Thursday 4 April 2013

Urutan Mama (Mama)

Aku memang sedar diri
mentari telah condong dari paksi
tulang belulang dan sendi-sendiku
telah longgar dan sakit pun mulai
merata. Kukira aku tak sepantas
seperti kuda semberani, ketika
menaiki tangga denyut jantung
seperti dikejar anjing jiran di
jalan masuk di kedai hujung.
Otot-otot ini menjadi kencang
tapi langkah ini pula semakin
perlahan dan kecil.

Walaupun begitu aku masih
ada semangat burung, tiap hari
aku menerjah ke dalam siang
dan sampai ke  tempat tujuan
tanpa bimbang dan takut.
Pertukaran musim, sempadan
dan lanskap tak sedikitpun
membuat aku jera sendirian
di perantauan. Sendirian
memanggilmu ketika sakit
tak tertahan.

Aku pantang menyerah
ketika kata putus telah dibuat
dengan Bismillah
aku melangkah siap pada
segala kemungkinan
yang tersembunyi atau
yang lahir. Keberanian ini
adalah kerana Tuhan Rahman
selalu disamping dan para
malaikat siap-siaga. Keselamatan
ini adalah kerana aku yakin
hidup mati dalam genggaman-Nya.

Ketika aku berada dekat
padamu. Aku tetap seorang puteramu
seperti anak kecil aku merangkak
ingin bermanja. Aduhai si anak,
tertiarap di atas lantai, berdekur
sedang mama mengurut otot-otot
kakinya yang kencang. Sekalipun
tangannya tak seberapa, aku rindu
pada urutan mama.

Kota Kinabalu
4 April 2013

No comments:

Post a Comment