Sunday, 25 November 2012

Wanitaku, Maafkan!* (Puisi)(Metamorposis)

Wanitaku, kau telah mendengar ribuan kata-kata
yang kuluahkan dalam berbisik, berselindung
dan terus-terang. Kita telah bersama, bersayap
terbang ke rembulan penuh. Kau pendengar baik,
kekadang antara kata-kata lunak ada tersembunyi
penghinaan. Maafkan aku.

Wanitaku, aku akui dalam keterlanjuran, menderahmu,
aku lakukan itu tanpa kusedari.
Ampun, Ya Rabbi, aku memang telah bertindak
kasar pada wanitaku.

Ketika kau bertanya, aku dalam tertekan lalu
aku membalasmu dengan kata-kata kasar
sekalipun bukan niat, sungguh aku layak
dihukum. Maafkan aku.

Dalam hidup menjelang senja
ketika aku menatap bola matamu
langsung ke dalam sukmamu.
Wanitaku, Kristalku,
selalu di hari-hari biasa tanpa sedar
aku telah menyiksamu dan membuat
kau menangis dan tersiksa. Maafkan aku.

Wanitaku, kita telah bersama
jauh di lembah gunung dan khutub selatan
kau telah mengenal kelemahanku.
Aku berjanji tapi janji-janjiku
tak menetas pada waktunya
bukan kerana aku 
sengaja berbuat demikian.
Tapi  kerana pencapaianku
rupanya tak sejauh langkahku. Maafkan aku.

Wanitaku, telah kuucap nazam-nazam
cinta padamu dan kau membuka
pintu martabatmu kepadaku
dalam percintaan, lalu lahirlah
buah dari cinta itu, tumbuh
segar di halamanmu. Pengorbananku
barangkali hanya doa-doa yang
mengalir dari sukma seorang kekasih atau
suami. Maafkan aku.

Wanitaku, aku tak pernah meninggalkanmu
di tengah samudera atau di padang pasir
sendirian dan membiarkanmu bergolak
menghadapi hawa dingin atau binatang buas.
Kekurangan itu memang aku sedari. Maafkan aku.

Wanitaku, jatuh bangunnya aku, kau 
selalu disampingku. Ketika aku meraung
dan kehilangan atau dalam tidur yang gundah
kau mendakapku dan selalu
menenangkan sukma dengan kelembutan
dan ketulusan jiwamu. Maafkan aku.

Wanitaku,
Kalian adalah anugerah Tuhan
yang terbaik.

Sandakan
26 November 2012