Monday 31 December 2012

Tragedi Kalabakan, 28 Disember, 1963 (Malaysia)

Tiga bulan ketika rembulan penuh
di langitmu, kami terpanggil menyambut
kemerdekaan bangsa. Kau menyanyikan
lagu dari sukmamu, berkumandang di
rimba jati, Negaraku, salam ketulusan,
semangat bangsa tumbuh, satu lambang
satu bendera berkibar, impian masa depan.
Banjaran Crocker, Maliau Basin dan Kalabakan,
adalah keindahan negerimu tercinta.
Sungai yang mengalir bagaikan urat
nadi ke seluruh tubuh. Sabah, kau
hidup dalam mimpi-mimpi. Tiap
malam kau adalah bintang di langit
gemerlapan untuk ribuan tahun mendatang.
Tiap gerak di bumi dan langitmu
adalah inspirasi yang tak pernah
tandus. Flora fauna dan haiwan, kekayaan
dari negeri gemilang. Kita menyedut
dari udara murni, kepulauanmu adalah
mutiara yang bertebaran di lautmu.
Dari Pulau Matanani, ke Sampang
Mengayau terus ke sungai Kinabatangan
dan Lembah Danum, anugerah Tuhan,
sentuhan-Mu, tiada di bumi Sabah yang
bukan sapaan kasih-sayang-Mu. Tak salah
kalau aku mengatakan Tuhan pernah
turun bersama kami dan masih mengebal
dalam sukma. Kelabakan dikenang
namamu kerana kau terlalu dekat.
Pengorbananmu akan menurun dari
kami kepadamu, ke jenerasi muda.
Dan Sabah tanah lelohormu dalam
sejarah bangsa Malaysia. 28 Disember,
1963, ketika anak bangsa bangkit
menjadi bangsa dan negara, kau teruji.
Tapi kau mampu menegakkan jalur-
jalur merah dan putih, bendera yang
satu, Malaysia, bumi anak watan.
Di sini kami berkumpul dan berdoa,
mengingatimu, pengorbanan, tanahmu
masih merah. Kau tak akan kami lupakan.

Kota Kinabalu
1 Januari 2013
*Dikirim ke akhbar mingguan Warta Perdana, 16 Januari, 2013


No comments:

Post a Comment