Saturday 29 December 2012

Catatan Kecil Buatmu Di Hospital (Ketuhanan)

Kalau kau tanyakan impianku sebenar
aku tak akan menjawabmu sepantas kilat.
Daun kering terakhir ini lepas dari gagang
pohon, terbang dibawa angin jatuh di jalanan
sejarah, dalam waktu sedikit reput menjadi
tanah. Ketika aku terpanggil berdoa, aku tau 
Ia membalasnya. Meskipun tanganku tak
dapat menjangkaumu kerana kau terlalu
jauh dan tak mungkin. Tapi sukmaku ada
merasakan kehadiranmu. Ya Rabbi, usah
ada kebimbangan sekalipun walau sebintik
di dalam relung sukmamu. Penantian itu
adalah suatu kesedaran dan kesabaran,
yang menguatkan tekad dan langkahmu.
Dakaplah rembulan, usah kau lepaskan
sampai siang mendatang. Aku hanya
menghantarmu ke depan pintu, manisku.
Ketika kau berjalan seorang diri, ingatlah,
kau ada pendamping yang lebih baik
dan sangat sayang padamu, peganglah
tangan-Nya dan usah merasa takut dan
gentar. Ia pasti membawamu ke langit
siang benderang.

Kota Kinabalu
29 Disember 2012

*Mingguan Malaysia, 16 Januari, 2013
*AP BBSS

No comments:

Post a Comment