Tuesday 29 May 2012

Pulang ke Selatan (Mama)

Pulang ke selatan
jalan-jalannya telah tertimbus
menyatu menjadi hutan
di situ pernah ada sebuah rumah
dalam waktu bergeser
atapnya telah bocor
dindingnya dari masa silam
merindukan kekasih tak pulang.

Di situ ada rumpun bambu
selalu berseloka kini senyap
pepohonan tinggi
terpanah petir lama reput
jalan ke bukit sepi
gemerisik patah ranting
makin menjauh dan melodi
lagumu hilang.
Memandang ke selatan
terasa melangkah undur
menyemai benih tak tumbuh
mimpi jatuh sebelum ranum
cinta dan benci berbaur
bagai menyicip air buah limpahung.

Berdiri ke selatan
bagai kau tak melambai lagi
matamu tertutup kabut
sepotong bulan lebur
menjadi pasir
tapi, kau masih menyelak
ingatan, bau tanah
suara tilawat dan tafsir
selepas fajar.
Sebuah rumah di selatan
di situ, anai-anai
telah lama bersarang.

Canberra
29 Mei 2012
*ITBM (Bahagian II)














2 comments:

  1. renyuk hati membacanya. kesunyian yang teramat. kerinduan kepada seloka meresap bau tanah. senyuman menjadi sebuah potret di sebelah cermin mengharap balasan. begitulah.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas komennya. Salam buatmu, Setiakasih

    ReplyDelete