Mengapa ketika sendiri aku selalu merenung
kata ma,'Jangan kamu takut pada kegelapan.'
Aku tumbuh dalam nasihat itu. Pernah aku
tanyakan ma, 'Apa hanya buat anak lelaki?'
'Oh tidak.' 'Untuk anak semua orang. Ngerti?'
Aku melihat ke halaman rumah, dik Aini
main sendiri. 'Dik Aini juga?' Ya, kerana
anak perempuan harus tidak dikalahkan oleh
kegelapan. Lihat pada malam, di situ ada
ketenangan kepada mereka yang bersujud.
Keindahan buatmu menerpa jauh ke jantung
langit. Dalam benak anak adam, mata hati
harus menerobos sampai jauh ke bintang suria.
Mereka tak gentar dan jemu menyingkap
rahsia malam. Bukankah, di situ sumber inspirasi?
Pintu malam terbuka pada para mutaki. Tiap
bisik bersambut. Malaikat pendampingmu
Tak ada sekelumit ketakutan di dalam sukma.
Dalam kegelapan, ada saja ingin menabur benih
sengketa dalam sukmamu. Kegelapan yang ini
tak akan dikunjungi malaikat. Di situ telah
berkumpulnya syaitan dan iblis, menghantui
keturunan Adam. Dalam kegelapan yang ini
semuanya benda mati dan ruh yang terpulas.
Semua ini adalah pengecut dan tak bernyawa.
Mereka cuba menghalau cahaya sekalipun
hanya sekilas. Keberanian mereka hanya pura-
pura tumbuh dari sukma lemah dan dipagari
oleh kebohongan. Anak ma, usah, kau takut
kerana dibohongi oleh ketololan, tahyul dan
syirik. Wajah-wajah buruk, busuk, tengkorak,
dan sukma mereka diperbuat dari api menyala.
Kegelapan tak akan bertahan sedikit pun dari
cahaya murni dari langit. Mereka itu telah lama
tersedut ke dalam kegelapan nista dan tahyul.
Sederhana dalam serba-serbi aduhai, anak-anakku,
kegelapan akan sirna, kebenaran akan muncul
di permukaan langit. Ke mana kalian berada,
datanglah pembawa cahaya, bukan pembawa
sengketa dan jahanam. Cahaya yang kaubawa
datang akan menghalau sarang-sarang kejahatan.
Kalau perlu kita bertarung menghalau kegelapan,
menyingkap jendelanya dengan kasih-sayang.
Kota Kinabalu
14 Disember 2012
*Antologi Puisi, 'Lirik Bulan Di Sukma Malam', Sabahuddin Senin dan Kamaria Buang, Borneo Top Publishing House, 2013
*AP Volume I, 2013
No comments:
Post a Comment