Friday 25 May 2012

Tanah Kasih (Ketuhanan)

Ya Rabbi, aku bukan kehilangan dalam bedul waktu yang bergetar
tidak juga aku berdalih mendahulukan kepentingan diri
dalam timbunan rasa dan fikir aku terasa gempa yang lunak
kejauhan itu adalah kerinduan terkocak dalam sabar menanti.

Ya Rabbi, tak pernah kutinggalkan menyebut-Mu
lembah gunung kulangkahi dan laut kuhadapi
kelajuan gelombang tertinggal kerana cinta terbang berpaut
seribu anak kata dan kalimat lebur hanya dalam satu pertemuan.

Ya Rabbi, tak akan kulanggar janji dan berpatah sayap
Kau rembulan ketika dua hati dalam harum malam kemuning
di langit siang kami berjuang memaknakan sebuah cinta
dan kami tak akan dikalahkan kerana hiruk pegap amarah.

Ya, Rabbi, tanpa-Mu, cinta ini bagai desir angin yang bingung
berputar-putar, terhoyang-hayang tanpa arah, kehabisan tenaga
hati kami telah baiat dan majnun datang kepada-Mu
lalu kasih langit dan cinta bumi bersentuhan, terasa damai!

Canberra
26 Mei 2012
*AP Volume 1, 2013









No comments:

Post a Comment