Friday, 14 December 2012

Bahasaku adalah cinta dan kasih sayang*(ALBDSM)

Kau pendengar yang baik sekalipun
dalam situasi begini, kau boleh melayani
dan sabar. Kau dapat melihat dan menurut.
Kau boleh duduk semalam tanpa gusar
hanya kalau diperintahkan. Perbualan
kami langsung, tanpa kelakar dan emosi.
Kau, insan tak berbuat derhaka. Kerana
memang kau telah diciptakan untuk patuh.
Bukankah, ketaatan diri mesti diajarkan sejak
kecil hingga dewasa. Ini, tak melanggar
tradisi dan budaya. Taat dan menurut di
ulang ingat dengan kejujuran. Percakapan
ini penting kerana bumi merana terlalu
banyak tipu muslihat dan kebohongan.
Kita tak menduga satu hari ia adalah
sekutumu, esok ia bertukar lalu menjadi
musuh-musuh yang tak kenal ampun.
Persahabatan terlalu terbuka tanpa dinding
selalunya cepat bertukar menjadi singa-
singa yang lapar. Persaudaraan sesama,
tak akan merugikanmu, satu sama lain.
Permusuhan itu kerana ingin memiliki
sesuatu yang bukan haq. Ketika perubahaan
berlaku, kita tak dapat mengawal hal
yang tiba-tiba lalu kita terasa tercabar.
Aku tak gentar pada tipu helahmu
tapi keberanianmu dalam menyatakan
kebenaran itu adalah satu kekuasaan
tiap orang harus berhati-hati. Tapi, aku
tak akan gundah apa lagi takut padamu.
Kau mengugat dengan ketakutan sedangkan
bahasaku adalah bahasa cinta dan kasih
sayang. Hidup itu, wahai Gazelku, bukan
penderitaan yang mengekori sebagai bayang.
Bukan, sekalipun begitu, aku tak akan
melepaskan kesediaan dan kasih-sayang ini
untuk mempertahankan hidup. Kesengsaraan
ini menghidupkan semangat menerpa
ke depan. Pengorbanan ini memerdekakan
sukma dari abdi kepada nafsi-amarah.

Kota Kinabalu
14 Disember 2012

*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*ITBM