Saturday 29 December 2012

Melihat Ke Dalam (Puisi)(Metamorposis)(ITBM)

Sebetulnya aku tak nampak peninggalan
apalagi candi dan bangunan purba itu.
Tak ada batu nisan tersurat atau epik-epik
seorang hero atau syair-syair percintaan.
Moyangku tak mewariskan ilmu turunan
apalagi sebidang tanah, pangkat dan derajat.
Aku lahir telanjang dan menangis seperti
anak manusia yang lain. Di bumi pribumi
ini, aku dibesarkan oleh ma dalam cerita
rakyat, cerita si Karuhai. Mereka berkata,
ini negeri kita, negeri kaya sastera budaya.
Ketika aku membaca puisi mereka menguap
dan meninggalkan dewan. Aku bertanya diri
sendiri. Barangkali memang puisi yang
kubacakan itu. Ketika aku berpuisi, kulihat hanya
aku berdiri di halaman di sekelilingi kucing-
kucing liar, lapar dan ayam-ayam kampung
menunggu taburan jagung dan sisa nasi sejuk.
Puisi yang dibacakan hanya sebuah puisi,
bukan apa-apa, tidak juga hidangan makan
malam. Puisi tak membuat orang jutawan.
Tapi boleh membuat orang marah, dan meng-
hukumnya. Ya, kerana sebuah puisi, mereka
menghantar satu pasukan keselamatan.
Kononnya, orang awam harus dilindungi.
Ingatlah, sebuah puisi, bukan sebutir bom.
Ia adalah karya seorang penyair. Barangkali
satu nama penyair pun kau tak ingat dan apalagi
menyebut namanya. Siapa yang akan mendengar
puisimu? Ini adalah sebuah cermin tak akan
membohongi dirimu, sari kata tumbuh dari
bumi dan turun dari langit. Tiada apa-apa,
hanya sukma dari sekujur tubuh.

Kota Kinabalu
29 Disember 2012
*ITBM



No comments:

Post a Comment