Thursday 20 December 2012

Kupilih Bahasaku*(ALBDSM)

Aku pilih bahasaku
kerana kaulah yang
terdekat dalam sukmaku.

Kutafsirkan hidup
menurun dari kata
mengalir murni
tanpa terpaksa dan
dibuat-buat.

Di dalam kata-kata
yang terlafaz di hujung lidah
lahir dari ketulusan dan impian.

Kutulis puisi ini
dalam bahasa yang
kau mengerti
bahasa berjiwa
yang tumbuh dalam diriku
dewasa bersama
dalam budaya kaya.

Aku puas
tiap kata dan kalimat
kusampaikan
padamu
turun dari akar kata
yang berkembang.
Bahasa sukma
bahasa minda
bahasa puisi.

Aku yakin
bahasaku, bahasa
yang membawaku sampai
kepada-Mu.

Dalam doa-doa yang diutus
dalam rampaian kata-kata
terkumpul dan diajarkan
tiap kata yang kulafaz
hidup dan menyapa.

Kerana bahasaku
bahasa sukma
tiap kata adalah sel-sel hidup
merah dan mengalir
sampai ke dalam sukma
dan impian.

Impianku tumbuh dalam
bahasaku
kerana aku berfikir
dan merasa dalam
bahasa sukma,
bahasa Melayu.

Kota Kinabalu
20 Disember 2012


*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*AP Volume 1, 2013

No comments:

Post a Comment