Saturday 15 December 2012

Aku Mengajar Diri Sendiri*(ALBDSM)

Tiap hari aku mengajar diri supaya
jangan lekas marah tanpa sebab.
Tiap permasalahan dibuat berunding
duduk beradat sopan. Kekayaan
budaya kalau tidak ditunjukkan
tangan yang baik melantun pulang
menjadi kekerasan dan biadap. Aku
akan berbahasa lembut dan sopan.
Ketika kau mempersenda diriku
kerana sebut kata, dan kerana bahasa
daerahku kental dalam perbualan.
Aku pun tak akan memberi reaksi.
Kau boleh mentertawakan, terbahak
kekurangan diri, kerana kemiskinan,
kerana wajah yang hodoh, atau cara
aku berjalan dan berpakaian, Aku tak
membalasmu. Yang mentertawakan
jelas tak melihat dirinya sendiri. Ia
memakai bahasa angkuh dan sombong
tapi lupa, yang ia berdiri dan tidur
di bumi pribumi. Baru tiba di sini ia
mulai mencipta impian dan berani
memotong cakap ketika berbual.
Memang ia, orang bukan berbangsa.
Sedang aku selalu mengajar diri sendiri.

Kota KInabalu
16 Disember 2012

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*AP Volume I, 2013

No comments:

Post a Comment