Friday 28 December 2012

Berpijak di Bumi Yang Tiada (Ketuhanan)



Kamu telah turun dari langit cakerawala.
Entah, berapa lama kamu telah terbang.
Kamu tak pernah bertanya kalau tak
perlu. Bukankah bertanya itu satu
pengisian dalam perbualan atau sendirian
mencari paksi. Sumbernya, memang alam
maya, dan lima indera yang memang
bergolak, kekadang pasif, kekadang
ingin tahu. Pertanyaan itu kerana
ingin tahu maka bermulanya puisi.
Pengucapan yang meletakkan pada
keindahan, impian dan harapan.
Bila pertanyaan menjadi rutin maka
jawabnya menjadi biasa. Bertanya
termasuk umpan kepada otak menjadi
peka terhadap sekelilingnya. Ketika
otak menjadi pasif, maka kita pun
melangkah mundur. Tiada perubahan.
Tiada kemajuan, apa lagi pembangunan.
Kita menjadi mengeluh banyak dan
mengomel terus-menerus dan menjadi
putus harapan. kita pun berprasangka
pada sekeliling kita. Kita akhirnya,
menyepi di dalam kamar gelap. Lama-
kelamaan otak menjadi malas,
dan menyerah kalah. Tiada yang baru
supaya otak dapat bekerja. Kemudian
tak ada perjuangan. Bila tak ada perjuangan
bagaimana memartabatkan suatu
bangsa. Bahasa kita tak dapat ber-
tahan. Bahasa kita menjadi keliru.
Bahasa yang biadap dan kurang
ajar, derhaka dan pak turut dan
tukang ampuh. Dan melahirkan
pengkhianat bangsa. Budaya kita
menjadi budaya kulit, hanya luaran.
Meninggalkan tradisi dan warisan.
Kata-kata hilang keindahannya.
Berselindung di celah-celah batu
dan gua gelap. Hilang jati diri.
Kita terperangkap dalam kata-
kata kita sendiri. Bongkak dan
sombong. Lalu kita mencipta
kaisar-kaisar dan firaun-firaun.
Kita mencipta perabadan yang
diciplak di sana sini. Begitu,
kita tak pernah malu. Malah kita
terus tidur sedang orang lain
telah berjalan sebelum mentari
naik, sebelum siang tersingkap.
Kita mengaku kalah sebelum
berjuang. Kita menjadi pembual
di kaki lima.Kekadang setiap hari
kita ke sana ke mari tanpa ada
urusan. Kita seperti jenerasi yang
hilang. Jenerasi ubur-ubur. Jenerasi
suka minta-minta. Jenerasi kasar.
Ketika sukmaku merontah-rontah
mencari jalan keluar, kekadang tak
terjangkau soalan, lalu keluar sebagai
protes. Di bumi ini, setiap langkah,
ke arah mana kita menoleh, timbul
pertanyaan. Seperti anak yang baru
belajar terhadap bahasanya. Pantas
mati awal dan meninggalkan janda-
janda tanpa perlindungan. Kerana
kita lupa diri,  Lupa pada agama.
agama hanya untuk tunjuk-tunjuk.
Lebih dunia dari rohaninya. Kita
membaca Al Qur'an dengan  suara
merdu tapi gagal menerjemahkan
isi pengajarannya. Tuhan-tuhanmu
baru diciptakan, tuhan-tuhan duniamu
yang bernafsu. Lidahnya agama
sukmanya kosong. Oh malam gulita,
kami mendengar-Mu. Kebenaran-Mu
telah hadir, turun dari langit. Indahnya
langit di waktu fajar, langit maghrib
dan hening tengah malam. Kembalikan
kekuatan itu ke dalam sukma. Tumbuhlah
akar tunjang  dan mencengkam nadi bumi.
Dari sekarang kita tak akan jalan mundur
ke belakang. Sejak kamu tinggalkan bumi.
Kamu bergayutan dari bintang ke bintang.
Ketika kamu telah berada di angkasaraya,
kamu melihat komet yang jatuh hanggus.
Jauh besar dari Benua Borneo. Ada pula
lebih besar dari Benua Australia. Cuba
bayang, dari jauh seperti seketul bara api
mengecil menjadi abu. Kamu terapung di
lautan samudera bintang-bintang tak bertepi.

Kota Kinabalu
29 Disember 2012 


*Dikirimkan kepada GAPENA untuk Antologi Kembara Puisi GAPENA, 2013

2 comments:

  1. tersirat yang mendalam.. suka baca puisi2 tn ss :)

    jun irnanis
    http://irnanismama.blogspot.com/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana menghargai waktu , masih dapat membaca puisi-puisi saya. Teruslah membaca.

      Delete