Wednesday 3 April 2013

Aku Ingin Merasakan Apa Yang Kau Tak Rasakan (Mama)

Aku tidak melihat lagi kerbau berkubang
di kampung. Orang seakan beranggapan
memelihara kerbau terkait kepada masa
lampau. Jalan ke kuburan masih semak-
samun, membuat penjalan malam pulang
melajukan kereta ketika lalu di tanah
kuburan.

Jarang-jarang orang kampung turun
menoreh getah. Selain pekerja upahan
berbagi pendapatan. Sungaimu masih
mengalir. Ketika musim banjir, arusnya
melimpah sampai ke anak tangga atas.

Tanah pokok cempedak di pinggir jalan
tanah bukit pokok getah tua telah lama
ditebang. Kampung ini bertukar kulit.
Wajahnya kini wajah orang pekan.
Yang pendatang dan pribumi telah
bermukim sebelahan rumah. Dari
dulu di sini, telah bermukim
pendatang sejak Jepun mundar-mandir
memerdekakan Asia Raya dari
tangan penjajah.

Kalau kau mencariku nanti
kau tak akan ketemu kerana aku berumah
di tanah bukit. Di situ tumbuh lebat lamiding
dan pakis, rebung dan cekuk manis. Aku
ingin merasakan apa yang kau tak rasakan.

Kota Kinabalu
3 April 2013





No comments:

Post a Comment