meratap.
Sejak masa silam ia tetap
redah menyimpan khazanah
rahsia. Antara panggilan dan
sahut ternyata kebenaran itu.
Pernah kau merasa begitu,
tersiksa mendengarkannya.
Barangkali di situ ada ketenangan
dan kedamaian yang dicari,
dari laluan simpang siur. Kini
kudatang dengan tubuh ini,
tangan terbuka dan aku tak menyesal.

Kota Kinabalu
20 Oktober 2012

Kata-Kata, Sekarang Kita Kembali Di Lapangan Sendiri. (Puisi)(Metamorposis)(ITBM)

Aku memanjat langit tak terlalu tinggi
sesekali melihat ke bawah, bagai mimpi
tak ke mana, lautan dan lembah gunung
dan hutan jati. Aku masih di sini. Tiba
di halamanmu malam merendah. Aku
datang bukan menempel pada dinding
dan dataran hijaumu. Ketika ada majlis
aku berdiri sendiri jauh di belakang.
Aku senang melihat kau di bawah
cahaya lampu. Kau memang senang.
Pidatomu, tukang nasihat, dan kalimat
jatuh bertaburan di dalam dewan. para
pendengar, bergeleng-geleng kepala
menyatakan kehebatanmu. Mereka
tersadai di tempat duduk, mabuk dan
mau lagi pidato diteruskan. Tapi, kau
berhenti di saat, pendengar masih
gelisah, masih mau. Kau meninggalkan
dewan semuanya berdiri dan ingin
berjabat tangan, menyentuhmu. Ini
bicara seorang yang akan naik. Aku
duduk di belakang, mengesat peluh
di dahi. Aku bukan pendatang dari
masa silam. Atau seekor langau. Langit,
kau adalah sahabat. Di tanah ini, aku
berjalan mengikut lampu isyarat, berada
dalam keramaian atau orang banyak
akan selalu membuat bumi dipijak
tetap sabar. Semalam kau bercerita,
tentang seorang insan dengan harimau
piarannya berteduh di bawah pohon
rendang. Lalu ada seorang insan yang
kedua datang dengan kambing piaran
nya berteduh di pohon sama, hanya
kerana hujan dan kegelapan kedua
insan tak begitu melihat sempurna.
Kata insan kedua, "aku ingin punya
seekor anjing. Dapatkah ditukarkan
dengan piaran aku ini." Insan pertama,
bersetuju," Cuma, kau mesti  sabar
menunggu hewan ini bangun sendiri.
Keduanya akur. Lalu berganti hewan
piaran. Ketika hujan redah insan pertama
beredar. Sedang insan kedua menunggu
dan cuba bersabar kerana hewannya,
masih tidur. Dalam situasi begini,
kesabaran menjadi batu ujian.
Kekeliruan membawa bencana.
Anda boleh membayangkan, apa
yang akan terjadi? Aduhai, kata-kata,
sekarang kita kembali di lapangan
sendiri.  Aku akan mendahuluimu
di depan dan melindungimu.

Kota Kinabalu
19 Oktober 2012
*ITBM


Monday 15 October 2012

Langkah Pulang*(ASP)

Aku mencium bau udaramu
batu kerikil dan debu terusik
di bawah telapak kasut.

Di tanah ini aku bukan
orang asing. Tiap langkah
dan tarik nafas didengar
sampai jauh di hutan jati.

Kalau aku datang
menanggalkan kasut
bukan kerana malu dan
menyembunyikan suara,
sedang kau tidur,
baik tak mengusikmu.

Kau mendengar
langkah kakiku
di malam rembulan
dalam sukma telah
sempurna doa buatmu.

Nafasmu
dan nafasku
telah bersatu.
Kata-kata telah
dilepaskan terbang
di lembah gunungmu.

Aku pulang
sebagai pribumi
pulang membawa
anak-anak kata
di dalamnya
ada kehidupan.

Kota Kinabalu
16 Oktober 2012

*dikirimkan kepada majalah Wadah, DBP Cawangan Sabah, 24 October 2012
**Puisi dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F.

Saturday 13 October 2012

Singapura, Catatan Kecil (Lanskap)

Aku tiba
sebelum senja berlabuh
di sini, aku memang biasa
tidur di bawah bumbung langitmu.

Ketika aku memberi
salam
kau tak merasa curiga
pertanyaan kau balas
dengan ramah
dan dimengerti
dari bahasa serumpun.

Nusantara
perigimu sumber kelegaan
dan ketenangan
pelabuhanmu
adalah kedamaian.

Katong
Singapura
14 October 2012
*AP Volume I, 2013

Aku Dan Kau, Kata-Kata* (Indah)(Metamorposis)

Puisi kutulis ini
tak seberapa
catatan di sana sini
ketika teringatmu.

Aku telah lama
menyepi
berteman
kata-kata,
kami jalan
berdampingan
sampai ke hujung.

Semalam aku bertanya
dalam tempo waktu
kita telah lama bersama.
Di simpang jalan ini
kuulang pertanyaan itu
apakah kau masih ingin
ikutku melangkah.

Masih ada waktu
untuk berpatah balik.
Katamu, kata-kata
tak pernah berlaku curang
dan aku menjawabmu,
"benar."
Kau tak akan kutinggalkan
selangkah lagi
kita
melangkahi sempadan.

Kau adalah
teman perjalanan
selalu siap
dan tak pernah
berpaling.

Katong
Singapore
14 October 2012

Surat Beranak (Anak-anak)

Suatu waktu aku kehilanganmu
tapi, diketemukan kembali
tersisip antara gumpalan
pakaian dalam beg.

Aku selalu diperingatkan
menyimpannya
kerana ia berharga
seperti longgokan emas
walaupun ia sekeping
kertas.

Tanpamu
aku dianggap orang asing
mungkin pendatang
haram di bumi sendiri.

Kerana itu
mak menyarung plastik
dan menjahit empat
penjuru dengan benang.

Hari itu, aku
hilang i/c dan passport
menjadi
manusia tanpa negara.

Anak jiran
berhenti sekolah kerana
tanpa surat dan dokumen sah
menikah pun  menjadi susah
apa lagi mencari kerja.

Mereka
masih hidup di sini!
anak-anak mereka
bermain dengan anak-anak kami
di halaman.

Katong
Singapura
14 October 2012
*AP Volume I, 2013




Mahasiswa, Dititipkan Puisi Buatmu (Dedikasi)

Aku tak memintamu lebih
sekadar mengingatkan
dari sebuah puisi kepada
realiti.

Tergarapnya ilusi masa depan!

Kau pernah bilang
kata-kata puisi itu
terlalu sukar
apa lagi memahaminya.

Pembangunan tetap tumbuh
kau hanya membacakan puisi
dan menghiburkan dirimu
memuji-muji sesama.

Kata-kata tinggal kata-kata
puisi menjadi hidangan
di majlis
sesekali pendengarnya
menarik nafas puas
pergi tanpa menjabat
tanganmu.

Sebuah puisi
seperti membuka pintu
kandang
melepaskan kuda semberani
berlari bebas di lapangan.

Kau tak suka
mendengar kemiskinan,
kemalaratan dan penindasan
saat negara membangun.

Mahasiswa,
dalam puisi ada tradisi kata
yang terungkap
dalam budaya bangsa.
Membelakangkan ini
makna menyembunyikan
kebenaran.

Apalah ertinya
kebenaran
kalau ia bisa diputar-belitkan.

Kata mereka
mahasiswa mengugat,
sebenarnya, mahasiswa
bertindak atas kebenaran.

Apalah ertinya
perjuangan tanpa
pengorbanan
lalu penderitaan itu
tak tertahan
menjadi gelombang
yang merubah.

Mahasiswa
kau membaca tanda-tanda
di langit
gerak di bawah telapak kaki
dan mengenal degup
jantungmu.

Di makmal,
dewan kuliah, atau
buru-buru ke perpustakaan
mahasiswa, dengar
laung dari lembah
ke gunung, dari langit
turun ke rimba raya
kata-kata itu hidup
dalam puisi
hidup menjadi tradisimu
rembulan penuh.

Mahasiswa
ketika kau membaca puisi
bacalah dari suara hatimu
ketika kau melihat penyairmu
membaca puisi
dengarlah pesannya
sekalipun sekecil biji sawi.

Katong
Singapura
14 Oktober 2012

*AP Volume I, 2013

Professor, Yang Turun Masih Kata-Kata (OZ)(ITBM)*

Professor,
kau begitu hormat
pada huruf-huruf dan anak kalimat
Gazel dan burung serindit
atau pasangan dolpin
langit dan lautan
rembulan dan lembah
hutan jati.

Ketika mereka
terucap menjadi sebuah puisi
kata-kata turun
ke dalam sukma
angin dingin
melintasi saharamu.

Kata-kata ini
anugerah Allah Azzali
mengajar anak
bangsa manusia
mengenal hukum dan
melarangmu terjebak ke dalam
lembah dosa.

Kata yang tulus
tak akan menjadi pengkhianat
kepada makna dalam kalimat.

Yang baik itu selalu
menghidupkan dan
datang membawa rasa
dan keyakinan sampai
kerdip terakhir.

Dunia tak akan siap
sampai qiyamat mendatang.
Kemanusiaan terconteng
halaman sejarah penuh
grafik dan seperti mengulang
membakar buku-buku khazanah
penyairmu kesal memandang
kekerasan.

Aku mencari
hening
pada malam di pojokan
memohon kau
datang sebagai rembulan.

Professor,
kau telah selesa, bukan?
Membaca kata-kata
dan mendengar baik
puisi-puisi
yang mengangkat martabat
manusia
dan mengenal
yang hak.

Aku hanya bimbang
ada kata-kata yang
hadir dan turun
menjadi bahasa
yang kacau dan keliru
tak menjadi sebuah puisi
tapi, disukai.

Kau memang dekat
sekali.
Aku mendengarkan
keselamatan
yang terjamin.

Kekuasaan dunia
tercabut dan terbanting.
Kembali kepada tradisi
purnama penuh.
Aku selalu merendahkan
suara-suara anak kalimat.
Kata-kata
yang turun bukan sebagai
algojoh atau penzalim
kejam.

Professor,
dalam kelembutan
ada nasihat
dan pada keindahan
itu adalah kata-kata
sekalipun dalam
amaran
masih ada air
yang mengalir dingin
dan terasa manis rasanya.

Katong
Singapore
13 October 2012
*ITBM

Friday 12 October 2012

Keputusan (Boat People)

Bukannya mudah membuat
satu kejutan keputusan
soal hidup dan mati.

Beberapa minggu lalu
ia melihat
sekumpulan nelayan
mendebur-debur permukaan laut
menghalau ikan-ikan
masuk ke dalam pukat.

Jauh sebelum itu
ia seorang jenderal
mengerah balatentera
mengempur dan menyerang
hendap jauh ke dalam liang musuh.

Ia masih duduk
matanya tak terlalu bergerak
menatap laut yang
masih biru dan ramah.

Sesekali
dicarinya kepastian
pada lautan dan tanah seberang.
Sekarang ia pendatang malam
tanpa wajah.

Sekalipun ia mencuba
memasang topeng dan menjadi
orang umum
suaranya masih terselit
bekas seorang
jenderal.

Perang telah usai
ia dipihak yang kalah.
Sekarang datang lagi
perang di dalam sukmanya
apakah ia maju
atau undur hanggus
terbakar menjadi debu.

Lama ia duduk terpegun
sendiri. Akukah Krishna
sebenarnya tau arah mana
angin kemenangan itu bertiup.

"Ya, siap."
menyembunyikan degupnya
ia masih tetap melangkah
sebagai seorang jenderal.

Pulau Christmas, Pulau Manus,
dan Nauru
telah siap menunggu
penumpang malam tanpa wajah.

Benua Selatan
makin menjauh
berselindung antara pulau-pulau
dan rahang lautan.

Katong
Singapura
13 Oktober 2012
*Puisi ini dalam antologi  "Suara Penyair", 2012

Puisi Tetap Huruf Dan Kata* (Puisi)(Metamorposis)

Tidurlah, huruf dan kata
walaupun hanya sebentar
aku telah membawamu jauh
di tanah asing
kesabaranmu rembulan
tetap indah di telapak tangan.

Melihat
huruf dan kata,
wajahmu tenang,
barangkali kau bermimpi tentang
gerak-gerak langit
gerak-gerak samudera
gerak-gerak di lembah hutan jati.

Terlalu banyak kau lihat
ada yang dapat
kau tafsirkan sesaat
yang lain menjadi
pertanyaan panjang.

Puisimu terucap
sebagai sahabat yang
selalu bertanya
tentang khabarmu.

Aku pun tak meminta lebih
puisi ini
sebagai air menitis
di bibirmu yang kering.

Siang tadi, otot-ototmu
kejang, langkahmu terheret,
demikianlah suatu perjalanan
setelah berjalan jauh
kelelahan dibalas dengan
tidurmu yang panjang.

Manisku,
dekurmu selalu menyenangkan.
Gazelku,
ada waktunya kau meloncat
tinggi di dalam udara
tapi, ada waktunya
melepaskan dunia sebentar.

Katong
Singapura
13 October 2012

Tuesday 9 October 2012

Puisi Rembulan Kembang Kemboja* (Puisi)(Metamorposis)

Aku menulis sebuah puisi
menggantikan sekalung bunga kemboja
memang adatmu
ketika datang dan perpisahan.

Biar sebuah puisi
menjadi rembulan kembang kemboja
yang dikalungkan dilehermu.

Berikan kepadaku satu kata,
hanya satu kata
sebagai penganti perpisahan.

Sekalipun di dalam muka kulit
sebuah kata tersimpan naluri halus
yang terus menggusik sukma.

Aku tak melarangmu
kerana butir-butir air
matamu menitis sebagai doa.

Biarlah sebuah puisi
menjadi rembulan
kembang kemboja di jinjang lehermu.

Honiara
10 Oktober 2012









Monday 8 October 2012

Huruf-Huruf Puisi* (Puisi)(Metamorposis)

Huruf-huruf puisi, kau mendengarku baik
aku akan membawamu ke benua, langit
dan samudera baru. Ketika aku merasa
letih kau menghibur supaya berdiri dan
melangkah terus.

Huruf-huruf puisi, ketika aku berhenti
di pohon rendang dekat hutan jati, kau
turun menjadi bait-bait puisi, main-main
sembunyi, memanggil dan tercipta sebuah
karya.

Huruf-huruf puisi, lincah anak kakimu
bermain air sungai sambil menghiburku
puisi-puisi pendek dan sederhana. Sedang
anak tupai keluar dari lubangnya, memberi
salam.

Huruf-huruf puisi, tak pernah patah semangat
atau menjauh kerana hatimu tulus. Selama
bersamamu, kau terkumpul dalam bait-bait
pendek berupa doa. Aku membaca bait-bait
doamu buat Allah Azzali.

Huruf-huruf puisi, Gazel dari lembah kehidupan.
ia selalu dekat dalam sukma. Aku tak meminta
lebih darimu, biarlah kau tetap indah dalam
sebuah puisi.

Honiara
9 Oktober 2012


Bulan Sepotong Lemon* (Puisi)(Metamorposis)

Mari, melangkah bersama
tanganmu dipegang, melangkah
ke depan, mentari tenggelam.
Kau tak mampu berjalan
sekalipun selepas puncak
bukit nampaklah jalan pulang.
Kalau begitu, mari digendung
biar kita melangkah sampai
ke anak tangga. Kau bertanya,
"Apa yang kau fikirkan tadi?"
"Tiada apa-apa, mendengar
suara hati." Nah, kita dah
sampai di puncak bukit, jelas
kau dapat melihat halaman
rumahmu. Kelihatannya sepi
dan tak ada orang. Dah lama
kosong. Masuklah, pintu pagar tak
berkunci, tangganya tak seberapa
tinggi, rumahmu sendiri, tak usah takut.
Masih ada waktu, basuhlah kaki.
Berdoa. Ketika tidur, bulan sepotong
lemon di langitmu.

Honiara
9 Oktober 2012



Sunday 7 October 2012

Sebiji Mangga (Hewan)

Aku melihat di pasar, orang mula
jualan buah mangga, tandanya
musim mangga di sini.

Bertahun-tahun dua pokok mangga
di halaman rumah berbuah subur,
keduanya mempunyai aroma
yang berbeda. Yang satu berbuah
harum dan satu lagi biasa,
tapi asalnya mangga
memang sedap.

Mengapa aku memikirkanmu?
Lama sudah aku tak bertamu
ke halamanmu, kerana
aku telah berpindah,
jauh darimu, jauh dari langitmu.
Di sini, tak ada halaman
dan tak ada pokok mangga.

Aku melihat orang mulai
memakan mangga.
aku pun teringatmu,
jarak aku dan halamanmu
makin menjauh, dari kepulauanmu.

Di sini musim buah mangga.
Aku akan selalu mengenangkan
bau aroma
dan manis isi buahmu.

Sebiji mangga telah lama
tumbuh subur
dalam catatan harianku.

Honiara
8 Oktober 2012
*AP Volume 1, 2013


Bantal Berenda Rembulan* (Puisi)(Metamorposis)

Ada seorang ibu duduk
merenda rembulan pada
sarung bantal. Tiap malam
ia merenda sampai siap lalu
dimasukkan sarung bantal
berenda rembulan
ke dalam bantal kapuk
memandangnya puas.

Aku memandang langit
selepas maghrib
bulan bundar kuning kental
bergerak perlahan
dari lantai laut ke atas
mulanya pudar lalu
menjadi cahaya terang.

Terasa aku terangkat
terbawa bergerak lalu
bertukar menjadi rembulan.
Dari langit  aku melihat
ibu tua tidur nyenyak
di atas bantal
berenda rembulan.

Lalu aku turun
masih sebagai bulan
masuk ke dalam
rumah. Hempus nafasnya
terasa menyentuh kening
dan aku mencium dahinya.

Honiara
8 Oktober 2012



Friday 5 October 2012

Mesapol, Warnamu Bertukar (Mama)


Mesapol,
warnamu sedikit bertukar
hutanmu adalah
khutub khanah, tidak terlalu besar
sederhana dari keluasan mata
memandang.

Apalah erti sebuah bukit yang terhakis
ketika hujan turun terbawa air sedikit
demi sedikit, khazanah
masa silam, menjadi lumpur yang
bertekong esok.

Namamu selalu dipanggil
sungaimu adalah urut-urat nadi
hutanmu itu adalah sukma
langit dan lautmu, memori hidup
udaramu penyambung masa
lalu dan esok.

Patutkah kau melupakan
adat dan tradisi
menjadi barang silam
yang terbiar dan luntur?

Lalu datang
musim perasmian
kita pun
berdandan,
berhias dan berpakaian
warna-warni, anyaman polyester.

Seharusnya ia hidup
dalam sukmamu
mengalir dari satu generasi
ke generasi lain.
Budayamu bukan tempelan,
atau masukan acara
tanpa menjiwai.

Apa ada dalam rumahmu?
Kosong tanpa seni kraf tradisi
yang bernilai tinggi!
Didik citarasamu,
mengapa perabutmu
barangan murahan
di pasar filipina,
atau bunga plastik jualan
di pasar borong?

Aku suka caramu
membuat kelupis,
apa lagi kuih Jelurut.
Mesapol,
ketika bertamu,
makan berulam dan
sayur lemak nangka
dari hutanmu.

Honiara
6 Oktober 2012
*AP Volume 1, 2013

Aku Masih Berdiri (Malaysia)

Jalan yang kulalui beberapa musim
dulu, tumbuh semak dan belukar
dijalan pulang aku berdiri bingung
mencari
jalan lama.

Kulihat pokok getah masih
menitiskan susu. Penoreh masih
rajin turun.

Bagaimana aku bisa tersesat
di hutan sendiri?
Dari jauh terdengar, batuk
penoreh di jalan pulang.

Aku masih berdiri
sedang gemerisik
langkah penoreh telah menjauh.

Aku sendiri lagi. Entah telah
berapa musim aku berdiri di sini.
Kini terasa aku seperti pokok getah,
urat-urat yang menjalar
ke telapak tangan
masih pula menitiskan susu.

Honiara
6 Oktober 2012
*AP Volume 1, 2013



Thursday 4 October 2012

Naratif Doa Orang Kecil*(ASP)

Dari kecil aku tak pernah melawan
kerana aku kecil sekalipun citarasa
mengalir, menjangkau bintang kejora.
Aku cuba nafsir alam menurut
kemampuan. Dari kata-kata terucap
dicuba sebaik jujur, walaupun aku
sebenarnya orang kecil ada keinginan
seperti orang lain. Ada selera seperti
sultan. Tapi aku masih orang kecil
tak akan melawan apa lagi berkata
kasar, bukan budaya dan tradisi.
Jadi, dalam doa-doa yang terucap
aku mohon punya tanah berkebun
sayur di belakang rumah. Punya
rumah sendiri, tidaklah pula seperti
rumah boss yang bertingkat-tingkat
dan bertembok tinggi keliling rumah.
Kalau orang besar dapat projek besar,
aku pandai pula iri ingin projek cepat
diluluskan seperti jiran sebelah rumah
selalu dapat projek dan terbang ke
sana sini. Sebenarnya, aku tak berniat
mencaci maki, kerana aku sedar,
sebagai orang kecil cukup dapat
tempat di lorong kota berjualan
nasi lemak sebelum jam 8 pagi
balik ke rumah. Biarlah mereka
punya isteri muda, dan kahwin
satu, dua, tiga dan empat, aku tak
cemburu, kerana aku sedar siapa
aku. Aku anak orang kecil, besar
pun masih orang kecil. Dari kecil
aku suka pada keramaian. Keramaian
di kampung dan keramaian di kota.
Keramaian masa raya. Aku suka
berbelanja seperti orang lain. Tak
salah bukan, berbelanja, semua orang
suka. Apa lagi shooping, tengok-tengok.
Aku tak juga terlalu miskin, tak
sampai meminta-minta di pinggir
jalan. Kerana aku pribumi, spesial!
Kalau aku jadi peminta-minta, bukan
kerana aku malas. Kerajaan menggelakkan
orang kecil cam aku minta projek.
Jadi, kalau aku jadi peminta-minta
dengan kerajaan, aku tak malu seperti
lain orang bimbit beg minta sokongan
orang besar. Aku pun ikut seperti
mereka, kaki projek. Kerana aku
orang kecil, tak boleh tamak. Makan biar
sama rata kerana kita semua orang
pribumi. Dari dulu, aku bukan orang
politik. Orang kecil menurut, tak
melawan, tapi kami boleh berfikir
seperti Pelanduk. Kerana pelanduk
pun badan kecil, jadi, orang kecil
seperti aku. Tiap hari aku naik bus,
aku tak rasa iri kalau orang kampung
aku dah beli kereta besar, rumah besar
dan berniaga kerana itu kemajuan.
Tabik kepada mereka. Yang maju,
aku bersyukur ada juga orang kita
dalam perniagaan.  Sebenarnya aku
tak memandai-mandai, pantang,
orang kecil mesti menjaga maruah
diri. Sekalipun aku orang kecil
aku selalu menasihatkan anak aku
menjaga maruah diri, tradisi bercakap
benar itu pegangan agama. Kalau
mereka mau berbohong untuk dapatkan
sesuatu, itu urusan mereka. Sekalipun
aku orang kecil aku tak pandai
berbohong. Kalau orang kecil
berjanji, selalu betul, selalu ditepati.
Maaf, aku orang kecil tak pandai
berkata-kata, tapi kalau pintu terbuka,
ada peluang berkata-kata, orang kecil
tak akan berhenti bicara. Hampir
aku terlupa, yang paling nombor satu
dalam fikiran aku ialah Pelajaran,
Education dalam bahasa orang putih.
Aku tak boleh terima kebodohan aku,
apa lagi orang pribumi terbelakang dalam pelajaran.
Akulah manusia yang paling iri,
kalau melihat orang pribumi tolol,
percaya tahyul, takut hantu. Syukur,
sekarang sekolah-sekolah  kerajaan
banyak didirikan sampai di perladangan
sawit dan desa pedalaman. Pendatang pun
meraih kebaikan, alhamdulillah. Anak-anak
pelarian patut disekolahkan. Namanya
warga manusia sejagat, pelajaran hak
semua bangsa, impian sejagat.
Aku suka sekolah asrama kerana
di sana makan sihat, tidur atas katil dan lampu letrik.
Ya, Allah, aku berdoa seperti orang lain
aku tak minta lebih dari kemampuan
aku, orang kecil. Jadikan aku
dan keturunan aku cintakan ilmu,
tak suka melawan, sekali melawan, gempa..
tak suka bercakap kasar, memaki hamun.
Orang kecil berbudaya dan berbahasa.
Aku orang kecil, orang pribumi,
aku punya cita rasa seperti kamu
yang duduk di sana. Tanpa doa-doa
orang kecil dan kebaikannya kamu
tak mungkin dikenal apa lagi penting.

Honiara
5 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, 2012



Harimau, Sang Belang Memberi Pendapat.*(ASP)

Kapal terbang telah meluncur jauh
ke langit biru. Tadi bumi dipijak
menjadi hamparan dataran luas
Australia mengendur ke belakang.
Malam pun berlabuh di bola mata,
bagai diri terhumban ke angkasa
raya, melayang-layang ke bulan,
bergayutan ke bintang-bintang dan
dan kata-kata dan kalimat terbang
bersayap memital planet imajinasi.
"Tenang tuan-tuan/puan-puan
penghuni rahmat turun-temurun
hutan jati di negeri makmur, lembah
hijau, bergunung-ganang, terkenal
di seluruh rantau, Nusantara. Aku
bangga kerana aku lahir di sini,
dan dibesarkan di sini, hidup dalam
tradisi dan adat. Setiap ekar tanah
adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh
bangsa yang  selalu menjadi sumber
inspirasi kepada penghuni hutan jati.
Aku memanggil kamu semua, kerana
aku ingin kata-kataku dapat dimengerti
mudah. Aku, Harimau, Sang Belang,
dikenal perkasa di seluruh pelosok
ini. Ngaumku telah menggegarkan
bumi hutan jati. Tiada lebih perkasa
selain aku, Sang Belang. Lihatlah
pokok-pokok kayu, dahan-dahannya,
wajahku tersangkut, gagah perkasa.
Tiap sudut disemburkan bau aku,
Harimau, Sang belang. Tidak ada
ruang, jalan merentas kau tidak
melihat diriku. Ada Seladang di sini,
tak sehebat aku, ada buaya di sungai,
tak selincah diriku, monyet, kelakuannya
bodoh. Ular Sawa, tak boleh dipercayai.
Siapa yang lebih berhak menjadi Raja
rimba hutan jati, kalau bukan, Aku. "Dari
pokok kayu tinggi  burung nuri, burung
tukang, burung serindit, burung rajawali,
burung merak bersuara dalam chorus,
"Sang Kancil." Riuh rendah, hutan jati.
"Apa maksudmu?" Harimau, Sang Belang,
tak senang, kerana nama "Sang Kancil"
disebut-sebut. "Kamu semua, diam,"
Harimau, Sang Belang merasa tercabar.
"Sang Kancil, bijak, ia layak dicalonkan
menjadi Raja rimba hutan jati." Seru
semua yang hadir."Diam, menjadi Raja
Rimba bukan bijak, berakal syaratnya."
Harimau, Sang Belang berakal-akal.
"Kamu semua, Sang Kancil, bukan pilihan
terbaik. Siapa di sini tak pernah tertipu
oleh Sang Kancil. Kami yang dah tertipu
berkali-kali tak akan membiarkan Sang
Kancil diberi peluang walaupun sekali.
Lagi pun Buaya, Ular Sawa, dan aku
dah lama mendendamkan daging
manis Sang Kancil. Jadi, Raja Rimba
tak perlu bijak, berakal, tapi, yang
mesti ditakuti, perkasa, kata-katanya
menggegarkan rimba jati. "Tapi, Sang
Kancil tak makan bangkai, kentutnya tak
bau.""Diam. Aku Harimau, Sang Belang,
tak suka kamu bercakap kurang sopan."
Pendek cerita, Akulah. Raja Rimba.,
Maaf, calon Raja Rimba, Setuju?!"
Sekarang telah ditutup penanaman
calon. Hanya ada satu calon. Sekarang
diumumkan, Menang Tanpa Bertanding."
Terdengar suara mulai seperti berbisik
dan kemudian suara itu semakin jelas
dan menemukan sukmaku kembali.
Tenang. Tenang. Damailah. Sebentar
lagi kita akan mendarat ke lapangan Terbang
Antara Bangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Honaira
5 Oktober 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012

Wednesday 3 October 2012

Naratif Sebuah Nasihat (Ketuhanan)

Kau dibesarkan dalam doa yang mengalir
dari setitik nuftah kau berenang sentosa
keselamatan samawi telah pun dijanjikan
kau pendengar baik, kaulah Ismailku,
mimpi-mimpi genap, ketika kau dewasa,
kau menggenapkan mimpi. Kata-katamu,
biar lembut, tiap sentuhan dengan kasih
sayang. Melangkah dalam alam sejagat,
dengan pesanan dan nasihat. Kekadang kau
ke pinggir membiarkan orang lain lalu. Tiap
kalimat turun bersopan. Orang mengasari,
kau memberi senyum lembut. Mendahulu
yang hak dalam segala kegiatan sekalipun
dunia ini turun melimpah-ruah di ribamu.
Terlalu mencintai itu akan menjauhkan mu
dari Allah Azzali. Sekalipun kau terpukul
ke sudut, jangan berakal bohong. Bicaramu
biar terus terang. Tanpa bermuka-muka dan
menggelirukan. Datanglah pada orang tua
dengan tertib, alam maya pun bergerak sama
dalam tertib. Ingat, nasihat Luqman kepada
anaknya. Inilah  pula dingatkan kepadamu.
Biasakan lidahmu berkata benar sekalipun
hidupmu jadi umpanan. Jika kau terpanggil
kerjakan amal ibadat dengan hati bersih. Kau
mesti menggunakan hikmah dalam memutus
perkara. Dengarkanlah langit, baca dan amal
Al Qur'an, pesan Rasul dan ikuti sunnah dan
berpegang pada tauhid . Dalam keadaan apa,
kau mohon, kerjakan salat, mendekatkanmu
pada Tauhid. Kalau ini sebuah nasihat, dari
tradisi silam, Allah berfirman, Rasul bersabda,
Nabi Isa memberi nasihat, Krishna demikian,
Buddha dan Confucius, guru dan orang tua.
Mereka, kolam yang tak pernah kering, selalu
langit samawi mengirimkan hujan bersama
takarannya. Rahmat pada naratif sebuah doa.

Honiara
4 Oktober 2012
*AP Voliume I, 2013

Tuesday 2 October 2012

Mendengar Nasihat (Ketuhanan)

Suatu kehormatan ketika terpanggil memberi nasihat
sekarang duduk mendengar kata-kata nasihat telah
terbang di angin lalu. Tapi, mendengar nasihat supaya
dapat dipindahkan kepada jenerasi ke jenerasi lain.
Memberi nasihat  perlu selalu, bukan setahun sekali.
Sampai dunia meletop, kita tak akan rugi duduk
mendengar nasihat. Nasihat dari ayah kepada anak.
Dari professor kepada mahasiswa, nasihat menteri
kepada rakyat, rakyat kepada menteri. Nasihat
yang datang dari langit, kepada hamba yang beriman.
Nasihat Rasul kepada ummah, nasihat ibu kepada
anak. nasihat orang tua sampai ke tua. Yang tak
ingin mendengar nasihat, mereka, golongan angkuh.
mereka tak ingin mendengar tapi mau didengar.
Tak mempedulikan nasihat, bukan tradisi dan adat
Melayu, bukan tradisi dan adat pribumi. Nasihat
tak ada sempadan. Tak ada ras atau memandang
warna kulit. Jangan memandang dari siapa menerima
nasihat. Nasihat datangnya dari jiwa yang bersih,
merendah dan terus-menerus. Negara membangun,
rakyatnya suka mendengar nasihat. Ketika mendengar
nasihat mata mereka berair dan insaf. Untung pada
mereka ada yang masih suka memberi nasihat. Tiada
dalam hidup ini, sejak lahir, tanpa nasihat. Oleh itu,
ketika ada orang iongin memberi nasihat, duduklah
dan mendengar Bayangkan, kalau orang tak mendengar
nasihat lagi.

Honiara
3 Oktober, 2012

Monday 1 October 2012

Paduka Mat Salleh Dan Lima Puluh Tahun, Merdeka!*(UB)(ASP) (Merdeka)*


Aku melihatmu, duduk merenung jauh
Paduka Mat Salleh tenang, sekalipun
dalam dirinya, gelisah menunggu esok.
Kerana esok membawa berita masa akan
datang. Di sini, pembelaan terhadap
bangsa telah mula. Tiap gerak langkah
kakinya, adalah hari-hari penentuan dan
sejarah bangsa pribumi. Di telapak kakimu,
kau dirikan kubu, kukuh dan hebat.
Wira-wiramu telah siap-siaga dijadikan
korban demi esok, dijanjikan. Umumkan.
Datanglah perintah. Kerana aku mengenangmu,
Paduka Mat Salleh. Keputusanmu berperang
adalah wajar. Kubaca, tipu muslihat musuh.
Pembelasahan massa, bangsa Moro di
tangan Leonard Wood. Aku mengingati
mereka. Kekejaman dan kekerasan tetap
kekejaman dan kekerasan tak akan bisa
dihilangkan dari sejarah. Aku melihatmu,
bagaimana kau beraksi di Lautan Pasifik,
Atlantis, Lautan Hindi dan Laut China Selatan.
Bagaimana kapal-kapalmu mundar-mandir
mencipta malam panjang di daerah-daerah
pribumi, mencolek mereka di siang benderang!
Di tanah asing burung-burung hitam merindukan
tanah leluhur sampai nafas penghabisan. Dan
martabat dirimu direndahkan. Hilang tradisi dan
hilang adat di tanah asing, mengakhiri hidupmu
di banjaran pergunungan salji, jauh dari kampung
halaman, tiada jalan pulang. Terperangkap. Mereka
dikerah menjadi budak dan buruh paksa di ladang-
ladang tebu, di Queensland. Paduka Mat Salleh, malam
ini, aku mengenangkanmu dan mengenangkan
kemerdekaan bangsa dan lahirnya sebuah negara.
Bangsa pribumi, bangsa Melayu dan negara Malaysia
lima puluh tahun, merdeka. Atas kesedaran bangsa,
namamu dikenangkan. Dari timur ke barat halaman
sejarah telah tercatat, kemampuan dan kedaulatanmu
sebagai bangsa merdeka, bangsa pribumi, bangsa
Melayu. Kita tak pernah dikalahkan menghadapi
penjajah bangsa. Tiap generasi jatuh bangunnya
di atas pundak sejarah lalu. Sejarah telah
mendewasakan bangsa dan sejarah mendewasakan  
negara Malaysia. Aku mengenangkanmu
Paduka Mat Salleh, kau mengenal permainan
penjajah. Mereka pandai menyedapkan rasa
dan melunturkan semangat perjuangmu.
Perjanjian dibuat untuk mengabui matamu
dan menderamu. Akhirnya kau ditumpaskan.
Paduka Mat Sallleh, ketika martabat bangsa
jatuh ditendang ke dalam longkang dan
membunuh semangat perjuanganmu,
di situ, kau, hadir dan membalas balik
gertak dan tipu muslihat penjajah bangsa.
Kebangkitanmu, Paduka Mat Salleh telah
mengangkat martabat bangsa pribumi ini,
bangkit melawan ketidak-adilan, kemalaratan
pemerasan, menjatuhkan martabat, adat
dan tradisi bangsa pribumi di depan mata.
Memang celaka, kalau satu bangsa membiarkan
martabat dirinya terinjak, memusnahkan
masa depan sebuah bangsa bermaruah dan
berakal budi, penuh dengan adat-adat sopan
santun. Di malam terakhir itu, aku dapat
merasakan diammu. Malam penuh doa-doa
darimu dan panglimamu, Paduka Mat Salleh.
Sampai akhir, jiwamu tak pernah dikalahkan,
dan kau tak berganjak atau mundur ke belakang.
Tiap langkah kau perhitungkan. Sekiranya
nanti kemenangan di pihakmu, itu adalah hadiah
dari langit. Tetapi sekiranya kau tumpas, perjuangan
tak akan berhenti di sini. Perjuangan bangsa akan
terus sehingga negara berdaulat ini merdeka
dan bebas dari penjajah bangsa. Oleh itu langkahmu
telah kau perhitungkan. Tiada bangsa yang menyerah
tanpa perlawanan sampai ke akhirnya. Aku mengenangmu
dalam doa pada Tuhan Rabiul Alamen. Malam terakhir,
langit diam sampai ke fajar. Sejarah akan tercipta
pada esok. Pertempuran bangsa pribumi melawan
penjajah bangsa. Aku melihatmu, Paduka Mat Salleh,
bagaimana, suasana di kubumu. Bagaimana kalian
menjalani malam-malam terakhir kalian di kubumu.
Doa yang dipanjatkan pada kali terakhir. Lalu siang
pun tiba, sunyi dan senyap di kubumu. Lalu suaramu,
Paduka bagai halilintar membelah langit, kau berseru
"Hidup, hidup, hidup Wahai bangsa berdaulat. Bangsa
Pribumi dan bangsa Melayu." Aku melihat pada langit
biru terhimpunnya huruf-huruf menjadi kalimat, tajam
seperti tombak, turun dalam ribuan panah api, ke arah
penjajah bangsa. Pertempuran pun berlaku. Para panglima
menerpa ke depan tanpa takut, melumpuhkan kemaraan
musuh, dan merabunkan mata mereka. Satu demi satu
mereka gugur. Aku merasa Paduka, kocak darahmu
mengalir dalam tubuh ini. Aku mengenangmu,
pertempuran siang terakhir. Hari ini 50 tahun, negeriku,
Sabah dalam Malaysia, rahmat dan kurnia Allah.
Hidup bangsaku yang berdaulat. Bernyanyilah puisiku
dari sukma yang mengalir dari kalimat tulus dan
kata-katanya terungkap dari kejujuran mimpi
anak bangsa dalam mengenangmu, Paduka Mat Salleh.
Dari masa silam penjajah selalu menjadi kita umpan
dalam dasar "pecah dan pimpin." Ketika bangsa
pribumi didiamkan, kau berdiri. Ketika kau telah
dicurigai, mereka memanggilmu berunding dan
berjanji manis. Ketika kau berhenti berunding
mereka memanggilmu, pemberontak harus dihapuskan.
Malam, 50 tahun, kami telah menjadi bangsa,
negara berdaulat, kami kenangkanmu sebagai anak
bangsa yang pernah bangkit dan menentang
ketidak-adilan, pemerasan, kemiskinan dan
kemalaratan anak bangsa pribumi di tanah airmu.
Malam ini, Aku melihat kebenaran dan kenyataan
sejarah. Sejarah tercipta, dalam semangat bangsa,
ke arah kesatuan yang satu, persaudaraan dari
pengorbanan anak bangsa sebelum hingga hari ini.
Aku mengenangkanmu, pengorbananmu,
Paduka Mat Salleh, pengorbanan yang tak akan
dilupakan. Pengorbanan anak watan, anak pribumi
menentang penjajah bangsa. Malam ini,
Kami mengenangkanmu, Paduka Mat Salleh,
dan para panglimamu. Namamu hadir dalam
impian dan mimpi, mimpi anak bangsa
pribumi bukan hanya di malam 50 tahun ini,
malam ini tapi, dalam ribuan tahun mendatang.

Honiara
2 September 2012
*disiarkan oleh Utusan Borneo, hari minggu, 21 Oktober 2012
*Puisi ini dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, dalam antologi "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F, 2012
*Antologi Kemerdekaan