Tuesday 20 November 2012

Mereka Telah Melampau*(ASP)(Palestine)

Aku merasa malu pada diriku
yang hidup di kurun lalu dan alaf 21.
aku diajarkan supaya toleran
dan kasih sayang, berkata benar
menentang kezaliman dan penderaan
menegak hukum dan  melindungi hak asasi.

Langit cakerawala telah ditembusi
suara kami tak berhenti di sempadan
tapi melangkahi demi kebenaran
dan keadilan didahulukan.

Demikian aku terdidik
dilengkapi ilmu dan berani
kerana benar. Aku pun sedar
ada hak pada wanita
ada hak pada anak-anak.

Tiap bangsa yang beradab
akan berusaha menggenapkan impian ini.
Dalam perang, juga ada peratorannya.
Ketika mereka membantai
wanita, kaum ibu dan anak-anak
melihat kepala mereka pecah
tulang kerangka remuk dan patah
bangsa beradap diam dan undur kemaluan
dan bersiul-siul pergi.
Aku mendongak ke langit
dan berteriak habis
sebagai manusia yang tersiksa
lalu berkata,"Ya Rabbi, mereka telah melampau!"

Kota Kinabalu
20 November 2012

*Antologi Suara Penyair, 2012. 




No comments:

Post a Comment