Monday, 12 November 2012

Hujan Di Telukmu (UB)*

Kau melangkar sebuah janji
langit berubah mendung
hujan menitis dari matamu
Teluk Marudu, hujan di telukmu
malam ini komet berjatuhan
ke dalam lautmu. Hanya satu
malam memisahkan aku yang
berdiri di pantai ganding di
ufuk barat dan kau di sebelah
timur. Esok, mata angin bertiup
membawa pelayaran ini terus ke
muara pantaimu antara dua bukit.
Ada rahsia di dalam lautmu lalu
aku pun mula membaca gelombang
yang datang bersama hujan dan
ada waktunya angin bertiup kencang
dan adakalanya lembut seperti
ketukan kulingtangan di malam sepi.
Hujan di telukmu, membawa
riak sampai ke tepian.

Kudat
12 November 2012

*Tersiar Di Utusan Borneo, 7 April 2013