Thursday 13 December 2012

Penyair Dua Alam (Puisi)(Metamorposis)(ITBM)

Senja turun rapat-rapat di horizon
penumpang pulang berkejar merapati
bus yang datang. Berkerumun di depan
pintu, berlumba, mencuba naik dulu. Di sini
tak ada protokol, berebut meloncat naik
masuk ke dalam perut bus. Duduk seperti keluang,
ke jalan pulang. Jalan pulang. Di dewan
aku duduk antara tokoh. Tertib dan makan
beradat. Banyak nasihat terjun dalam
piring, tentang martabat dan impian
anak bangsa. Aku pun cuba memejam
separuh mata sambil melirik ke setiap
meja, bergelar tokoh dan datuk. Namanya
disebutkan dalam pengumuman kedatangan.
Dan keberangkatan. Hebat, bukan! Punya tokoh,
dan pegawai negeri, menulis puisi dan
dapat Hadiah Anugerah Sasterawan Negeri.
Inilah kekayaan demokrasi, siapapun
boleh menjadi penulis, tokoh atau bergelar
datuk. Memang, mereka ada bakat, menang
sayembara dan pertandingan. Ada mandor sastera
dan budaya, boleh jadi penulis dan menang pula
sayembara. Jadi, menulislah kamu! Wahai penulis
berbakat. Mungkin kamu pun akan dinobatkan
Raja Penyair, kalau memang itu mahumu!
Atau S.E.A. Writer Award! Dari binatang jalang
jadi Raja Penyair. Bayangkan! Tak akan habis cerita.
Sambil duduk aku berfikir, ketokohan, anugerah,
dan gelaran. Bukankah semua ini penting dalam
protokol sebuah majlis? Lalu jarak diciptakan,
sempadan pula terbina.

Kota Kinabalu
13 Disember 2012
*ITBM

No comments:

Post a Comment