Monday 21 May 2012

Rahsia Sebuah Hati* (Puisi)(Metamorposis)


 Aku mulai bicara sebuah hati
dalam kesederhanaan
dan berakhir dalam kesederhanaan.

Ada rahsia yang tersimpan
pada mata yang memandang pada alam
pada langit dan bumi aku selalu bercanda
menyingkap rahsia sebuah hari
pada gelora laut yang selalu
menyimpan rahsia ribuan kurun
pada pulau yang sepi 
terselip bebayang dalam pekat malam
pada gunung di waktu fajar merelakan diri
dalam dakapan mentari merekah
pada rembulan keagungan sang kekasih
melukiskan malam dengan tinta kalimat cinta
pada lembah salji kesabaran yang lunak
menunggu datangnya musim semi
pada sebuah kamar ada suara-suara
yang terkurung dalam perjalanan waktu.
pada sebuah kesedihan ada rahsia yang belum terucap
pada sebuah mimpi menunggu menjadi sempurna.

Mentari yang menyala
mengirimkan cahayanya
adalah kesabaran berkurun
alam itu-
adalah fikiran dan rasa dari warisan silam
anugerah dan inspirasi yang mengalir.

Di musim semi, di lahan baru dan tanah gembur
aku menyemai sebuah harapan, agar tumbuh dan berakar
aku berkata padamu, ketika kebenaran itu telah nyata
bukan rahsia tapi kenyataan lahir dari kandungan waktu
lebih dari seribu kurun bagai siang yang terang
mendatangi lembah-lembah yang terlindung dan jauh.

Mengapa hatimu tergetar, dan cemburu
melihat sukses kerana kemewahan dunia
kerana kau merasa tak punya
sedangkan kekayaan itu milik tak puas
terus mengoda sampai ke dalam tidur yang gundah.

Mengapa harus resah, mengapa berduka
kejahatan dunia itu-
kejahatan yang bersarang pada hati yang gelap
ia bernafas dan bergerak hidup
menguasai nadi dan urat-urat darahmu
akhirnya kau tak bermaya dan menurut
dan merasa manis dan akur.

Melepaskan semua itu bukan bererti
mengalah pada kehidupan
usia kita telah berangkat, matahari batu delima
kalau kehidupan itu adalah teka-teki
maka ia telah terjawab, kerudung itu telah tersingkap
kepuasan dunia tak pernah ada garis penamat
ia adalah bakteria yang akan menjadi penyakit
ia adalah kerakusan dan keangkuhan akhirnya.


Ketika kau telah redah dari gelisahmu
bagai malam telah berangkat datangnya siang
bagai hutan kembali riuh dan hidup
bagai gemerincing waktu yang beredar dan teruji
besar hatimu  meraih langit
besar pula tipu muslihat suara-suara gelap
di dalam rimba yang tercipta di dalam hati
serigala dan petualang malam adalah
pemburu perkasa terus mengejarmu sampai
ke pangkal malam.

Ketenangan ini adalah
air halia yang kuminum
madu yang kucicip di hujung lidah
dalam solat aku hamparkan selaksa dukalaraku
dalam doa aku mendakap-Mu
bagai kekasih yang haus dan rindu
kupanggil nama-Mu
kubisikan kata-kata terindah
dalam kalimat-kalimat sederhana 
kerana kesederhaan hidup ini
aku terpanggil memanggilmu
dalam sederhana kubaca gerak langit
dalam sederhana kubaca gerak bumi
dalam sederhana kubaca degup hati.

Kalau rahsia bukan rahsia lagi
kebenaran itu telah menjadi nyata
dan rahsia itu telah tersingkap.

Canberra
22 Mei 2012












No comments:

Post a Comment