Tuesday 2 April 2013

Kerinduan, kekasih Yang Menemukan*(ABMMK)

Ketika kutinggalkan tanah air
kerinduan melahirkan kata-kata
lalu menjadi kalimat terindah
di dalam sukma. Sesekali terlepas
dalam perbualan.

Aku melihatmu dari kejauhan
seperti bercermin diri sendiri.
Ketika aku berada disampingmu
aku tidak melihat warnamu
sebenarnya.

Tiap persinggahan aku
berdiri dan menghirup nafas
mencari bau dalam udara
dan cahaya hinggap pada wajah
mengelus, lembut dan nyaman

Dalam kerinduan itu
ada kenangan, kasih sayang dan
cinta dan memori yang
bertahan dalam ingatan.

Kau tak akan berkata
pada yang tiada
tercatat dalam memori.
Keindahan itu
adalah yang merapatkan
jarak.

Di dalam matamu ada kerinduan
tumbuh dalam diam
berakar di dalam sukma.

Aku di daratan ini
tak akan menyamai tanah
di halaman kerana
di situ kau boleh bermimpi.

Aku tak akan membiarkan
kebencian itu berbaur
dengan kerinduan walau
sedikit.
Kerinduan itu adalah
lautan tenang
di langit malam bergemerlapan.

Kerinduan ini akan terlerai
ketika tanganmu kujabat
dan ketika kau,
kudakap dan mencium
dahimu.

Tatkala aku menelusuri
halaman sejarah
maka kerinduan ini
hidup dan bersemi.

Setiap artifak kenangan
dan kehadiranmu
wujud dalam sukma.

Aku menjalin
cinta dan kasih sayang
tiap getaran inderaku
telah memberi isyarat
kehadiranmu.
Dan aku menjadi pasti
kau hidup dalam diri ini.

Kerinduan itu tanpa sempadan
langit yang berlapis-lapis
dan lautan yang penuh rahsia
nafas malam yang
penuh
isyarat dan kejuitaan.

Kerinduan ini telah aku persiapkan
bertahun-tahun bersemi
dalam sukma dan mengalir
dalam serambut darah ini.
Sekalipun aku jauh
terasa air terjun mencurah
tanpa berhenti
Kau adalah impian yang tak akan
pernah punah
menjadi rembulan
mentari
dan bintang-bintang
yang bergayutan di cakerawala.

Aku tak akan berhenti
kerinduan itu telah menjadi
langit yang tak dapat dibendung
dan aku beruntung kerana
masih boleh merindukanmu.
Kerinduan ini tak tertakluk
kepada masa. 

Yang terdahulu telah berusaha
mengenapkan kerinduan mereka.
Yang tinggal dan generasi penerus
juga akan menggenapkan kerinduannya.

Kemerdekaan itu
adalah kerinduan pada sebuah impian
yang telah terpenuhi.

Aku masih merindukanmu
dan akan membawamu
sebagai kekasih yang menemukan
harapan dan tak ingin pulang.

Kota Kinabalu
3 March 2013

*AP Bebas Melata MELANTUN KASIH, EDITOR, Othman Ramli, Sarjana Media SDN                               BHD, 2013.






No comments:

Post a Comment