Tuesday 8 January 2013

Nasi Kuning Kopi Hitam*(ACK)



Tak perlu seribu satu malam untuk melembutkan
hatimu yang keras. Tak usah mentera, kerana hatimu
tak ada di situ. Ketika kita terkunci suatu pagi, kau
di dalam rumah dan aku berada di luar adalah jarak
antara kita. Demi kau dan aku, pintu itu harus di
pecahkan kerana anak kuncinya telah hilang di jalan
pulang. Kesabaran itu menggenapkan harapan. Pagi
tadi di atas meja ma tinggalkan sebungkus nasi kuning,
sambal dan sepotong ayam. Pedas. Dari kecil
aku biasa makan nasi kuning ma memang sedap.
Bau santan, pandan dan kunyit, sambalnya pekat.
Aku menyerap udara pagi dan melihat alam ber-
warna kuning dan tanah jadi sambal merah pekat.
Kita harus mempunyai impian sekalipun barangkali
tak akan terjangkau bagimu, tapi jenerasi penerus
akan menebus impian itu. Mengapa aku jadi teringat
padamu, Garcia Lorca, impianmu tak tergapai
sekalipun hajatpun bintang kejora  membawamu
pada kekasih di Cardoba. Algojo tiba dan membawamu
pergi. Kedua tanganmu terikat lalu matamu dipejamkan
dengan sehelai sapu tangan. Hari maut dan penuh luka
peluru musuhmu menembusi dada lembut dan kulit
yang halus sekalipun puisi-puisimu telah menawan
sukma Cardoba, sukma Sepanyol. Saat aku masih
merasa langit hitam, mereka telah menyerodok
mayatmu, tapi bumi tau akan rahsia itu. Seperti
bumi Jose Rizal, tak sanggup melupakan kekejaman
lalu mereka ingin menanam rahsia tanpa nama. Bumi
tak akan menolak tubuh Rizal tapi menolak kejahatan
dan kezaliman kepada mereka pembuat cerita.
Kebimbangan Penjajah pada anak jati, anak bangsa
penyair Rizal, syairnya dianggapkan melumpuhkan
dan membawa celaka pada impian penjajah lalu mereka
mencipta guntur dan kilat menakutkan anak bangsa.
Rizal sampai terakhir tetap sebagai pejuang sekalipun
mereka ingin Rizal tak menulis puisi. Tapi Rizal terus
memanggil bangsanya dengan hikmah. Dan pada
kekerasan dilawan dengan keindahan-keindahan
syair-syairnya yang menawan sampai ke sukma.
Senjatamu adalah puisi-puisimu, kau, sedarkan
jati diri. Kesedaranmu adalah rembulan penuh
membawa anak bangsamu keluar dari rimba
kebodohan dan ketololan. Pintu Impian itu adalah
pelajaran dan pendidikan bangsamu. Celakanya,
mendiamkanmu dan membunuhmu terhapus
kebenaran itu. Jangkaan mereka salah setelah itu
menghalau pendudukan haram penjajah bangsa
di bumi Filipina. Kepadamu, Garcia Lorca dan
Jose Rizal, lihatlah, kekejaman dan kezaliman
mereka tak akan menutup arah perjalanan sejarah.
Kejayaan mereka sedikit, tapi jalan bangsamu
memanjang dan menilai sendiri sejarah bangsa.
Ketidakadilan selamanya tak akan bertapak
di bumi pribumi. Kepalsuan akan dengan
sendirinya hapus dan jadi pasir. Nasi oh nasi
kuning dan kopi hitam telah membawa kujauh
ke bumi dan langit impian yang bersih dari
kebohongan dan tipu muslihat. "Mi último adiós".

Kota Kinabalu
8 Januari, 2013
*Telah terbit dalam Antologi "Secangkir Kopi" 2013, Kurator Fikar W. Eda dan Salman Yoga S., penerbit The Gayo Institute

No comments:

Post a Comment