Sunday 4 November 2012

Biar Kau Sentuh Sukma Angkasa Rayamu* (Puisi)(Metamorposis)

Aku meluncur ke angkasaraya
melihat bumi seperti sebiji telur
kebiru-biruan dan sentuhan warna putih.
terasa kini telah lepas dari graviti
memandang ke depan, aku berangkat
satu misi. Bumi sayang, kesabaranmu
sejak masa silam. Sekarang kau masih,
masih menyerap dan memberi.
Sejak dulu, anak adam menafsirkan
kata-kata, kekadang mencederai
kemanusian sejagat. Setelah keruntuhan
dibangunkan lagi sebuah peradaban,
dan menyanyi kata-kata, melahirkan
puisi menjadi kegemilangan bangsa.
Ke mana saja aku pergi, tetap masih
berbau tanah. Dan aku tak akan
melupakan air bening  dan udara gunung.
Laut dan malammu, kedamaian
meraih-Mu. Meninggalkanmu,
bumi kesayangan bukan melupakan.
Biarkan perjalanan ini, berangkat
dari kesedaran dan ilmu. Menjangkau
angkasaraya dengan sukma. Kejauhan
itu tak terasa, kerana aku akan menulis
dalam gaya bahasa dalam bait-bait
puisi yang indah. Biarkan ada yang
melakukan langkah permulaan. Tiap
perjuangan dan pengorbanan harus
ada mentor dan tokoh-tokoh  yang
berjiwa bumi. Kini, aku memulai
kembara ini, kalau tidak sekarang
nanti, biar kau sentuh sukma
angkasarayamu dan ia pasti memberi
reaksi sebagai seorang sahabat
dalam era kemerdekaan, satu
bahasa, satu bangsa dan satu negara,
Malaysia.

Tawau
5 November 2012







No comments:

Post a Comment