Sunday 18 November 2012

Malam Penderaan Itu (Palestine)

Kita meratapi tumbang pepohonan kayu
tanah terbakar hanggus menjadi debu hitam
lalu kau meratap kerana kepedihan sukma
seakan tak sembuh lalu datang lagi musibah itu.
Kau bertanya,"Mengapa." dan matamu keliru
mencari harapan yang menipis. Saling tiada
maaf-maafan, semua cara dihalalkan. Pembalasan
dendam yang tumpah. Kau mencari sekutu
tapi semuanya mengundur diri kerana
kepentingan diri lalu kau mencari anak isteri
dan rumahmu yang terperangkap dalam gas racun
dan letusan bom. Kau tak akan pernah melupakan
tanah leluhur, desa dan halaman dan pintu rumah
dan anak kunci itu. Kau bawa ke sana-sini. Impian
itu hidup dalam mimpimu. Kau tak akan melenyapkan
mimpi-mimpimu selama diaspora. Malam maut
jerebu racun mencekik lehermu dan menuba
paru-parumu. Seakan sayap-sayapmu reput dan
tulang kering kakimu patah-patah dan tanah tempat
berpijak tak terasa. Ketika musuhmu membantingmu
dan memukulmu bertubi-tubi, kau cuba bertahan.
Serangan dari kiri dan kanan. Kau merasa hilang
harapan, pertahananmu terpukul dan kau mau saja
menyerah. Lalu kau berhelah mencari kekuatan.
Malam yang gusar, melihat  gemerlapan bintang
di langit dan bulan merekah terasa pudar. Perang ini
telah jauh ke dalam sukma. Ini soal maruah dan martabat.
Biar aku memakai bahasa yang paling muda.
Kata-kata yang terhimpun dalam pakatan doa.
Tiada penyesalan dan tiada merubah takdir
Di malam penderaan itu, kau bertahan bukan
alang kepalang, kesabaranmu adalah langit berlapis.
Kau tak akan dikalahkan sebagai ummah yang kalah

Kota Kinabalu
18 November 2012





No comments:

Post a Comment