Saturday 22 December 2012

Hujan Petang Mengalir* (Puisi)(Metamorposis)

Ada keasyikan, asalkan tidak membuat
aku lupa pada kandungan waktu  yang
berjalan kemas. Ketika aku berhenti
mengatur nafas, perahu telah berhanyut
jauh ke tengah laut.

Malam itu aku bertemumu di bawah
sayap burung kota. Sedang kami berbual,
hujan turun seperti hujan semalam.
Hanya hujan petang ini, adalah rahmat
hadir sekali dalam seperabad.

Aku naik pentas mendeklamasikan
puisi-puisi di telingamu, suara dari
sukma dalam tali perjalanan yang
panjang. Aku tau banyak kata-kata
yang tak perlu diucapkan namun
diucapkan kerana kata-kata ini
adalah dalam kandungan waktu.

Senyum dan ketulusanmu seperti
dulu, barangkali kalau ada kita
melangkah lambat dan berkata
pun lambat, ketika kita sedari
kita sebenarnya tak bebicara
apa-apa selain duduk diam dalam
jeda yang panjang.

Kujabat tanganmu sekali lagi
seperti esok punya rahsianya sendiri
dan kita sangat mengerti seperti
berdiri di tebing sungai melihat
air mengalir dalam kelajuan arus
menuju ke laut.

Dalam kegelapan malam kami berpisah
Sesekali dekur kotaraya terganggu
sedikit membuat riak kecil kemudian
pulang ke dalam igau dan mimpinya.

Kuala Lumpur
23 Disember 2012



No comments:

Post a Comment