Friday 9 November 2012

Aku Hanya Melakukan Yang Termampu (Ketuhanan)



Dalam diam disepanjang jalan
ketika aku terbang bersama angin
benih digenggaman tangan dilepaskan
aku memandang sekumpulan burung
terbang ke arah barat. Dalam tenang
aku berdoa, benih yang ditabur tadi
akan menjadi pokok buah yang manis.
Suatu hari sekawan burung yang lain
singgah dan hinggap di dahannya
menjamu selera. Dari situ nanti sekawan
burung terbang ke bumi dan langit baru
menabur benih. Lalu kau melihat bukan
saja di bumi, di langit juga pohon
buah akan tumbuh dengan buah manis,
melegakan musafir yang lelah. Memang
pohon berbuah manis itu, hidangan
buat para musafir untuk ratusan kurun
mendatang. Malam tadi aku bermimpi
menggali perigi setiap perhentian jalan.
Airnya manis dari pusar bumi. Perigi
yang digali dengan cinta dan dedikasi
tak akan kering kerana langit sangat
kasih padanya, hujan selalu turun di saat-
saat perigi mula menampakkan tanda
air susut ke tahap yang menggelisahkan.
Aku hanya melakukan yang termampu,
selebihnya pada-Mu, Yang Empunya Kuasa
ke atas langit dan bumi. Aku masih
kuat melangkah sekalipun agak perlahan
tapi, aku akan sampai akhirnya.
Oh Malam penuh barkat, aku tak pernah
mengomel, sekalipun terasa letih, aku
akan terus mengenang-Mu dalam doa-doa.
Kepadamu, musafirku, sekalipun kau
tak mengenalku, aku puas, kerana dapat
berkhidmat.

Kota Kinabalu
10 November 2012



**Antologi Puisi 'Zikir Cenderawasih' oleh Hj Bung Johar, Sabahuddin Senin dan Haji Domeng, Borneo Top Publishing House, 2014.

No comments:

Post a Comment