Monday 31 December 2012

Nekad, Pagi 2013 (Malaysia)

Aku pernah membisikkan kepadamu
selalu ada bintang harapan yang berkilau
dan berdenyut. Tak pernah mengalah
kerana piala hidup dan air yang kau
minum itu adalah anugerah langit
sekalipun ribut tofan, tsunami dan
gempa bumi menyerangmu ketika
kau mengadun mimpi. Usah, samasekali
menyerah kalah dan berundur ke
belakang. Sekalipun yang tinggal
adalah bara api peninggalan semalam
kau harus meniupnya hati-hati,
dari bara menjadi api yang menyala
dan menanak nasi. Tidakkah kau
mengangkat tangan dan berdoa pada
Tuhan Rabiul Alamen, kau, rupanya
telah melangkah masuk ke tahun 2013.
Bertapa perih kesakitan itu kau
tanggung sendiri, tanpa mengomel
dan terucap laknat. Ketahanan dan
sabar ketika teruji tak akan mengendurkan
nekadmu terus memacu kudamu sampai
ke garis penamat. Perjuangan ini bukan
sepenggal-sepenggal. Hidup adalah suatu
perjuangan dan kita terus teruji. Lalu,
bagaimana kita menakluki nafsi amarah?
Apakah menetaknya sampai ke akar umbi.
Ketika ia tumbuh semula kita pun siap
mencabut akarnya. Kini aku telah dewasa
dan tak terkalahkan lagi kehausan di gurun
atau kelelahan badai samudera. Aku belajar
menguasai sukmaku. Ketika aku seperti igau
bayi kecil. Aku tak akan berganjak. Aku
akan bertahan seperti gunung, sekalipun
angin tofan membanting dan memerangkap
diri ini di penjuru. Aku akan melepaskan
diri dari keroyokan sekutumu. Keselamatan
itu ada di dalam sukma sendiri, mengapa
mencari jauh. Kita selalu berprasangka
pada suatu kebenaran. Kebenaran itu adalah
pintu gol dari kehidupan. Aku akan melepaskan
nafsi-lawwama, sekalipun aku harus jatuh
bangun di sepanjang perjalanan. Aku tak
akan pernah menyesal,  di langit itu tersimpan
khazanah rohani yang dibawa turun oleh
para malaikat. Aku akan melindungimu
seperti jiwa Badar di dalam sukma. O, jiwa
yang tenteram, di situ aku menemukan
diri. Setiap perjuangan selalu teruji pengorbanan.
Ketika kau telah mencapai ketenteraman
kau adalah malaikat yang berjalan di lorong-
lorong kehidupan. Ya Rabbi, singkapkan
pintu itu, selebihnya aku meraihnya. Kau,
jiwa yang tenang, nafsi mutmainah,
yang menghalau kegelapan, bawalah aku
ke sana. Ketika aku berjalan, aku tak tumbang
atau terjatuh kerana Kau memegang tangan ini.

Kota Kinabalu
1 Januari 2013

* Warta Perdana, 16 Januari, 2013
*AP BBSS

No comments:

Post a Comment