Tuesday, 27 November 2012

Kau Seperti Langit Biru* (Indah)

Aku telah berjanji
seperti anak bulan dan
mengembang menjadi bulan purnama
dari purnama mengecil dan hilang.
Dan esok ia datang lagi.

Hari itu aku datang
mengunjungimu, sekalipun
jauh, ia adalah perjalanan kasih
yang akan berhenti di perhentian
atau di pelabuhan.

Kau mencium dahiku
tanganmu lemah
ketika kau berdiri
kau seperti langit biru
dan bau bumi dapat aku
rasakan.

Kau bertanya, aku menjawab.
Aku akan membawamu jauh ke cakerawala
aku masih kuat seperti gunung Kinabalu
tulang belakang seperti banjaran Crocker
masih kuat mendokongmu sampai ke senja sirkah.

Aku akan memelihara kata-kata supaya tidak
melukakanmu. Setiap gerak aku perhitungkan
kerana aku mau kau selesa dan tenang tidurmu
biar aku berlari di atas batu-batu kerikil,
sedikit didarahi tak mengapa dan bumi
adalah pengorbanan menjanakan sebuah
impian dan harapan.

Bernafaslah, aku akan selalu disampingmu
kebutuhanmu adalah kesabaran
keperihanmu adalah airmataku
tiada apa-apa yang lebih kuminta
hanya doamu.

Kota Kinabalu
28 November 2012