Wednesday 9 January 2013

Kota Kelahiran*(LBDSM)



Ketika aku tiba di kota kelahiran
aku cuba mencium bau tiap lorong dan jalan
dan merasakan hawa, keringat yang mengalir
semua itu menyemarak kenangan
pada wajah-wajah yang lalu kuperhatikan
mencari apakah peribadi yang berdiri
di kedai gunting, atau menunggu di stesyen bus
atau yang duduk minum kopi di kedai hujung
aku mencari suara-suara yang pernah
kukenali ketika bercanda, bergurau dan
bertikam lidah. Kota ini makin dewasa,
makin padat. Banyak tambahan, lorong-lorong
dan bangunan-bangun tinggi, plaza.
kedai India menjual rempah dan baju melayu,
kurung dan songkok. Tiap mata yang kupandang
cepat-cepat mengalihkan pandangan mereka
ke tempat lain. Dan dua stesyen minyak masih
tempat yang sama. Masjid lama di atas bukit masih di situ.
Lautnya masih kelabu dan orang masih terus membuang sampah
ke dalam laut. Gado-gado, nasi kuning dan pecal
masih dijual di pasar. Cuma sekarang panggung wayang
telah tak dipakai. Laut telah ditimbus. Bukit telah diratakan.
Kampung pendatang telah dirobohkan.
Hutan bakau berpindah. Datang ke kota kelahiran,
bukan sebagai tamu. Semua artefak kenangan
terkorek dan tercabut dari akarnya. Bangunan lama
dirobohkan yang tinggal foto kenangan. Ada wajah-wajah
lalu telah berpulang. Langit ikut bertukar wajah, kelabu.
Aku mulai terasa terasing. Walaupun aku masih
memanggilmu kota kelahiran. Mata ini mulai asing.
Sukma pun ikut malu menyapa. Mengapa aku
selalu menggali sedang di situ telah jadi tanah liat?
Di sini, aku bukan berada di Melbourne atau Auckland.
Yang jelas bukan Honiara atau kepulauan Pasifik.
Di tengah pasar hujung minggu aku terbawa arus manusia.
lanskap seperti kukenali tapi asing. Duduk sendiri,
minum kopi melihat kaki langit dan tanjung, kapal-kapal mudik.
Di luar kedai sederet, perempuan tua menjual rokok dan gula-gula.
Rokok-rokok dari negara jiran. Ramai wajah-wajah baru dan
projek perumahan di tanah lahan. Di jalan pulang,
waktu mengalir deras. Rumah kayu atap rumbia jadi
rumah kayu dan berbumbung zink kini rumah bertingkat
dan teres. Kota kelahiran ini telah membangun
cuma aku tertinggal di belakang. Aku memanggilmu.
Tiap yang baru usah ketepikan yang lama. Kerana
yang lama itu adalah warisan dan sejarahmu. Aku tak akan
membiarkanmu dalam diam mengundur dan lenyap
satu persatu dalam memori. Aku memanggil namamu
tapi kau lebih jauh berjalan di depan dan tanpa menoleh.
Sekali-sekali kukunjungi kota kelahiran walaupun
di situ aku mulai asing dan terasing. Tapi kau masih
kota kelahiran dalam sukma ini.

Kota Kinabalu
10 Januari 2013

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*ITBM




No comments:

Post a Comment