Wednesday 23 May 2012

Janda 2012 (Perempuan)

Apa kau menungkan di dalam kamarmu
kamarmu adalah milikmu
tiada siapa yang dapat masuk
tanpa mengetuk pintu dan memberi salam.
Mengapa kau pusing dan terasa dikalahkan
kau diam tanpa membalas serangan
kau adalah dirimu, dirimu adalah hakmu
hakmu memilih hidup yang benar.
Biarkan bunyi bising dari cerutuh lidah yang kotor
kerana kau seorang janda.
Kau harus melangkah melihat  kanca siang
dengan tekad dan nekad.
Ini adalah tamanmu
adalah kijangmu yang lincah
kau adalah raja di dalam kerajaanmu
kau adalah jelmaan Cik Siti Wan Kembang.
Dari lima penjuru siang mereka memataimu
menghendap dan menghendikmu
dengan kata-kata bermata dua
mengapa kau harus mengalah
dan merasa kakimu dipatahkan
Aduh! lelaki apa ingin memperisterimu
menyerangmu lalu ia berseloka
kepada isterinya yang pertama.
"Aku kesiankan Amin," katamu
tapi anakmu tumbuh dalam peredaran waktu.
Puteri Gunung Ledang tidak begitu
ketika menghadapi Sultan Mahmud.
Di mana kau sembunyikan hati nurainimu
di bawah ranjang berdebu.
Kamu, Urduga,  perlihatkan bagaimana kau
melarikan kudamu dan kehebatanmu memanah.
Kau telah meraih kedudukan
tamat pengajian di universiti
tapi, kau takut kerana dirimu Janda.Ya, Rabbi...

Canberra
24 Mei 2012















1 comment:

  1. Tahniah, saudara. Puisi ini yang ditulis seorang lelaki mencerminkan kematangan akalbudi, memberi nafas yang berbeza, jalur yang segar. Sering mendengar keluhan wanita-wanita sekeliling tentang rendah diri hanya kerana gelaran janda. Begitu juga dengan wanita yang Allah tetapkan baginya tidak mempunyai cahayamata. Khadijah RA seorang janda kala menyampaikan hasratnya kepada Rasulullah, Aishah RA digelar Ummul mukminin dan beliau tidak dikurniakan cahayamata. Perjalanan hidup setiap insan sudah tersurat, setiap dari kita melangkah di atas rencana Allah SWT. Maka, cukuplah Allah sebagai penolong. Redha itu mahal harganya, ia menjadi kayu ukur keimanan. Iman itu berteras redha, ikhlas dan syukur yang berharap tiada lain kecuali redaNya semata-mata. Bila sampai masanya pulang, pulang dengan hati yang sejahtera.

    Benar, apabila pulangnya anak Adam AS ke alam barzakh, terputus hubungannya dengan dunia kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan, dan sadaqah jariah. Allah SWT Maha Bijaksana dan Maha Adil. 2 dari 3 perkara itu boleh diikhtiarkan oleh setiap insan. Sekurang-kurangnya 2 insan yang saya kagumi akhlak dan adabnya tidak memiliki cahayamata. Allayarhamuh Dr Martin Lings @ Abu Bakar Sirajuddin juga seorang mentor yang sempat saya kenali selama seminggu mengikuti kelas penataran beliau; Standard Bearers Academy ~ Excellence Leadership Course berteraskan sunnah dan sirah di mana metodologinya ialah tazkiyatunnafs dan tarbiyyatul akhlaq. Yang saya maksudkan ialah Sheikh Yawar Baig. Isterinya jua hadir sama. Setiap kalam Allah yang dilafazkannya seperti menggetar setiap saluran darah, menusuk ke kalbu. Airmata tidak dapat ditahan-tahan. Sayu dan sebak. Boleh dirasakan betapa kerdil dia merasai dirinya di hadapan Allah SWT.

    Saya mendoakan semoga Allah menganugerahkan saudara makrifatNya dalam berkarya. Amin.

    ReplyDelete