Sunday 27 May 2012

Kekerasan (Perempuan)

Suara itu mau menjulang ke langit
tapi Timah tetap bersikeras mendakapnya
lalu ia sembunyikan dan menyorok-nyorok
di dalam rumah atau diari sendiri.

Rumah ini adalah saksi
Timah berhati arnab
ia memanggilmu abang dengan kasih.

Ketika kau menampar dan memukul
Timah mengaduh tapi masih tetap
memangilmu, abang sayang.

Timah dilahirkan lembut dan indah
ciptaan terbaik lebih harga dari sebiji nilam
kesakitan diajarkan biar tabah dan sabar
kaum yang lemah kata mereka
harus taat dan menyerah pada takdir.

Ketika dibentak-bentak dan dipukul
dituduh dengan kata-kata kasar
Timah menunduk saja memandang lantai
kerana ia tak diajarkan jadi derhaka.

"Kalau kau mau memukulku menampar
sesuka hatimu aku tak akan melawan."

"Masa ia mengamuk kau tahu tak, apa yang dirasa?
"Aku rasa bersalah, sedih,
"kerana aku, jadi semua perkara.
"Meja makan di rumah ia terbalikkan."

"Aku rasa tiba masanya dibawa
berbincang dan bertegas
rupa-rupanya jadi lain. Seharian aku menangis
sekarang mata aku bengkak."

"Dia tuduh perkara yang aku tak buat
dia terlalu cemburu, entahlah
sakit hati, aku takut hilang sabar
aku pantang, jika ada sesiapa
membuat tuduhan tak berasas pada aku."

Perubahan bermula dari kerajaan hati
"Aku zalim terhadap diri aku sendiri
Selama ini aku terlepas pandang semua tu.
aku ini manusia yang sangat
mudah terasa sangat sensitif."

"Aku tak suka sifat itu sebenarnya
tapi nak ubah makan masa lama
mungkin sifat itulah membuatkan aku begini.."

"Aku cuma kata..
aku perlu masa berfikir.
aku takut untuk berkata tidak."
Timah, mengapa tidak!

Canberra
27 Mei 2012

*Antologi RM & SS



No comments:

Post a Comment