Saturday 13 April 2013

Kundasang Buat Rem Dambul*(ACDK)

Jarang kau bertamu, sekali
bertamu terasa nikmat.
Kundasang, tanah 'seborong'
tanah rindu di kaki aki Nabalu.

Yang silam bukan bererti
kuno dan kau terima
yang baru bukan pula keselamatan
dan kedamaian.
Kau merindukan
sebuah harapan kini telah larut dalam
pembenturan waktu, lebur kerana
kerakusan meraih untung cepat.

Di tanah rindu ini,
tiap perubahan akan menusuk
bagai mata nibung menekan ke dinding sukmamu.
Kau ingin berteriak, biar suara itu mencapai bumbung
langit. Tapi sayang seperti ayam jantan yang tercekik
di pelantaran di siang hari.

Keringatmu meleleh dari tengkuk seawal ini
Kundasang, kau telah berubah dan
aku mulai tak mengenalmu.
Di sini, masih ada yang gemar membakar hutan.
Lihatlah, 'rogimot’ dan ‘tandaramai’ telah 
tumbuh menjauh ke tanah tinggi.

Kundasang, bagaimana kucuba membendung
arus perubahaan yang dipaksakan itu.
Kau adalah tanah rindu dan leluhur, di 
dalam sukmamu, kau menangis
kerana kejahatan-kejahatan itu. 
Tapi suaramu masih
tak sampai seperti igau di siang hari.
Penderaan di Kundasang di tanah rindu ini adalah
kenyataan yang tragik.

Kota Kinabalu
14 April 2013


*Rogimot-Strawberi liar  dan 'Tandaramai' beri-beri liar.
*AP Coretan Dinding Kita, 14 April 2013

No comments:

Post a Comment