Sunday 7 April 2013

Tanah Segenggam Ini*(AKL)

Aku mengirim rembulan penuh kepadamu
ia terapung dalam udara yang kita hirup bersama
sukmaku menerima firasat, mengangkat duka laramu
ke permukaan, perlahan dan senyap.

Kau berlalu pergi meskipun hajatmu tak sampai
di gelanggang ini seperti dua ekor ayam jantan
bersabung. Lama sudah mereka menerjang di
udara dan kedua tampak keletihan dan mulai
sekali-sekala memagut yang lain. Dan akhirnya
yang satu berlari menjauhkan diri.

Aku cukup memandang gunung dan lautmu
kerana di situ ada kekuatan yang menyerapmu
ke dalam molekul diri. Selangkah sambil menyedut
udara, biar otot-otot ini dan darah di urat serambi
mengalir deras dan segar, sedang aku membaca
puisi di hadapanmu.

Semalam aku mendengarmu menjerit bagai
anjing terluka di malam gelap gelita. Gemanya
sampai ke jauh malam. Aku tidak melihat
bebayangmu, apa lagi gerak-gerak di rimbunan.
Apa itu fikiran dari masa silam yang tercepit
di celah-celah batu ingin melepaskan diri.
Yang pasti aku kepunyaanmu, wahai bumi di sini.

Aku tak lagi bertanya asal usulku kerana aku
bagaikan tanah gembur dan di dalamnya
dari pelbagai jenis tanah. Di sini memang
sudah begitu. Dan ini adalah satu kekuatan
dan kelaianan, tak terdapat di dalam dirimu.
Aku mencintaimu, tanah segenggam ini
dan tanah di bawah telapak kaki.

Kota Kinabalu
7 April 2013
*AP 10 Penyair,'Kembang Langit', Qamaruddin Assa'adah, 25 April 2013 (Mei 10)




No comments:

Post a Comment