Wednesday 9 May 2012

Lagu Angin Biar Sesaat* (Cinta)(Suasana)

Teruna:

Kekasih, kucari anak matamu
tapi kau berpaling.

Sekiranya kau berikan aku sesaat
aku dan kau duduk berbual seperti dulu
memegang  tanganmu
melihat ke dalam matamu
aku pasti kau dapat merasakan
debar jantung  ini.

Hanya sesaat kekasih,
mengapa kau mesti berpaling
sekalipun aku begitu dekat.

Ingatkah kau, kekasih,
hembusan nafasmu
bersentuhan. Tiap kata
yang kulafazkan meresap
ke dalam jantungmu.

Kini kau menganggap aku tak
pernah ada, dan bicaraku  bagai
angin lalu. Kuterima kekalahan ini.


Kalau hanya kau berikan
sesaat, kupasti kau kepunyaanku.
Ketika kau berjalan
membelakangiku, kuberdoa,
berpalinglah walau hanya sesaat
menoleh dan senyum. Itu sudah cukup
dan aku puas.

Tuhan, Engkaulah Pelindung
di Malam Durjana.

Gadis:

Aku melepaskan kau pergi
tiada khabar darimu.
Kutunggu kau, kucarimu
dalam mimpi kejora, kau tiada.

Cintaku telah musnah
hangus terbakar.
Cemburuku telah reda
kata-katamu  tak bermakna.

Pergilah kau dari hidupku
telah kulepaskan semua
kenangan.

Carilah gadis lain
nikahlah ia
lepaskan aku.
Ketika kau memandangku
aku tak akan dapat
menahan panahan matamu.
Lihatlah aku,  korban cinta
yang tak sampai.

Telah kuberi jawaban
padamu. Biarlah aku pergi
menikahi lelaki tau merasa
penderitaanku.

Tuhan Maha Pengampun
Kau telah aku maafkan.

Ayah Ibu Gadis:

Kami melihatmu bermenung jauh
wajahmu kelihatan kusut bagai  taman
selepas hujan angin.

Rambutmu bagai rumpai
hanyut surut di pasir pantai
kau, bunga Melur,
yang terjaga di taman.

Kegembiraanmu kegembiraan kami
tapi kami melihat bulan luluh
hatimu tercuka matamu
suram dan tanpa cahaya.

Aduhai, pelamin telah disiapkan
hantaran telah diterima
keramaian akan dimulaikan
resepi telah disiapkan.
Doa kami turun-temurun
melucur sampai jauh ke jantung  langit.

Adat dimuliakan
kompang mendahului acara
tamu datang bersambut.

Tapi di kamar pengantin
ia melihat kekawanan burung
terbang menjauh.

Ia bisikan pada langit

"Kukenangmu dalam doaku
Ya Rabbi, kenangan itu tak pernah menjauh
tersimpul mati di sanubari."

Khabar Langit:

Di suatu pagi indah
langit menabur bunga,
melur, kemuning dan mawar
elus gerimis membawa khabar.

Burung Kenari menyanyi lagu
musim bunga hinggap di
jendela hati.

Ya, Rabbi, Engkau yang menjadikan.

Canberra
9 Mei 2012

No comments:

Post a Comment