Monday 8 April 2013

Tembok Berdinding Panjang Dekat Jembatan*(AKL)

Ada sebuah tembok dekat jembatan
dan tingginya melintasi kepala
luas dindingnya dan memanjang jauh.
Setiap kereta lalu pasti melihat
tembok berdinding luas sekalipun
tidak sepanjang tembok China
yang terkenal itu ataupun tembok
Berlin.

Tembok itu telah ada di situ,
sebelum aku, sebelum ayah,
sebelum merdeka dan semasa
penjajah. Ini adalah warisan
sejarah dari masa silam.

Hari-hari biasa orang suka berdiri
mengencing dinding tembok. Ya,
itulah kebiasan orang-orang yang
terburu-buru dan ketika hajat dah
sampai.

Seperti jalan-jalan melintas bawah
tanah dari stesyen kereta ke pusat
bandar selalu ada pengesek viola,
atau pemain guitar melayahkan kulit
beg berdiri memainkan musik.

Tapi tembok berdinding luas dan
memanjang ini, di pinggir kota
berjejer oleh pokok-pokok kayu
yang rendang. Di dinding tembok ini
anak-anak muda melukis suara hatinya,
grafiti dengan coretan dan tanda
tangan pelukis dan tempat bermain.
Mereka yang lalu di situ pasti menjerling
atau berhenti sejenak dan menikmati
grafiti pada tembok atau mendengar
musik. Tembok ini tak pernah marah,
ia baik kepada sesiapapun, kau
boleh menconteng, menulis
kata-kata hikmah, bait-bait puisi
kepada kekasih, protes, dan
melepaskan geram kepada dunia
yang meminggirkanmu, atau rintihan
dari kelas yang disingkirkan.

Tembok berdinding luas dan panjang
ini disenangi oleh anak-anak muda
kerana grafiti-grafiti itu, sebahagian
dari hidupnya. Dan tembok ini selalu
saksama dan berlaku adil menyediakan
dindingnya untuk semua orang. Ia
tak membedakan kelas, bangsa dan
ugama, pelukis, penyair, tua muda,
perempuan lelaki, coretan yang
bernada politik, protes, teguran
keras atau tulisan dan lukisan anak kecil.

Beberapa hari ini, wajah tembok
berdinding panjang telah bertukar
wajah. Tiada lagi kelihatan grafiti
anak-anak muda, dan coretan-
coretan dinding. Karya-karya
grafiti di dinding tembok ini
ditempel dengan poster-poster
baru, lebih besar, tindih-menindih
satu sama lain.

Tembok berdinding panjang
dekat jembatan ini masih di-
lalui orang dan kenderaan.
Cuma kau tak melihat yang
patut kau lihat sebelum ini.

Kota Kinabalu
9 April 2013 
*AP 10 Penyair,'Kembang Langit', Qamaruddin Assa'adah, 25 April 2013 (Mei 10)







No comments:

Post a Comment