Thursday, 29 November 2012

Aku akan membawamu* (Indah)

Aku pulang setelah datang padamu
wajahmu berubah bulan purnama
ketika kutinggalkanmu, aku pasti
seleramu tersingkap di hujung lidah.

Ya Rabbi, aku menyulam waktu
sekarang aku hadir dengan sukmamu
biar tanganmu kupegang dan kita
jalan bersama meskipun perlahan.
Biar kusuapkan bubur ke mulutmu
aku telah biasa menjadi penyabar
akan kusediakan wangi-wangian
untukmu mandi. Kehadiranmu itu
telah pun membina harapan.

Kalau dulu kau akan menyanyi
lagu menidurkanku, sekarang
aku pula akan menyanyikanmu.
Ceritamu, masih kuingat semua.
Sekarang aku pula yang akan
bercerita tentang benua yang
jauh, samudera lautan, mata angin,
pergunungan sepi dan langit saffron.

Beri aku kekuatan, dan cahaya purnama
ketika aku berjalan di malam buta
gelap. Tiupkan angin buritan ke dalam
sukmaku supaya aku dapat melangkah
dan pulang membawamu air bening.

Kota Kinabalu
30 November 2012
*AP Volume I, 2013