Wednesday 13 March 2013

Pesanan Dari Persada*(ATOT)(Jendela)

Ketika kau tak melihat wajahku
aku telah tiada kembali ke asal tanah
telah aku lakukan khidmat dan kewajiban
sampai sedut nafas terakhir aku telah
memilih kematian demi mengempur
penceroboh khianat.

Sedang kami terkumpul dalam satu
barisan ke medan juang, kalau maut
pun datang kami telah siap. Kalian tak
akan kami tinggalkan. Demi bangsa
dan negara sekali nyawa kami terputus
dari tubuh ini.

Kepada isteri dan anak tersayang,
usah kau menitiskan air mata
kesedihanmu cukup dalam jarak
waktu sedikit. tiupkan semangat
hidup dalam sukmamu. Besarkan
anakmu dalam jiwa satria. Aku
yakin kalian berada di tangan
kasih sayang dan ramah.
Ibu pertiwi akan melindungimu.

Kami tidak meminta apa-apa
kerana dari sukma ini tiada ragu.
Kebenaran adalah yang abadi
dan selalu menyentuh langit
samawi pertolongan dari
tangan-Mu.

Selepas fajar sehari dalam setahun
kenang kami dalam ingatanmu.
Tiada sekarang atau besok yang
datang sebagai penceroboh dan
menuntut yang bukan haknya.
Kalau musuh masih berdegil
akan kami tumpaskan kalian
ketika masih di gua silammu.

Ya Rabbi, untung dan hidup kami
di tangan-Mu. Kalau ini adalah
ujian dari-Mu, biar kami hadapi
tabah dan berani, tawakal dan
istiqamah.

Kota Kinabalu
13 March 2013

*Malam OPS Daulat, IPS di DBP, KK, 17 March 2013.
*Diterbitkan oleh Jendela, Bil.35/April 2013, DBPS.
*Antologi Tanduo Oh Tanduo! diselenggarakan oleh Talib Samat dan Ghazali Din, Penerbit Mentari, 2013

No comments:

Post a Comment