Thursday 8 November 2012

Mari, Kita Mulai Kembara ini Selangkah Dulu (Puisi)(Metamorposis)(ITBM)

Aku tak memaksamu
apa lagi menukar bumbung langitmu
memangnya sudah begitu
kalau suatu ketika
aku bertemu di keramaian kota
atau di mana saja
lalu berbahasa padamu
tak perlu kau menggerut dahimu
kerana di dalam sukmamu
meresam setiap getaran
dan sentuhan kata-kata.

Bahasaku tetap indah
menjangkau orbit dan langit samawi
tiap kata-kata
terhampar makna-makna
bila dikumpulkan
menjadi syair dan puisi
yang indah.

Aku mencintaimu
bukan sekadar aku lahir
lalu menjadi tulang sum-sum
dan urat serambi yang
menjalar ke seluruh nadi hidup
sampai kiamat mendatang.
Bahasaku, adalah anugerah-Mu

Kau tumbuh bukan dari tangan asing
sebelum aku lahir, kau telah ada
lenggang-lenggok bahasa Melayu
adalah dari busana bangsa
yang dianyam dari tradisi dan budaya.

Aku tak malu
kerana aku berfikir dalam bahasa.
Kerana aku juga mengeluh, berdebat dan berkasih
dalam bahasa
bahasa yang mengkukuhkan sebuah
harapan
impian
amanah
keadilan
dan perpaduan bangsa.

Kau telah melihat ke dalam bola mata
hitam  dan aku menatapmu
lalu dari lidahku yang lembut
terucap kata-kata dari sukma
salam dalam keindahan yang
tulus telah menambat jiwamu.
Aku tak akan memaksamu
kerana bahasa ini adalah
bahasa berfikir dan merasa
kembaranya jauh ke angkasaraya
tapi, sebelah kakinya masih
di bumi.

Manisku, mengapa terdiam
dan berdiri kebigungan. Mari,
masuklah ke dalam, kita mulai
kembara ini selangkah dulu.

Kota Kinabalu
9 November 2012
*ITBM

No comments:

Post a Comment